18 Ogos 2024, 19:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 31 Ogos 1957 diisytiharkan sebagai Hari Merdeka atau dikenali sebagai Hari Kebangsaan bagi tanah air tercinta ini. Pada tarikh tersebut, Persekutuan Tanah Melayu telah dimasyhurkan sebagai sebuah negara yang secara mutlak dimiliki oleh bangsanya sendiri. Menerusi tarikh tersebut, nama Persekutuan Tanah Melayu mencatatkan Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Pada 16 September 1963, iaitu lebih kurang enam tahun selepas Hari Kebangsaan, Persekutuan Tanah Melayu 1957 berevolusi dengan membentuk Persekutuan Malaysia bersama Sabah, Sarawak dan Singapura. Sementara itu, tarikh 9 Ogos 1965 menjadi antara garis masa penting untuk negara ini apabila Singapura membentuk negara sendiri setelah beberapa peristiwa yang menggugat hubungan dalam sebuah Persekutuan.

Ibu pertiwi ini mempunyai sejarah yang panjang dan juga identiti yang unik. Namun, hal ini tidak semestinya menjamin kesejahteraan masa depannya. Anak bangsa negara ini menggalas amanah untuk berusaha demi menempa kejayaan bagi negara dan pada masa sama berwaspada dalam mendepani cabaran semasa. Sesungguhnya kejayaan mengisi kemerdekaan dan menyelesaikan cabaran merupakan kejayaan sebenar bagi negara yang merdeka.

Jati Diri dan Karakter Bangsa          

Setiap bangsa harus mempunyai jati diri yang tersendiri. Jati diri menjadikan sesuatu bangsa itu tidak sekadar unik, malah yang penting ialah berfaedah dalam mengisi kemerdekaan. Bagi tujuan tulisan ini saya mengambil dimensi pembinaan karakter bangsa bagi persediaan rentas masa 100 tahun.

Dimensi karakter bangsa ini dipilih kerana kejayaan sesuatu bangsa dalam mengisi kemerdekaan adalah bergantung kepada karakter bangsa tersebut. Karakter bangsa merupakan identiti bangsa yang menjadi pedoman kepada kehidupan sosial dan moral bangsa. Malah, karakter bangsa ini juga dapat menjamin kestabilan sosial dan politik bangsa serta menjadi elemen utama dalam menjamin daya tahan terhadap segala cabaran dari dalam atau luar negara, termasuklah pengaruh dari kancah politik antarabangsa. Bahkan karakter bangsa juga menjadi pendorong kepada kemajuan atau inovasi bangsanya yang pemangkin kepada kelestarian budaya asal dan nilai warisan negara.

Karakter yang Dapat Mencapai Kejayaan Bangsa

Karakter bangsa yang diperlukan oleh kita bagi persediaan mencecah usia 100 tahun merdeka ialah sifat seseorang secara zahir atau batin mengenai budi pekerti, tingkah laku, tabiat, jiwa dan pemikirannya. Apabila disebut karakter bangsa, hal ini bermaksud, sifat zahir atau batin sesuatu bangsa. Dalam konteks Malaysia, bangsa Malaysia terdiri daripada beraneka karakter yang tersendiri. Akan tetapi, dalam keanekaragaman tersebut, terdapat pelbagai persamaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Persamaan tersebut meliputi semangat kebersamaan, meletakkan kepentingan komuniti lebih tinggi daripada kepentingan diri, mementingkan kehidupan berkeluarga, mempunyai kepercayaan agama, menghormati pihak berautoriti, menghargai keturunan, tradisi,warisan, kearifan bangsanya, serta mengamalkan hidup beretika dan mengutamakan kepentingan pendidikan. Saya rangkumkan sifat-sifat ini sebagai sifat suci dan mulia.

Persamaan dalam kalangan bangsa dan komuniti di Malaysia ini disebabkan mereka berasal daripada masyarakat timur yang terkenal dengan sifat, ciri atau norma yang disenaraikan. Solidariti sosial antara kumpulan yang berbeza dalam sesebuah bangsa itu hendak dipastikan sentiasa wujud sehingga menzahirkan kekukuhan ikatan sosial sehingga membolehkan mereka bekerjasama dalam pelbagai perkara demi mencapai tujuan bernegara.

Pendidikan Membina Karakter Bangsa

Sesungguhnya pembinaan karakter bangsa tidak sekadar membentuk dan membina fizikal atau raganya sahaja. Walaupun jasad atau fizikal yang cergas itu penting, namun asas pembinaan karakter bangsa ialah membina jiwa yang mempunyai ciri atau nilai mulia dan suci. Jiwa yang mempunyai ciri-ciri adalah ini penting kerana melibatkan keupayaan dan kekuasaan mental dan emosi dalam mencapai nikmat serta melaksanakan amanah membina bangsa untuk bebas berfikir dan sejahtera emosi.

Jiwa sebegini mengupayakan keseimbangan dalaman dan luaran, jasmani dan rohani sehingga menjadikan seseorang itu insan yang terbenam dalam jiwanya sifat keihsanan. Oleh itu, pendidikan karakter tidak terhad kepada pendidikan moral kerana karakter ialah suatu yang melekat dan menjadi sebati pada diri seseorang atau sesebuah bangsa sehingga tidak memungkinkan untuk mereka tunduk kepada telunjuk orang asing serta akan tetap utuh dengan cinta dan setia kepada negara serta gagah mempertahankan pertiwinya.

Bagaimanakah Cara untuk Membina Karakter Bangsa?

Mungkin agak klise apabila saya menjawab bahawa hanya pendidikan yang mampu membentuk dan membina karakter bangsa. Namun begitu, sebagai seorang pendidik bangsa, saya percayakan pendidikan formal dalam institusi pendidikan sebagai mekanisme utama. Walaupun begitu, sekiranya hanya pendidikan, pastinya tidak dapat mencapai kesan yang sepenuhnya. Pendidikan perlu diusahakan dengan kehendak politik oleh pihak kerajaan. Penentuan dasar pendidikan perlu menjurus ke arah pembinaan karakter dan pencapaian kepada falsafah pendidikan serta falsafah guru hendaklah dititikberatkan. Sejak sekian lama Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dirangka dan dilaksanakan, namun banyak lagi yang tidak tercapai untuk anak bangsa mendakap perasaan cinta akan bangsa dan negaranya. Pendidikan hendaklah mampu membentuk hubungan emosi yang kukuh, teguh dan hebat antara warga dan negaranya.

Pendidikan karakter bermula dengan cinta terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, cinta kepada alam dan yang paling utama semestinya cinta akan Tuhan atau agamanya. Maksudnya, subjek pendidikan itu amat luas sekali. Sementara itu mekanisme pelaksanaan  memerlukan peranan yang diletakkan ke atas warga pendidikan, terutamanya guru, serta kerajaan, masih belum melengkapkan lingkaran tanggungjawab. Pemimpin pada peringkat masyarakat, sehingga ibu bapa dan keluarga adalah juga penting untuk diberikan perhatian. Amanah membentuk karakter bangsa merupakan tanggungjawab yang hendaklah diinsafi juga oleh masyarakat dan ibu bapa.

Dalam usaha pendidikan, sinergi antara tiga pihak, iaitu kerajaan sebagai pihak berkuasa, masyarakat sebagai kumpulan atau pihak yang dekat dengan individu dan keluarga, terutamanya ibu bapa atau penjaga sebagai pihak yang melahirkan individu. Seandainya satu daripada elemen tersebut tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya, maka tidak mungkin pembinaan karakter bangsa ini akan tercapai. Bagi menjayakan watak bangsa, program bertemakan watak bangsa perlu diperkasakan lagi, jadikan program ini satu fenomena umpama cendawan tumbuh.

Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada para ibu bapa dan pemimpin masyarakat bagi mengupayakan kumpulan pemimpin ini membimbing dan membentuk anak bangsa yang berkarakter suci dan mulia pada peringkat masyarakat dan keluarga, terutamanya ibu bapa. Masyarakat dan keluarga perlu diberikan pendidikan pendedahan sewajarnya tentang keadaan atau cabaran yang dihadapi bangsa ini.

Berhasilkah Aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

Tujuan utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah untuk mencapai hasrat atau cita-cita negara, termasuk pembinaan bangsa yang boleh disebut sebagai pembinaan karakter bangsa yang bersatu padu dan berdaya saing. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menjadi panduan utama atau asas kepada pembentukan, pengembangan dan pelaksanaan dasar serta kurikulum pendidikan. Dengan adanya cabaran kepada pendidikan anak bangsa seperti sejumlah besar pelajar sekolah menengah yang tidak mahu meneruskan pelajaran, serta tidak menduduki peperiksaan utama, keadaan ini menimbulkan persoalan tentang berjaya atau tidak aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan khususnya dalam aspek yang berkaitan dengan pembinaan karakter bangsa.

Perkara ini tidak hanya penting berkenaan hal ehwal berkaitan karakter pelajar sekolah menengah, bahkan juga relevan untuk pendidikan tinggi yang berkaitan karakter bangsa pada mahasiswa dan mahasiswi.

Mungkin bagi tujuan membuat garis asas kepada pencapaian Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam hak pembinaan karakter bangsa, pihak berkaitan perlu menganalisis sejauh mana pencapaian atau kejayaan kurikulum pendidikan pada semua peringkat dan pendidikan guru serta pensyarah berkenaan aspek pembinaan karakter bangsa.

Bagi menjadi bangsa yang berjaya pada usia 100 tahun Merdeka, pembinaan karakter bangsa sewajarnya menjadi aspirasi utama kerajaan pada usia Malaysia 67 tahun ini. Selamat menyambut ulang tahun Tanah Melayu merdeka dan selamat menyambut Hari Malaysia.

 

Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang telah menulis lebih 50 artikel jurnal dan menulis lebih kurang 500 rencana dalam akhbar dan majalah. Beliau sering diundang oleh pihak media bagi membincangkan isu perundangan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.