9 Ogos 2024, 20:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOLOKAN wanita besi yang diberikan kepada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed nampaknya kini tidak sesuai lagi. Dia sudah tidak layak. Itu muktamad. Mengapakah dikatakan demikian? Hasina didapati gagal mengendalikan negaranya di tengah-tengah protes yang amat mengerikan. Anak tokoh kemerdekaan itu lantas meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India dengan menaiki helikopter milik tentera dalam tempoh 45 minit. Dia juga sudah tidak mendapat sokongan daripada pihak tentera.

Penguasaan Sheikh Hasina selama 15 tahun akhirnya”ranap” sebegitu sahaja akibat daripada tindakannya sendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bangladesh merupakan sebuah negara yang tidak stabil sejak dahulu lagi. Pemberontakan, tunjuk perasaan, pembunuhan, rusuhan, huru-hara, serangan dan bantahan merupakan antara situasi yang sentiasa menyelubungi mereka. Namun, peristiwa yang berlaku baru-baru ini disifatkan sebagai keganasan terburuk dalam sejarah negara itu sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1971.

Walaupun sudah 15 tahun mentadbir Bangladesh, yakni dalam satu tempoh masa yang agak lama bagi seorang pemerintah, nampaknya Hasina dilihat lemah dan gagal melunaskan tanggungjawabnya dengan baik. Siapa sangka, pemimpin berusia 76 tahun itu yang mempunyai profil cukup gah “tersungkur” gara-gara amukan pelajar universiti yang terdiri daripada Gen Z. Kekuasaannya telah berakhir pada 5 Ogos lalu. Sebelum itu, Hasina turut menjadi Perdana Menteri dengan bergilir-gilir penggal dengan musuh politik ketatnya, Khalida Zia yang dipenjarakan atas pelbagai tuduhan.

Khalida Zia telah menjawat jawatan Perdana Menteri Bangladesh sebanyak dua kali, iaitu (1991-1996) dan (2001-2006) sebelum penguasaan itu diteruskan oleh Sheikh Hasina selama tiga penggal sejak tahun 2009.

Seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, ketegangan di negara kelapan terbesar di dunia itu tercetus disebabkan oleh rasa tidak puas hati penuntut universiti terhadap kerajaan pemerintah. Mereka menuntut supaya kerajaan membatalkan Akta Kuota Penjawat Awam 1971 yang digubal oleh Bapa Pengasas Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman. Sebagai rekod, Sheikh Mujibur ialah bapa kepada Hasina yang telah dibunuh pada usia 55 tahun dalam satu percubaan rampasan kuasa pada 15 Ogos 1975. Selepas 45 tahun, suspek yang juga seorang bekas pegawai tentera telah dihukum gantung pada April 2020.

Berbalik semula kepada siri bantahan para pelajar, mereka menyifatkan akta berkenaan mempunyai unsur diskriminasi dan korupsi kerana hanya akan memberi kelebihan atau menyebelahi Liga Awami, iaitu parti pemerintah negara itu. Dengan erti kata lain, Hasina didakwa hanya memberikan peluang kepada penyokongnya untuk mengisi jawatan itu. Difahamkan juga bahawa lebih separuh daripada individu yang diambil bekerja dalam sektor awam tersebut tidak dipilih berdasarkan merit, namun di bawah peraturan tindakan afirmatif. Secara keseluruhannya, Bangladesh mempunyai lebih daripada 1.9 juta jawatan untuk penjawat awam.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa negara dengan kependudukan 170 juta manusia itu berdepan dengan masalah peluang pekerjaan. Perangkaan terbaharu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Bangladesh pada Mei lalu menunjukkan bahawa sekitar 2.6 juta individu menganggur. Menurut AFP, lebih 40 peratus melibatkan mereka yang berada dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun yang kebanyakannya ialah graduan universiti.

Apabila tuntutan agar sistem kuota terpakai kepada etnik minoriti dan orang kurang upaya serta 94 peratus baki polisi pengisian jawatan dipilih berdasarkan merit semata-mata tidak diendahkan, maka bermulalah tunjuk perasaan secara aman yang turut disertai oleh pelajar sekolah menengah. Namun demikian, pada 1 Julai lalu, kekecohan terus memuncak apabila pertembungan berlaku antara penunjuk perasaan antikuota dengan sayap pelajar Liga Awami.

Empat hari selepas itu, demonstrasi menjadi semakin memuncak apabila keganasan terus berlarutan di 64 buah daerah negara itu. Anggota polis dan beberapa orang penyokong parti pemerintah dilaporkan menembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup, selain menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah. Lebih kritikal lagi, perintah berkurung dikeluarkan dan kerajaan telah menyekat capaian Internet, sekali gus menyulitkan proses komunikasi.

Perhimpunan menjadi bertambah panas apabila Hasina menggelari penunjuk perasaan sebagai “razakars” (merujuk kepada orang-orang yang bekerjasama dengan Pakistan semasa perang 1971). Susulan itu, harta benda awam lebih banyak dimusnahkan. Seluruh bandar berubah menjadi medan pertempuran. Yang paling ekstrem, mereka membakar bangunan pemerintah, stesen televisyen negara termasuklah menceroboh dan merompak barangan di kediaman Hasina.

Meskipun Mahkamah Tinggi pada 21 Julai lalu mengeluarkan arahan baharu untuk mengurangkan kuota daripada 30 peratus kepada lima peratus (ini bermakna 95 peratus pekerjaan dibuka kepada para calon berdasarkan merit), hal tersebut nampaknya sudah terlambat. Lebih 400 nyawa dilaporkan sudah melayang akibat terlibat dengan pelbagai keganasan.

Situasi yang boleh difahami ialah pada asalnya, bantahan pelajar hanyalah desakan untuk menghapuskan kuota dalam perkhidmatan awam. Namun demikian, hal tersebut secara tiba-tiba bertukar menjadi gerakan antikerajaan yang meluas dan pada masa yang sama, terus menggesa Hasina meletakkan jawatan dengan serta-merta. Sejak dahulu lagi, wanita yang sudah dua kali menjawat jawatan Perdana Menteri itu sentiasa dikaitkan dengan isu rasuah, bersikap nepotisme dan autoritarian serta terbabit dalam penipuan pilihan raya.

Nafas Baharu

Kini, Hasina telah melarikan diri dengan tinggal di India dan sedang menunggu Britain memberinya suaka politik. Justeru, apakah perkembangan terkini Bangladesh? Seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa baru-baru ini, musuh politik Hasina, iaitu Muhammad Yunus baru sahaja mengangkat sumpah jawatan untuk mengetuai pentadbiran peralihan 17 orang anggota.

Menurut AFP, jawatan ketua kerajaan peralihan dianggap sebagai “ketua penasihat”. Kebanyakan ahli kerajaan peralihan pula terdiri daripada golongan teknokrat. Beberapa hari sebelum itu, Yunus ialah ketua penasihat kerajaan interim selang 24 jam selepas Hasina melarikan diri. Pelantikannya adalah selaras dengan permintaan penganjur utama protes pelajar di Bangladesh. Terdahulu, dalam reaksinya, pemenang Hadiah Nobel Keamanan Tahun 2006 itu berkata:

“Hari ini merupakan hari yang gilang-gemilang bagi kami. Bangladesh mencipta hari kemenangan baharu dan memperoleh kemerdekaan kedua.”

Mampukah pemenang Anugerah Nobel Keamanan ini menempuh cabaran getir dalam berdepan dengan ketidaktentuan di Bangladesh?

Siapakah sebenarnya susuk yang bernama Muhammad Yunus ini? Selain mencipta nama sebagai pemenang Anugerah Nobel Keamanan, beliau yang pada tahun ini berusia 84 tahun sebenarnya ialah musuh politik tradisi Hasina. Meskipun banyak menabur jasa kepada masyarakat, wanita itu tetap memandang serong kepadanya. Ketika pemerintahan Hasina, Yunus terpalit dengan lebih 100 kes jenayah dan kempen fitnah oleh sebuah agensi Islam pimpinan negeri yang menuduhnya mempromosikan elemen homoseksual.

Namun demikian, pada pandangan penduduk Bangladesh terutamanya golongan fakir dan miskin, Yunus ialah hero mereka. Masakan tidak, sejak tahun 1970-an lagi beliau dikenali sebagai perintis kewangan mikro yang membantu mengeluarkan sebahagian daripada rakyat termiskin di negaranya daripada kepompong kemiskinan. Oleh sebab itulah beliau diberi olokan “jurubank kepada orang miskin”.

Dengan mewujudkan Bank Grameen pada tahun 1983 dan mengaplikasikan konsep mikro kredit dan mikro kewangan, institusi tersebut meminjamkan wang dan menawarkan bantuan kewangan kepada usahawan kecil yang tidak dipedulikan oleh bank konvensional.

Bank itu dikatakan telah meminjamkan lebih daripada $AS7 bilion kepada lebih tujuh juta peminjam, 97 peratus daripadanya wanita dengan kadar bayaran balik hampir 100 peratus. Menurut BBC, inisiatif itu terhasil daripada lawatan Yunus ke sebuah perkampungan daif berhampiran Universiti Chittagong. Pada awalnya, beliau telah meminjamkan sebanyak $AS27 kepada 42 orang penduduk kampung dan mereka membayar balik.

Menyusuri informasi yang disalurkan melalui laman web Nobel Prize, Yunus mahu mengejar golongan yang tidak berkemampuan dengan beberapa prinsip kewangan yang baik agar dapat membantu diri mereka sendiri. Seorang yang percaya bahawa kredit merupakan hak asasi manusia, model yang digarap oleh Bank Grameen telah diimplementasikan di lebih 100 buah negara di seluruh dunia. Maka, selayaknya beliau meraih Anugerah Nobel Keamanan.

Yunus yang dilahirkan di bandar pelabuhan Chittagong sebenarnya ialah seorang pensyarah. Latar belakang pendidikannya sememangnya begitu hebat. Beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti Dhaka di Bangladesh, sebelum menerima biasiswa Fulbright untuk menyambung pengajian di Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat (AS). Selepas bergelar Doktor Falsafah pada tahun 1969, Yunus dilantik sebagai penolong profesor ekonomi di Universiti Middle Tennessee State. Sekembalinya ke tanah air, anak ketiga daripada sembilan beradik itu mengetuai Jabatan Ekonomi di Universiti Chittagong.

Pembabitannya pada peringkat global sangat luas. Dari tahun 1993 hingga 1995, Yunus merupakan seorang daripada Kumpulan Penasihat Antarabangsa untuk Persidangan Dunia Ke-4 Mengenai Wanita, iaitu jawatan yang dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tidak hanya itu, lelaki berkarisma tersebut pernah mencurah khidmat di Suruhanjaya Kesihatan Wanita Global, Majlis Penasihat Pembangunan Ekonomi Mampan dan Kumpulan Pakar PBB Mengenai Wanita dan Kewangan.

Untuk menghuraikan segala pengiktirafan yang diperoleh oleh beliau terlalu panjang. Namun begitu, yang paling mencuri tumpuan, beliau ialah penerima Anugerah Hari Kemerdekaan (1987), iaitu anugerah tertinggi di Bangladesh. Selain itu, Anugerah Mohamed Shabdeen (1993), Sri Lanka; Anugerah Kemanusiaan (1993) AS; Anugerah Kepimpinan Kemanusiaan Raja Hussein (2000); Nikkei Asia Prize for Regional Growth (2004) dan Nihon Keizai Shimbun, Jepun. Beliau juga diberikan penghormatan sebagai penerima Anugerah Kebebasan Franklin D. Roosevelt (2000) dan Hadiah Keamanan Seoul (2006). Kini, beliau masih menjalankan tugas sebagai ahli Lembaga Yayasan PBB.

Jika diamati, Yunus seolah-olah seperti “menderita” di negaranya sendiri. Seperti yang disebut, pada saat dirinya berhasrat membantu rakyat Bangladesh yang miskin, beliau menerima tekanan yang cukup teruk. Menyorot artikel yang disiarkan AFP dan Al Jazeera, bermula pada tahun 2008 Muhammad Yunus mula berdepan dengan pelbagai tuduhan.

Antaranya, beliau dikatakan menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula pinjaman yang diberikan terutamanya kepada golongan wanita. Pada tahun 2013, situasi menjadi semakin meruncing apabila beliau didakwa atas tuduhan menerima wang tanpa kebenaran kerajaan termasuklah Hadiah Nobel dan royalti daripada buku yang ditulisnya.

Yunus juga telah dipecat sebagai pengarah urusan di banknya sendiri kerana didakwa melanggar peraturan persaraan pemerintah termasuklah dirinya didakwa melakukan banyak kesalahan yang membabitkan beberapa buah syarikat yang ditubuhkan seperti Grameen Telecom, selain Grameen Phone yang merupakan anak syarikat telekomunikasi Norway, Telenor. Terbaharu, beliau bersama 13 individu lain dituduh atas kes penyelewengan melibatkan jutaan dolar. Semua tuduhan yang dilemparkan dinafikan sekeras-kerasnya oleh empunya diri dan mendapat sokongan padu daripada para penyokongnya.

Dengan profil antarabangsa dan reputasi yang cukup cemerlang, Yunus dikatakan mampu memberi nafas baharu kepada bumi Bangladesh yang sedang bergolak kini. Tugasnya cukup getir. Beliau perlu menggarap formula untuk menstabilkan semula aspek ekonomi, masalah inflasi termasuklah sektor pekerjaan di negara itu yang cukup membimbangkan. Serentak dengan itu, sudah pasti beliau perlu mengharungi kemelut politik yang bukan calang-calang rumitnya, meskipun rata-rata pemimpin dan penduduk berada di belakangnya.

Kepada Al Jazeera, bekas diplomat AS di Bangladesh selama lapan tahun, Jon Danilowicz berkata, Yunus juga boleh menjadikan hubungannya yang akrab dengan AS untuk membantu negara yang dihuni oleh majoriti Islam itu. Beliau juga bersetuju bahawa selain ekonomi, Yunus perlu menangani beberapa institusi penting seperti polis, tentera, institusi kehakiman, perkhidmatan awam dan melihat secara lebih teliti serta tulus dalam isu pelanggaran hak asasi manusia yang serius di negara itu.

Seperkara lagi ujar Danilowicz, dari segi diplomatik, Yunus perlu menjalin hubungan mesra dengan India yang menyokong pentadbiran Hasina sebelum ini walaupun mantan Perdana Menteri itu melanggar hak asasi dan menindas suara pembangkang.

“Kerajaan baharu perlu mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan India kerana kerajaan India yang bermusuhan dengan pentadbiran baharu boleh menjadi perosak hubungan diplomatik, lantas menyebabkan masalah kepada Bangladesh,” kata Danilowicz.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.