Oleh Hamdan Abu
17 Ogos 2024, 19:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lebih 50 orang penggiat radio amatur dari dalam dan luar negara terlibat mengendalikan stesen radio amatur sempena International Lighthouse Lightship Weekend (ILLW) 2024.

ILLW pada tahun ini telah diadakan di empat lokasi yang berbeza, iaitu Rumah Api Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang; Rumah Api Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor; Rumah Api Altinburg, Kuala Selangor, Selangor dan Rumah Api Bukit Puteri, Terengganu.

Penganjuran pada tahun ini bertujuan memberi kefahaman kepada pelawat mengenai peranan rumah api  yang  memberikan panduan navigasi kepada kapal-kapal di lautan dan juga sebagai satu daripada usaha berterusan untuk memelihara serta menghargai warisan maritim sesebuah negara.

Semasa ILLW berlangsung, penggiat radio amatur yang bertugas di rumah-rumah api akan berkomunikasi  menggunakan radio amatur dengan stesen-stesen radio rumah api di seluruh dunia. Aktiviti tersebut berlangsung  selama 24 jam secara bergilir-gilir.

Menurut seorang peserta, ILLW merupakan sebuah acara yang memperkenalkan Malaysia kepada dunia.

Penggiat radio amatur negara ini akan memberikan maklumat negara kepada  stesen-stesen luar negara khususnya mengenai budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta  lokasi-lokasi  pelancongan popular.

Terdahulu, ILLW ialah acara tahunan sejak 1998 melibatkan penggiat radio amatur  di seluruh dunia berlangsung pada minggu ketiga bulan Ogos.

Pada tahun ini, ILLW berlangsung dari 17 hingga 18 Ogos 2024 dan sejak pertama kali dianjurkan, penyertaan tidak kurang daripada 500 buah rumah api melibatkan lebih 40 buah negara.

Untu edisi kali ini, sebanyak 43 negara menyertainya melibatkan 406 buah  rumah api di Asia, Eropah, Amerika, dan Ocenia. Antaranya 46 buah rumah api mengendalikan ILLW 24 di Amerika Syarikat, Jerman (49), Belanda (22), Australia (27), Denmark (16), Afrika Selatan (16), England (18), Kanada (11) dan Malaysia (4).

Sebagai rekod, Malaysia mempunyai 43 buah rumah api di seluruh negara, iaitu 14 buah di Semenanjung, 22 buah di Sabah dan tujuh buah di Sarawak.

Antara rumah api yang terkenal ialah Rumah Api Cape Rachado, Tanjung Tuan  berhampiran Port Dickson, Negeri sembilan, Rumah Api One  Fathom Bank di Selangor, Rumah Api Port Coenwallis Pulau Pinang, Rumah Api Tanjung Piai, Johor, Rumah Api Pulau Mantanani, Sabah dan Rumah Api Tanjung Datu, Sarawak.

Sementara itu, sebanyak 14 stesen radio amatur akan berkomunikasi sempena Hari Merdeka mulai 31 Ogos hingga 1 September 2024.

Setiap negeri akan beroperasi dengan sebuah stesen radio amatur di lapangan atau lokasi yang dipilih dan berkomunikasi dengan semua stesen radio dalam dan luar negara.

Timbalan Presiden Malaysian Amateur Radio Transimtters’ Society (MARTS), Zanirul Akhmal Zanirun berkata aktiviti tetap tahunan ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan kecintaan kepada negara ini.

Dikenali  sebagai CQ Merdeka, ia melibatkan lebih 150 orang pengendali  radio amatur  dari setiap negeri.

Semua pengendali radio amatur yang masih sah lesennya boleh menyertai apa jua kegiatan yang dianjurkan.

Zanirul berharap orang ramai yang ingin tahu mengenai ILLW dan yang berminat untuk aktif di dalam radio amatur bolehlah hadir di rumah api yang terlibat.

Pengendali radio amatur yang bertugas di rumah-rumah api berkenaan  bersedia untuk berkongsi maklumat kepada orang ramai atau pelawat terutama kepada bakal-bakal pemegang lesen radio amatur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.