31 Ogos 2024, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam mendepani era globalisasi yang mencabar pada hari ini, penjiwaan terhadap sesuatu nilai dalam diri setiap individu secara khususnya memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju untuk membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan berjiwa merdeka. Namun begitu, perlu difahami dengan mendalam bahawa asas utama untuk melahirkan sesuatu yang ideal dalam konsep kenegaraan bermula dengan suatu nilai yang disebut sebagai “patriotisme”. Nilai patriotisme sememangnya begitu sinonim dengan konsep penjiwaan mahupun perasaan sayang akan negara.

     Jika ditelusuri dengan mendalam tajuk perbincangan pada kali ini, semestinya tidak dapat dinafikan bahawa konsep patriotisme dan negara tidak dapat dipisahkan lagi. Lebih menarik, jika diperhatikan, konsep tersebut sering kali menjadi tajuk perbincangan yang tidak pernah lapuk dalam kalangan cendekiawan tanah air mahupun antarabangsa. Tidak kiralah dalam apa-apa jua konteks sekalipun, sama ada pembangunan dan kemajuan, keharmonian warganegara atau kejayaan negara dalam pelbagai bidang. Jika dirujuk pelbagai sumber, negara merupakan sebuah institusi yang mempunyai struktur masyarakat yang besar di sesuatu tempat. Konsep negara bukan sahaja sekadar menjadikan sesuatu kawasan sebagai tempat untuk berteduh namun memilki pelbagai ciri lain termasuklah dari konteks struktur pemerintahan. Tambahan pula, elemen bernegara ini semestinya memerlukan penghayatan jiwa yang mendalam dalam diri seseorang individu untuk memastikan kedudukan mahupun kedaulatan sesebuah negara terus terjamin. Justeru, sedarkah kita bahawa nikmat yang diperoleh hari ini bermula daripada titik tunjang nilai patriotisme yang disemai dalam diri setiap individu?

     Terdapat satu peribahasa yang menarik, iaitu “Tunggang hilang berani mati” yang merupakan satu ungkapan yang dilihat sangat bersesuaian dalam membincangkan hal kenegaraan. Warganegara yang bertanggungjawab semestinya akan sentiasa berusaha untuk meletakkan kewajipan bagi menanam sikap kasih sayang dalam hati yang mendalam sekali gus berusaha untuk memartabatkan serta membela bangsa dan negara Malaysia tercinta ini. Perlu ditegaskan bahawa warganegara yang bertanggungjawab semestinya sentiasa berusaha untuk memahami segenap ruang mahupun perspektif perbincangan berkaitan dengan nilai patriotisme. Generasi muda pada hari ini harus meletakkan tanggungjawab untuk meneroka nilai patriotisme sebagai suatu keutamaan dalam diri. Asas ini berkait rapat dengan cerminan negara pada masa akan datang sesuai dengan ungkapan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, sekali gus menunjukkan bahawa generasi pada hari ini akan menjadi tunjang hala tuju negara kelak.

     Apabila berbicara tentang patriotisme, tidak terlepas untuk mengulas nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi bersama-sama pada hari ini yang menjadi bukti paling utama yang dapat dirasai. Perjuangan tokoh kemerdekaan negara sejak dahulu hingga kini untuk menyatukan jiwa rakyat bukanlah perkara yang mudah. Perkara ini memerlukan magis yang tersendiri mengikut arus perubahan dan kemodenan dunia. Pada masa yang sama, nilai patriotisme yang disemai dalam diri setiap individu hari ini bukan semata-mata menunjukkan kesan kepada diri namun turut membawa makna yang mendalam kepada keharmonian sesebuah negara merangkumi perpaduan kaum, pengamalan sistem demokrasi yang lancar dan kestabilan dalam segenap aspek. Kejayaan yang dikecapi pada hari ini memerlukan kita sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan onak duri cabaran yang mendatang, sama ada dalam konteks tingkah laku warganegara, etika dan sebagainya.  Sikap sentiasa bersedia dalam diri warganegara sepanjang masa perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan negara terjerumus sekali lagi dalam peristiwa hitam seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

     Jika berbicara berkaitan dengan manfaat menjiwai semangat nilai patriotisme, tidak segan untuk diperkatakan bahawa masyarakat di Malaysia pada hari ini mampu untuk terus hidup bersatu padu tanpa mengira agama, warna kulit dan sebagainya. Sebagai contoh, dapat ditafsirkan bahawa penjiwaan nilai patriotisme yang merujuk kepada kecintaan kepada negara dalam kalangan masyarakat yang semakin utuh dapat dilihat dari pelbagai konteks seperti melalui semangat kesukanan. Dapat diperhatikan bahawa terdapat sesetengah sukan yang diwakili oleh atlet berbangsa Melayu namun turut mendapat sokongan penuh daripada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan bangsa. Perkara sedemikian menunjukkan bahawa semangat kecintaan masyarakat kepada negara semestinya berada pada tahap tertinggi apabila dapat menepis setiap perbezaan identiti demi melihat kejayaan mengharumkan nama negara.

     Seterusnya, manfaat penjiwaan nilai patriotisme dalam diri masyarakat juga secara tidak langsung membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan berdaya saing. Asas ini semestinya penting dan mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani serta menjadi contoh kepada negara lain. Perkara sedemikian  juga umumnya mampu meningkatkan kedudukan Malaysia di mata dunia ditambah pula berdasarkan status Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri dari aspek warganegara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Kepelbagaian yang dimiliki hakikatnya mampu membuka mata masyarakat luar dengan lebih meluas seperti melalui pengenalan terhadap tradisi dan budaya Malaysia yang pelbagai bukan sahaja dari segi kesenian, makanan dan cara hidup. Namun begitu, perlu dingat bahawa manfaat dan kejayaan besar yang kita miliki hari ini bertitik tolak daripada penjiwaan nilai patriotisme yang dipupuk dalam diri masyarakat seiring dengan usaha berterusan untuk menonjolkan identiti dan kebanggaan Malaysia di mata dunia.

     Selain itu, kelebihan yang dapat ditonjolkan oleh masyarakat Malaysia pada hari ini juga ialah sebagai sebuah negara yang aman damai dan mesra  penduduk melalui peranan yang dimainkan oleh masyarakat sendiri seperti beretika serta bertatasusila tinggi. Jika diperhatikan, gaya hidup masyarakat Malaysia yang menjiwai patriotisme ini dilihat lebih bersifat positif seperti mengamalkan budaya sopan santun, bertegur sapa dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa memikirkan konteks perbezaan. Konteks penjiwaan nilai sedemikian menjadi cerminan kepada negara bahawa masyarakat di Malaysia sememangnya mempunyai suatu mentaliti yang luar biasa. Seiring dengan itu, cara kehidupan masyarakat Malaysia sedemikian secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakat dari dahulu hingga hari ini telah menjiwai satu daripada tunjang negara, iaitu prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu, “Kesopanan dan Kesusilaan”.

     Sedar atau tidak, perlu difahami dan diterima dengan hati terbuka bahawa hakikat sebenar nilai patriotisme ini bukannya lahir secara semula jadi dalam diri seseorang. Nilai kecintaan kepada tanah keramat ini perlu dipupuk dan disemai dalam diri sejak awal usia lagi. Justeru, usaha untuk menerapkan nilai patriotisme ini secara dasarnya telah wujud melalui kepelbagaian peranan dalam sistem pendidikan kini. Sebagai contoh, dapat dilihat melalui peranan mata pelajaran tertentu seperti mata pelajaran Sejarah yang merangkumi pelbagai elemen nilai kenegaraan secara khusus dan mula diberi pendedahan bermula pada peringkat sekolah rendah. Walau bagaimanapun, kesinambungan antara patriotisme dengan konteks kenegaraan bukan semata-mata dapat dilihat apabila seseorang itu berkebolehan menyebut lim  prinsip Rukun Negara atau mampu mengibarkan Jalur Gemilang tanpa mengetahui tujuannya. Kesinambungan penjiwaan ini wajar diterjemahkan melalui kefahaman yang mendalam berkaitan dengan konteks kenegaraan serta rasa tanggungjawab dan kecaknaan yang tinggi dalam diri sepanjang masa.

     Sebagai penutup, masyarakat pada hari ini secara dasarnya tidak dapat dinafikan telah menjadikan pembudayaan dan penjiwaan nilai patriotisme sebagai satu keutamaan dalam diri setiap individu. Hal ini jelas terbukti dalam konteks masyarakat Malaysia sendiri yang menjadi tunjang dalam segenap aspek keharmonian dan kebersamaan antara satu sama lain. Dapat dirumuskan bahawa terdapat keperluan untuk kita bersama-sama menjadikan konteks nilai patriotisme sebagai tajuk perbincangan berterusan seiring dengan usaha untuk memupuk dan melenturkan lagi kesedaran penjiwaan nilai patriotisme sepanjang masa.

Kredit foto: Marek Piwnicki | Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.