Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) meraikan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhannya, iaitu pada 1 Ogos 1999 oleh YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP pada ketika itu, semalam.
Majlis sambutan ulang tahun DBPWT diraikan dalam suasana penuh gilang gemilang bertempat di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN), Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Pembukaan majlis sambutan ulang tahun ini diserikan dengan persembahan puisi berkumpulan oleh kumpulan pemuisi pantai timur, diikuti dengan persembahan dikir barat dan diakhiri oleh sebuah wacana ilmu.
Dalam ucapan perasmian, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata,
“ Tema “Gerbang Peradaban Timur” pada saya amat tepat dan wajar. Idea asal penubuhan DBPWT yang diinspirasikan oleh YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman suatu ketika dahulu adalah bertujuan untuk menjadikan DBPWT sebagai sebuah pusat rujukan bahasa dan pengembangan kesusasteraan serta keilmuan yang menjadi asas kepada peradaban manusia di kawasan wilayah timur”.
Sebagai rekod, bermula pada tahun 2003, DBPWT telah mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dalam memberikan pengiktirafan kepada sasterawan dan ilmuwan di Kelantan, Terengganu melalui Anugerah Sastera Negeri yang diadakan apda saban tahun untuk megniktiraf karyawan pada peringkat negeri yang aktif dalam menghasilkan karya sastera.
Sementara itu, ucapan alu-aluan majlis sambutan ini telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP Malaysia. Ujar beliau,
“Bersempena dengan penubuhan DBPWT yang telah menjangkau usianya selama 25 tahun, pelbagai kejayaan telah dirangkul oleh DBPWT dan kita tidak hanya menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta di pantai timur semata-mata, malah turut mewujudkan jalinan kerjasama dengan agensi tertentu di selatan Thailand,” ujar YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Tambah beliau, Kedudukan Kota Bharu yang menjadi pusat atau nadi wilayah timur yang merangkumi Selatan Thai, Terengganu dan Pahang memudahkan usaha DBP dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi dengan berkesan.
“Penubuhan DBP Wilayah Timur menjadikan usaha dalam aspek pengembangan bahasa dan sastera menjadi lebih terancang dan mantap,” demikian jelas YBrs Dr. Hazami Jahari.
YBrs. Dr. Hazami turut menjelaskan bahawa pelbagai program berimpak tinggi telah dilaksanakan oleh DBPWT. Antara kegiatan yang dilaksanakan termasuklah pementasan teater Tok Kenali, Qasidah Bersajak, Tok Janggut, Puteri Saadong, Anugerah Sastera Kelantan, Kolokium Peradaban Melayu Timur Laut, Simposium Tun Syed Nasir serta pertandingan Pidato Sektor Awam Piala SUK Terengganu.
Secara keseluruhannya, sambutan Jubli Perak DBPWT buat julung-julung kalinya ini melambangkan kejayaan pencapaian daripada unit bahasa, sastera, penerbitan serta Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis (PDMTA) yang turut membuka ruang kerjasama dalam merangka pelbagai lagi program menarik selaras dengan peredaran semasa dan perkembangan teknologi bagi menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, DBPWT turut mengembangkan peranan unit Pemasaran dan Pengedaran yang diwujudkan pada tahun 2015 bagi mempromosikan aspek bahasa dan sastera di pantai timur dan selatan Thailand.
Bagi meraikan 25 tahun penubuhannya, DBPWT, turut menerbitkan sebuah buletin Jendela Timur edisi khas sebagai hadiah untuk meraikan penulis pantai timur dengan mengetengahkan pelbagai karya mereka dalam bentuk kreatif dan bukan kreatif. Kejayaan unggul DBPWT diteruskan dengan segmen pelancaran Koleksi Buku Penulis Kelantan dan Terengganu terbitan 2023-2024 yang merangkumi 43 karya oleh penulis yang berkaitan.
Majlis sambutan 25 tahun DBPWT turut meraikan rakan strategik dan mantan Karyawan DBPWT dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata. Majlis diakhiri dengan sebuah forum “DBPWT: Gerbang Peradaban Wilayah Timur”. Ucap utama forum ini disampaikan oleh ahli Dewan Negara yang juga mantan Ketua Pengarah DBP, YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Barisan panel forum tersebut terdiri daripada YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman (Presiden PERADABAN, mantan Ketua Pengarah DBP), YBhg. Prof. Dr. Hashim Ismail (Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya), YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali (Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI) serta YBrs Encik Mohd. Nazmi Yaakob (Berita Harian).
edit