Diterbitkan pada 19 Ogos 2024, 21:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Antara dif-dif kehormat yang hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 di MRSM Bagan Datuk, Perak, hari ini.

Bagan Datuk – Kemelut dunia menuntut kita untuk saling bersatu, namun kebijaksanaan itu harus dijulang agar rakyat di negara ini hidup aman selaras dengan perlembagaan negara.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Universiti Selangor (UNISEL), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menganjurkan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 di MRSM Bagan Datuk.

Selaras dengan temanya, “Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama dalam Budaya Damai Menerusi Gagasan MADANI”, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024.

Pemikiran futuristik Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil adalah untuk melihat Malaysia terbentuk sebagai sebuah negara bangsa berasaskan kepada falsafah madaniah.

“Jika di negara jiran Indonesia, Pak Hamka seorang pemikir, novelis, mufassir dan ulama berjasa, namun di negara kita juga tidak ketinggalan, kita mempunyai Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Pak Siddiq), anak jati Bagan Datuk Perak, seorang ilmuan, pakar bahasa, pemidato prolifik, dan tidak dilupakan jasa beliau selaku pembentang dalam Kuliah Tafsir Maudhui bulanan satu ketika dahulu.

Menurut YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid, kehebatan dan keupayaan figura itu telah menggarap dan menghimbau idealisme dan menzahirkan aspirasi jiwa yang besar daripada kesedaran agama dan kekuatan ijtihad.

Beliau banyak mencurahkan pemikirannya dalam bingkai Islam sebagai raḥmatan lil-‘ālamīn, yang ‘memanusiakan manusia’ sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.

Ujar beliau,

Kita amat bertuah dapat menyoroti hasil penulisan Allahyarham yang membentuk fikrah membina ketamadunan bangsa berteraskan pembangunan nilai insan, peribadi atau karakter yang mempengaruhi interaksi dan membina keharmonian dalam sistem sosial.

YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat pameran karya agung Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi kata-kata hikmah Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil agar masyarakat sama-sama menghayati dan memahami rukun peradaban bangsa:

“Negara unggul yang kita impikan tentunya negara yang membahagiakan dan sekali gus membanggakan, bukan negara yang menyengsarakan dan memalukan.”

“Negara bahagia ialah negara yang selamat, adil, makmur, rukun dan harmoni berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang bertamadun dan beradab.”

Mengakhir ucapan perasmian penutupan, beliau mengatakan bahawa pemikiran ini bukanlah semata-mata mengangkat susok tubuh tokoh, tetapi disebalik itu seminar ini mempunyai nilai yang besar demi menghargai pemikiran, semangat juang serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh tokoh ilmuan kepada rakyat Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi