Diterbitkan pada 19 Ogos 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama-sama Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami dalam Majlis Perasmian Penutupan  Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 di MRSM Bagan Datuk, Perak, hari ini.

Bagan Datuk – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempergiatkan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 dalam usaha mengembangkan kekuatan bahasa dan persuratan Melayu berdasarkan kerangka pemikiran dan sumbangan tokoh yang disegani, iaitu Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, penganjuran seminar ini amat bertepatan dengan saranan Almarhum tentang pewujudan masyarakat berasaskan ilmu yang dapat direalisasikan melalui budaya ilmu yang kuat.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.

Sebagai organisasi yang lahir daripada ‘semangat kesaktian lidah rakyat’, DBP akan terus mengangkat dan melestarikan pemikiran tokoh berpengaruh dalam masyarakat merentas segenap bidang keilmuan sama ada bahasa, sastera, budaya, perundangan, sains, kejuruteraan mahupun pendidikan.

“Diharapkan agar seminar ini dapat membuka dimensi dalam kalangan generasi muda bagi menghargai karya agung dan nilai keilmuannya walaupun mereka terdiri daripada profesional bidang kejuruteraan, perubatan, perakaunan mahupun perundangan.

Demikianlah antara intipati Ketua Pengarah DBP dalam ucapan sambutan majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk pada pagi tadi.

Hadir bersama-sama menyokong agenda pembinaan bangsa berilmu ini ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek merangkap anakanda kepada Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil; Presiden WADAH, Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, USAS, Profesor Dato’ Dr. Ahamed Kamil Mydin; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir, para pegawai daripada pelbagai agensi, serta mahasiswa dan pelajar sekitar daerah Bagan Datuk.

Dengan temanya “Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama dalan Budaya Damai Gagasan Malaysia MADANI”, Dr. Hazami mengulas bahawa seminar ini mampu memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang peri pentingnya kesan ketidakfahaman dan kecelaruan pemikiran berhubung pengurusan negara berbilang bangsa, agama dan budaya secara berterusan terhadap pembinaan negara bangsa.

Sebanyak 1000 orang hadir ke Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan An-Nawawi, MRSM Bagan Datuk, Perak.
Deklamasi puisi khas yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran The Malay College Kuala Kangsar, Encik Khainuri Hanafiah yang merupakan anak saudara kepada Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Menerusi peruntukan sebanyak RM500,000 yang disumbangkan oleh kerajaan, program seminar ini berjaya digerakkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Universiti Selangor (UNISEL), MRSM Bagan Datuk dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menjalankan pelbagai aktiviti dalam usaha menyebarluaskan pemikiran dan sumbangan Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Menariknya, dianggarkan lebih daripada 1000 orang para ilmuan dan pendidik dari pelbagai bidang dapat berhimpun menghidupkan wacana pemikiran itu berkaitan dengan peradaban bangsa dan penegasan tentang pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam menongkah arus pembangunan pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi