Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur – “Kebebasan bersuara adalah bersifat tidak mutlak dan perlu berdasarkan prinsip Rukun Negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan, tegas pengamal media negara merangkap Pengarah VOA Media Network, Datuk Dr. Chamil Wariya.
Selaku ahli panel pertama dalam program wacana Suara dari Anjung: Dewan Masyarakat, beliau berkata,

Dalam usaha menzahirkan kebebasan bersuara, kita perlu menjaga adab, perilaku sopan dan memikul tanggungjawab supaya masyarakat dan negara tidak berada dalam keadaan porak-peranda yang merugikan semua pihak
Wacana yang bertemakan “Kebebasan Bersuara Raikan Kemajmukan Masyarakat Malaysia” anjuran DBP melalui Bahagian Majalah dengan kerjasama Bahagian Multimedia telah berlangsung di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi tadi.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengamal media agar menjunjung prinsip Rukun Negara dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 10 memperuntukkan setiap warganegara Malaysia mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara selagi tidak menyentuh perkara yang berkaitan dengan isu sensitif.
Warga siber perlu menjaga emosi ketika memberikan komen atau kritikan terhadap sesuatu isu yang mungkin dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.
“Walaupun kebebasan bersuara itu membuka fikiran masyarakat yang kritis dalam membina negara dan bangsa, tetapi hal ini bukanlah bersifat mutlak dan tidak terbatas.
Sementara itu, ahli panel kedua, iaitu Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd. Noor Merican mengulas tentang kerencaman media selepas tahun 1996 telah menggugat perspektif dan pemikiran rakyat di seluruh dunia, yakni munculnya pelbagai platform media sosial dan istilah “Internet sebagai wadah pergaulan” mula dipopularkan.
Beliau turut mengupas tentang provokasi terhadap keharmonian masyarakat majmuk yang dicetuskan oleh sesetengah pempengaruh media sosial dan lasykar siber (cybertrooper) mengakibatkan tersebarnya maklumat yang berunsur hasad dan pemalsuan informasi.

Ujarnya,
Isu provokasi melalui lasykar siber bukan masalah endemik, bahkan juga berlaku di persada antarabangsa.
“Taktik sebegini dibuat untuk mengekalkan kuasa dengan apa-apa jua cara sekalipun walaupun pelaku disebalik layar ini boleh dikenakan tindakan undang-undang atas perbuatan mereka.
Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad menjelaskan bahawa terdapat kepelbagaian mikro (microdiversity) dalam masyarakat majmuk yang merujuk kerencaman dari segi bahasa dan pergaulan subetnik, khususnya dalam media sosial.
Subetnik masing-masing terperangkap di dalam kamar gema mereka dalam media sosial.
“Pertembungan antara subetnik jarang-jarang berlaku di platform maya, malah apa-apa yang diperkatakan oleh sesebuah komuniti dalam bahasa atau loghat mereka tidak bertembung dengan pengguna media sosial daripada komuniti yang lain.
Beliau berpendapat situasi seperti ini mengurangkan ketegangan antara sebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain kerana isu sesebuah komuniti hanya mengalami ledakan dalam komuniti itu sahaja dan tidak melarat menjadi isu nasional.
Diskusi berilmiah ini dikendalikan oleh Penolong Pengarah Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Encik Ahmad Muziru Idham Adnan selaku moderator.
Program ini diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Penerbitan, Encik M. Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengunjung di Anjung DBP.
Sebagai rekod, Program Suara dari Anjung yang diperkenalkan pada Januari 2024 adalah berbentuk wacana ilmu yang membincangkan isu semasa yang timbul melalui pelbagai media seperti media massa, media elektronik dan media sosial.
Program ini dilaksanakan secara bersemuka dan terbuka di Anjung DBP, Menara DBP dan turut disiarkan dalam bentuk rakaman menerusi Radio DBP (di portal JendelaDBP), laman sosial Facebook dan YouTube rasmi DBP.