Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Pahat – Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, menyantuni kampung kelahiran beliau, Kampung Parit Yaani, Batu Pahat, dengan mengadakan pertemuan bersama-sama penduduk setempat melalui Program Santuni MADANI – Satu Pemimpin Satu Kampung, semalam.
Pertemuan tersebut merupakan satu daripada usaha Tuan Haji Azman untuk menyahut Program Satu Pemimpin Satu Kampung seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat kampung yang dipilih.
Pertemuan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Telok, Parit Yaani itu melibatkan para pemimpin setiap kampung, guru-guru, wakil penduduk, serta beberapa agensi seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam sesi pertemuan tersebut, Tuan Haji Azman menyatakan bahawa program ini diadakan buat julung kalinya di sini sebagai satu daripada usaha beliau untuk meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masayarakat, selain rasa cinta dan sayang beliau terhadap kampung kelahirannya itu.

“Program ini merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk meningkatkan potensi kampung sejajar dengan dasar-dasar kerajaan, termasuklah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.”
“Kita mahu membangunkan kampung ini bukan sahaja dari segi pendidikan, tetapi melalui komitmen dan kolaborasi pelbagai agensi dengan komuniti kampung, kita mengharapkan agar dapat memajukan kampung ini dalam pelbagai aspek,” kata Tuan Haji Azman ketika mempengerusikan pertemuan Program Satu Pemimpin Satu Kampung.
Pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan pelbagai isu dan masalah masyarakat setempat yang melibatkan aspek pendidikan, keselamatan, kesihatan, infrastuktur, serta yang berkaitan dengan ekosistem masyarakat seperti masalah kemiskinan, pengangguran dan penyalahgunaan dadah.

Tuan Haji Azman yang bertindak sebagai pemudahcara bagi program ini akan meneliti kaedah penyelesaian setiap permasalahan masyarakat setempat, terutamanya yang berkaitan dengan pendidikan, dengan penglibatan bersama penduduk kampung tanpa mengira bangsa dan agama.
Dalam pada itu, setiap isu berbangkit yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut dilaporkan terus kepada agensi yang berkaitan untuk diberikan perhatian sewajarnya, seperti masalah kesihatan dan keselamatan murid di kampung tersebut yang melibatkan pihak KKM dan PDRM.
“Beberapa maklumat yang diperoleh akan dianalisis dan seterusnya diaturkan program yang bersesuaian untuk masa akan datang. Jadi, selepas ini saya akan adakan mesyuarat khusus bersama-sama pihak JPN dan PPD untuk menyelaraskan tindakan seterusnya berdasarkan input dalam pertemuan ini.”
Program Santuni MADANI – Satu Pemimpin Satu Kampung merupakan cetusan idea YAB Perdana Menteri sebagai satu kaedah meningkatkan potensi kampung yang dipilih oleh para pemimpin di negara ini bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung tersebut.
Program ini bertujuan untuk memperkayakan sikap cakna para pemimpin dengan menyantuni dan menjadi suri teladan bagi penduduk di kampung kelahiran, seterusnya memupuk rasa bangga dalam kalangan pemimpin terhadap kampung kelahiran.