Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSiapa yang tidak kenal Alphonse ‘Scarface’ Capone atau Al Capone? Beliau merupakan legenda gengster yang paling terkenal dalam sejarah. Semasa Al Capone berkuasa sekitar tahun 1920-an dan 1930-an, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)terbaik sekalipun tidak berjaya membawanya ke muka pengadilan.
Namun begitu, Al Capone tewas di tangan seorang akauntan bernama Frank J. Wilson. Wilson dianggap sebagai akauntan forensik prolifik terawal dalam sejarah dan beliaulah yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan Al Capone meringkuk di dalam penjara atas kesalahan pengelakan cukai (tax evasion) pada tahun 1931.
Kisah kejatuhan Al Capone menggambarkan perspektif menarik tentang peranan akauntan forensik. D. Larry Crumbley dan Nicholas G. Apostolou (2007) telah menulis artikel bertajuk “America’s First (and Most Fearless) High Profile Forensic Accountant” yang menceritakan secara ringkas kes tersebut.
Kekuasaan Al Capone
Semasa zaman puncaknya, Al Capone menguasai bandar Chicago hingga ke Illinois. Sebagai ketua kongsi gelap, beliau mengawal aktiviti perjudian, kelab malam, lumba kuda dan anjing, pusat pelacuran dan kilang arak. Dengan sogokan rasuah, Al Capone juga berkuasa ke atas ahli politik, hakim, polis dan media.
Walaupun pelbagai jenayah berat dilakukan, usaha penguat kuasa untuk melumpuhkan kegiatan Al Capone sering kali gagal dan Al Capone terus bebas kerana Al Capone memberi wang sogokan kepada pegawai penyiasat, hakim dan juri serta “menghapuskan” semua saksi yang terlibat. Al Capone begitu bijak menghilangkan jejak jenayahnya.
Skuad Untouchables
Elliot Ness dan skuad Untouchables di bawah Prohibition Bureau atau Biro Larangan (sebuah unit penyiasatan pengedaran alkohol dan minuman beralkohol) cuba memusnahkan sindiket jenayah Al Capone secara tindakan keras yang agresif. Kumpulan ini membuat serbuan demi serbuan ke atas premis milik Al Capone. Kisah skuad Untouchables pernah dijadikan modal filem Hollywood terkenal dengan tajuk The Untouchables (1987) lakonan Kevin Costner dan Sean Connery. Walaupun dalam filem Ness disifatkan sebagai seorang yang agresif, realitinya beliau lebih banyak melakukan tugas perhubungan awam dan menghabiskan banyak masanya di pejabat.
Tindakan agresif melalui serbuan hanya mampu menggugat aktiviti Al Capone, namun tidak dapat menyumbatnya ke penjara.
Kes Lari cukai Al Capone
Pada tahun 1929, Presiden Hoover dan Setiausaha Perbendaharaan, Andrew Mellon bersumpah untuk mengheret Al Capone ke muka pengadilan. Mereka melakukan strategi dengan mengaitkan Al Capone dengan kesalahan pengelakan cukai.
Walaupun Al Capone hidup mewah dan berbelanja boros, beliau tidak pernah membayar cukai. Al Capone tidak mempunyai akaun bank dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atas namanya meskipun untuk pembelian hartanah. Semua perbelanjaan Al Capone dibuat secara tunai.
Untuk mengaitkan Al Capone dengan kesalahan pengelakan cukai, pihak berkuasa mesti membuktikan bahawa Al Capone memperoleh pendapatan lebih USD5,000, iaitu nilai yang dikenakan cukai pada ketika itu. Agensi Percukaian Persekutuan menganggarkan pendapatan tahunan Al Capone adalah sebanyak USD50 juta (kini bernilai USD 920 juta atau RM4 bilion).
Siasatan Bermula
Kerajaan menugaskan Frank J. Wilson, 42 tahun, seorang daripada ejen khas di Baltimore untuk ke Chicago bersama-sama lima orang ejen lain bagi membina kes pengelakan cukai terhadap Al Capone. Wilson merupakan seorang penyiasat yang agresif.
Pada musim panas 1930, Wilson dan pasukannya memeriksa hampir dua juta dokumen yang diperoleh melalui beberapa siri rampasan dalam tempoh enam tahun di premis yang dipercayai milik Al Capone. Mereka cuba untuk membuktikan bahawa Al Capone berbelanja secara mewah dan secara langsung menunjukkan bahawa Al Capone memperoleh pendapatan yang banyak.
Pasukan Wilson menemu duga ahli perniagaan, ejen hartanah, kerani hotel, akauntan dan pekerja kelab malam yang rata-ratanya tidak mengaku pernah berurusan dengan Al Capone kerana takut. Siasatan juga dibuat dengan mewujudkan ejen pemberi maklumat dan melalui analisis rekod telefon, bank serta berbagai-bagai dokumen lain. Mereka cuba mengesan kelemahan atau kesilapan yang dilakukan oleh Al Capone.
Setelah berbulan-bulan bekerja keras dan maklumat demi maklumat diperoleh, semuanya menemui jalan buntu kerana kelicikan Al Capone. Tidak ada satu pun bukti yang dapat mengaitkan Al Capone dengan pendapatan yang diperolehnya.
Petunjuk Awal
Akhirnya pada satu malam sekitar jam 1.00 pagi, Wilson menerima tiga ikatan lejar berkaitan dengan aktiviti perjudian. Menurut polis tempatan, lejar tersebut diperoleh hasil serbuan daripada sebuah premis di Cicero.
Dalam setiap helaian lejar yang dijumpai itu, terdapat catatan pengiraan pendapatan bersih yang dibahagi kepada tiga orang individu yang hanya ditulis sebagai A, R dan J. Di beberapa muka surat, ditulis juga perkara Al. Penemuan yang paling penting adalah di satu muka surat, tercatat Frank paid USD17,500 for Al (Frank telah membayar USD17,500 bagi pihak Al).
Ini merupakan petunjuk pertama yang mungkin dapat mengaitkan Al Capone dengan pendapatannya daripada aktiviti perjudian terbabit. Dengan penemuan itu, perkara yang Wilson perlu buat adalah mencari orang yang menulis catatan itu. Seterusnya dapat memberi keterangan bahawa individu A dan Al itu merujuk kepada Al Capone.
Selama tiga minggu, Wilson mengesan individu yang menulis catatan penting itu. Wilson mengumpul contoh tulisan tangan rakan sekutu Al Capone di Chicago. Akhirnya, Wilson menjumpai slip deposit bank di Cicero yang mana tulisan tangannya sama dengan tulisan tangan di ketiga-tiga lejar.
Kejayaan Siasatan
Individu yang dikenal pasti itu bernama Shumway. Wilson memujuk Shumway yang ditemui di Miami agar bekerjasama bagi membuktikan pendapatan Al Capone daripada aktiviti perjudian dari tahun 1924 hingga 1926.
Walaupun bukti telah diperoleh, Wilson masih perlu buktikan hasil aktiviti perjudian masuk ke dalam poket Al Capone. Usaha penyiasatan diteruskan ke fasa yang seterusnya.
Hasil maklumat yang diperoleh, Wilson menemui individu yang dikenali J.C. Dunbar. Beliau dikatakan membawa wang tunai beratus ribu dolar dan membeli cek juruwang (cashier’s checks) bernilai USD300,000. Dengan bantuan inspektor surat, Wilson berjaya menahan J.C Dunbar (nama sebenarnya adalah Reis) di St. Louis, Missouri. Reis dibawa ke Chicago merentasi jalan sejauh 500 kilometer untuk memberi keterangan bahawa cek juruwang tersebut merupakan bahagian Al Capone hasil daripada keuntungan beberapa buah kasino.
Pada masa yang sama, semasa memeriksa transaksi pemindahan wang Western Union dari Chicago bagi tahun 1927 dan 1928, pasukan Wilson menemui bukti bahawa keluarga Al Capone di Chicago kerap menerima pemindahan wang. Al Capone sendiri menerima pemindahan wang di Miami dengan menggunakan nama samaran.
Perbicaraan
Dengan bukti dan keterangan yang ada, dalam bulan Mac dan Jun 1931, Al Capone dituduh atas 23 kesalahan, iaitu cuba mengelak daripada membayar cukai yang bernilai USD250,000 bagi pendapatan yang tidak diisytiharkannya dari tahun 1924 hingga 1929.
Perbicaraan Al Capone ditetapkan pada Oktober 1931. Seperti kes-kes lalu, Al Capone yakin akan terlepas. Sehinggalah Hakim Wilkerson menggantikan juri sedia ada dengan juri lain. Pertukaran itu dibuat berikutan maklumat yang diperoleh Wilson bahawa Al Capone telah “membeli” juri asal. Juri baharu ini diasingkan bagi mengelakkan cubaan rasuah oleh Al Capone.
Perbicaraan yang berlangsung menyaksikan Shumway dan Reis memberi keterangan dengan gementar. Pendakwa Raya Amerika Syarikat membawa beberapa orang saksi lain untuk menunjukkan kemewahan Al Capone menerusi pakaian mewah, perabot, makanan dan hadiah yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai USD116,000 bersamaan dengan nilai kini sebanyak USD2.1 juta atau RM9.3 juta. Semua perbelanjaan ini menunjukkan sesuatu yang amat mustahil kepada Al Capone yang mendakwa tidak mempunyai sumber pendapatan.
Al Capone masih percaya beliau akan terlepas. Walau bagaimanpun, amat memeranjatkan apabila Al Capone apabila mahkamah mendapati beliau bersalah atas kesalahan mengelak dari membayar cukai. Al Capone dijatuhkan hukuman 11 tahun penjara dan denda keseluruhannya berjumlah sebanyak USD250,000. Al Capone juga terpaksa membayar USD30,000 kos mahkamah. Hukuman terhadap Al Capone itu merupakan rekod paling tinggi pada ketika itu.
Pada tahun 1939, Al Capone dibebaskan dari penjara Alcatraz. Beliau tinggal di Florida dan mengidap penyakit kerosakan saraf yang berpunca daripada penyakit sifilis. Al Capone meninggal dunia pada tahun 1947 pada usia 48 tahun. Maka itu, berakhirlah kisah mafia hebat yang tewas hanya kerana seorang akauntan.