Diterbitkan pada 21 Ogos 2024, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir bergambar bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan (dua dari kiri barisan hadapan), Pengarah DBP Cawangan Sarawak (paling kiri barisan hadapan), Pengarah DBP Cawangan Sabah (di tengah barisan hadapan), ketua editor, ketua bahagian dan pegawai kanan DBP sesudah program Ceramah Penerbitan pada pagi tadi.

Kuala Lumpur – Komitmen, konsistensi dan kredibiliti menjadi tunjang utama bagi membina jenama sebagai seorang editor untuk memastikan karya yang diterbitkan seperti kandungan teks, termasuklah tatabahasa, gaya penulisan dan struktur keseluruhan karya adalah berkualiti tinggi.

Menurut Dato Dr. Jeniri Amir, seorang editor perlu melakukan anjakan paradigma agar tidak sentiasa berada pada tampuk yang lama atau zon selesa, sejajar dengan pemikiran dan kehendak pembaca.

YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP memberikan penekanan tentang kepentingan peranan editor dalam dunia penerbitan.

Tiada hari tanpa belajar.

“Dalam konteks dunia penulisan, sebagai editor, kita perlu bekerja dalam situasi multitask (berbilang tugas), multitalent (berbilang bakat) dan multiskill (berbilang kemahiran) dan multiplatform (berbilang paltform).

“Bagi melahirkan etos editor yang baik, bekerjalah dengan ikhlas, cergas dan tuntas.

Kata beliau,

Jika kita ingin maju, kita seharusnya berpegang pada satu konsep Jepun, iaitu kaizen – sentiasa berusaha memperbaik diri dan produk yang dihasilkan secara berterusan.

“Hanya dengan perkara itu, kita dapat kekal relevan.

Demikianlah antara inti pati dan cadangan positif Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dalam usaha meningkatkan lagi mutu dan karya terbitan DBP dalam Sesi Dialog Bersama-sama Editor menerusi Ceramah Penerbitan di Sanggar DBP, Aras 31, Menara DBP pada hari ini.

Dalam sesi pertemuan itu, beliau menyifatkan tugas dan peranan editor yang intelektual amatlah penting demi memacu pembangunan dan pemikiran yang mapan.

Tegas beliau lagi,

“Realiti yang perlu kita hadapi kini ialah budaya membaca buku semakin menipis.”

“Editor harus memberikan ruang kepada semua orang untuk menulis, terutamanya penulis pemula agar budaya membaca buku dalam kalangan masyarakat kita kembali meningkat.”

Maka demikian, beliau berpendapat bahawa pengiktirafan khas kepada penulis mapan atau penulis tetap sewajarnya dilakukan atas pelbagai pencapaian, sumbangan dan idea yang disebarluaskan oleh mereka.

Para karyawan dan editor dalam program Ceramah Penerbitan di Sanggar DBP, Aras 31, Menara DBP, hari ini.

Dato Dr. Jeniri Amir merupakan seorang ahli akademik, penulis prolifik dan penganalisis politik Malaysia, khususnya di Sarawak.

Beliau turut berkongsi bahawa sikap kerakusan terhadap buku atau dikenali sebagai bibliofil, membuatkan beliau memiliki lebih daripada 11 ribu buah buku dan koleksi bahan bacaan di rumah dan di pejabat.

Yang menariknya, hasil dedikasi beliau dalam dunia penulisan, beliau berjaya menerbitkan 3000 artikel, 58 judul buku dalam tempoh 48 tahun kerjayanya sebagai wartawan dan editor.

Artikel dan buku yang dihasilkan adalah dalam pelbagai bidang seperti bahasa, sastera, politik, sejarah dan biografi.

Menerusi ceramah tersebut, beliau turut mengajak editor untuk meningkatkan pembacaan bagi membina jenama sebagai seorang editor yang berilmu. Tambah beliau:

Satu daripada punca atau penggerak seorang pemimpin, dia harus rakus membaca.

“Bacalah karya Indonesia seperti GATRA dan TEMPO, kerana perkara ini dapat membantu mengasah ilmu dan kemahiran masing-masing.”

Ujarnya,

Ingatlah, kejayaan seseorang itu datangnya daripada perkara yang dilakukan pada hari ini dan semalam.

“Binalah satu produk yang ada jenamanya tersendiri!

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi