Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHari ini, tanggal 31 Ogos begitu keramat. Kita menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan kali ke-67. Dalam tempoh dua minggu lagi kita akan meraikan Hari Malaysia, iaitu hari yang signifikan bagi memperingati tarikh pembentukan Malaysia tujuh tahun selepas pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957.
Ironinya, Malaysia jauh berbeza daripada banyak negara. Tidak dapat dinafikan bahawa masih ada kekurangan di sana di sini. Namun begitu, tanah air tercinta ini tetap aman sepanjang masa berikutan suasananya yang tiada tandingannya. Mungkin sebab itulah juga lebih tiga juta orang rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mencari mata pencarian lalu membawa sebahagiannya ke negara mereka.
Toleh kanan, toleh kiri, kita menyaksikan konflik dalaman di banyak negara pada setiap masa. Konflik baharu yang tercipta turut menghantui negara dan rantau lain, selain pergeseran, pertikaian, peperangan antara negara, konflik geopolitik turut memberikan tempias kepada kita. Namun begitu, Malaysia tetap indah dan aman buat kita.
Terdapat sebahagian daripada kita yang berpandangan dan melemparkan tanggapan kurang menyenangkan dengan mengatakan Malaysia juga akan berhadapan dengan kemungkinan yang sama, iaitu dibadai konflik, krisis atau pertikaian yang boleh menggugat negara, pada satu hari nanti.
Dalam hal ini, kita perlu mengelakkan apa-apa jua tanggapan sedemikian. Kita perlu menafikan atau menidakkan tanggapan dan pandangan seperti itu. Malaysia masih bebas daripada krisis dan konflik yang meletakkan rakyat dalam kesukaran hidup. Kita perlu mewariskan bumi yang aman dan damai ini untuk generasi akan datang tanpa meninggalkan situasi yang sukar dan pedih serta menyakitkan kepada mereka.Biarlah keindahan pada hari ini kekal untuk selama-lamanya.
Kita perlu memastikan generasi akan datang kekal menikmati suasana kondusif disusuli dengan kehidupan yang berkualiti. Oleh itu, kita perlu membulatkan tekad ini dalam diri kita.
Malaysia bertuah. Rakyatnya juga amat bertuah kerana kita masih merasai kehidupan yang indah, aman dan tenang. Tiada yang terganggu, bahkan tiada yang tergugat. Meskipun ada usaha pihak tertentu yang mahu merosakkan perpaduan negara, namun keadaan pada masa ini masih dalam kawalan. Walaupun kita pernah diuji dengan isu sosial, namun rata-ratanya kita masih mampu ke sana sini tanpa diburu oleh rasa takut Kita boleh berada di mana-mana sahaja dengan tenang untuk meneruskan kelangsungan hidup.Itulah keunikan dan kelebihan sebuah negara bertuah yang bernama Malaysia.
Saya merupakan sebahagian daripada mereka yang lahir sembilan tahun selepas negara merdeka. Pada Oktober 1966, saya dibesarkan di sebuah estet yang menjadi lapangan kepada komoditi pokok getah dan kelapa sawit yang terletak di Jalan Paloh-Yong Peng, Johor. Paloh merupakan sebuah pekan di daerah Kluang yang terdiri daripada lebih satu dozen estet dan juga kawasan FELDA. Pada usia kecil, saya pernah menyaksikan impak penguatkuasaan perintah darurat yang kini sudah tidak ada dalam perjalanan kehidupan sosial di negara kita. Walaupun tidak mengerti punca penguatkuasaan darurat pada ketika itu, tetapi pengalaman melihat sekatan polis dari semasa ke semasa pada waktu itu memberikan mesej khusus kepada saya bagi memastikan keamanan terpelihara.
Kekal Bersatu
Rakyat kekal bersatu walaupun adakalanya kita turut berdepan dengan detik cabaran dan ujian pada masa itu. Kini Paloh sudah jauh berbeza berbanding dengan empat dekad yang lalu. Sebahagian daripada masa saya habiskan di Lembah Klang untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya bekerja serta mendirikan rumah tangga.
Saya lahir di Ladang Kempas. Kemudian dibesarkan di sebuah estet yang jauhnya kira-kira lapan kilometer dari Ladang Kempas, iaitu estet yang didiami oleh pekerja pelbagai kaum. Tiada pekerja asing ketika itu. Jiran saya terdiri daripada pelbagai budaya, agama dan kaum. Sebelah kiri rumah dihuni oleh orang Melayu. Jiran di hadapan rumah pula dihuni oleh Cina. Ladang Chin Moh berjiran dengan Ladang Mados dan FELDA Paloh. Makan nasi daun pisang dan nasi dulang bersama-sama kawan pelbagai kaum merupakan perkara biasa yang saya lihat dan alami sejak kecil.
Kenduri majlis kahwin pula akan dihadiri oleh semua kaum. Sambutan Deepavali, Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas yang diiringi jamuan raya hidangan pelbagai budaya dan kaum adalah satu perkara biasa dan sangat dinantikan-nantikan, terutamanya oleh golongan kanak-kanak. Semua orang akan berkumpul di ruang legar pejabat pengurusan ladang untuk menikmati hidangan yang enak bersama-sama.
Semangat kekitaan dan kebersamaan akan membawa keceriaan dalam kalangan penduduk setempat. Kami menjangkakan situasi yang sama akan dirasai di kawasan dan wilayah lain di Malaysia kerana diajar begitu semasa berada di sekolah menerusi subjek Geografi, Sejarah dan Pendidikan Sivik. Suasana itu masih dirasai. Kedua-dua estet itu masih wujud, tetapi persekitaran kini sudah jauh berubah.
Pekerja-pekerja asing sudah menggantikan rakyat tempatan. Pokoknya, Malaysia kekal sebagai sebuah negara indah dan menjadi tarikan ramai, iaitu pekerja asing dan pelancong. Hal ini bermakna Malaysia mempunyai keunikan yang perlu dipertahankan dan diwarisi demi kemakmuran generasi akan datang.
Apabila setiap kali tiba cuti sekolah, iaitu ketika berada di sekolah menengah, saya akan berkunjung ke Batu Pahat semata-mata untuk berkampung di dusun durian milik pengurus estet. Hal ini menyerlahkan lagi suasana yang membolehkan saya mengenali dengan mendalam sebuah komuniti Cina. Di dusun itu juga terdapat komuniti Melayu. Banyak peluang yang diperoleh untuk kami memahami antara satu sama lain.
Selepas menghabiskan pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Paloh, saya meneruskan pelajaran di sekolah menengah yang terdiri daripada pelbagai kaum. Proses pembelajaran di sekolah menengah memberikan pengalaman yang baharu kepada saya. Seterusnya di sekolah tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang popular dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengajian – satu lagi perkara yang membawa kepada pengenalan kepelbagaian kaum. Malah, di UKM juga saya berdepan satu lagi pengalaman baharu, iaitu pengalaman memperhalusi dan mendalami soal sosiopolitik sebenar, yang turut dicerminkan dalam landskap politik kebangsaan pada hari ini.
Selaku penganalisis pilihan raya, banyak orang bertanya kepada saya, sama ada pengamal media mahupun orang awam mengenai punca dan impak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kira-kira 18 bulan yang lalu. Pandangan saya kepada mereka mudah. Hal ini banyak terkait dengan perkembangan sepanjang empat dekad yang lalu, termasuklah politik kampus yang menjadi akar umbi kepada tuaian pada hari ini.
Saya mempunyai satu impian kecil. Sudah lama sebenarnya saya mahu menubuhkan kelab perpaduan dalam kalangan anak-anak jiran bagi menghimpunkan jiwa anak muda yang terdiri daripada pelbagai kaum. Impian itu belum menjadi kenyataan. Siapa tahu mungkin tidak lama lagi. Pada tahun 2015, anggota keluarga saya bertambah. Kini anak saya berumur sembilan tahun.
Anak saya, Srinisha dan dua rakannya, Nur Adria Aleesa Mohd Akmal dan Tan Wei Syuen merakamkan detik bersejarah mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan dengan mengenakan pakaian tradisional masing-masing. Kemungkinan ini daapt dikatakan sebagai detik awal untuk menubuhkan kelab perpaduan kelak. Kita perlu menggalakkan tunas semangat perpaduan sedari awal lagi.
Sambutan setiap tahun ini juga menjadi pengukur sejauh mana kita bersatu padu dalam usaha mempertahankan kemerdekaan yang kita capai sejak tahun 1957 dan kemudiannya disusuli oleh pembentukan Malaysia.
Ada pihak yang mendakwa bahawa mengatakan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kelihatan semakin tidak kukuh. Sebenarnya tidak. Saya melihat dari sudut berbeza. Perpaduan masih kukuh dalam kalangan kita. Ini hakikatnya!
Saya ada sebab yang khusus.Perpaduan boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Satu daripadanya mencerminkan sikap kita dalam memahami budaya orang lain, yakni cara atau kaedah kita bergaul dengan rakan-rakan daripada kaum dan agama lain.
Jiran yang Tidak Ternilai
Dua tahun lalu, keluarga Nur Adria Aleesa telah menunjukkan satu contoh yang luar biasa. Kisah ini tidak dapat dilupakan oleh saya hingga ke penghujung hayat. Keluarga kami bangga memiliki jiran yang memahami saat-saat sukar dilalui semasa pemergian anggota keluarga tersayang. Sehari selepas kita menyambut Hari Malaysia, pada 17 September 2022, isteri saya, seorang guru, meninggalkan kami kerana sakit secara tiba-tiba. Pada hari yang sama, keluarga Nur Adria Aleesa, anak ketiga mereka yang berusia lima tahun ketika itu, telah membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun hari kelahirannya. Disebabkan pemergian isteri saya, mereka telah memutuskan untuk membatalkan segala sambutan majlis itu. Kami sama sekali tidak menyangka tindakan mereka. Pada waktu malam pula, mereka menghantar makanan vegetarian kepada kami. Lazimnya, bagi mereka beragama Hindu, hanya makanan vegeratian dibolehkan sehingga upacara sembahyang sepenuhnya selesai diuruskan. Hal ini bermakna, mereka faham akan pantang larang jika berlakunya kematian dan sebagainya.
Kami terkejut! Kedua-dua peristiwa itu amat menyentuh hati kami.
Seorang lagi jiran, selain menyediakan khidmat kecemasan kepada isteri pada saat dia amat memerlukan bantuan perubatan dan ambulans pula tidak tiba-tiba, mengiringi saya sehingga ke hospital berhampiran dan berada di sana sehingga segala urusan berkaitan dikendalikan selepas isteri menghembuskan nafas terakhir. Malah, ketika setiap Ramadan, mereka sentiasa berkongsi makanan. Satu lagi cerminan keindahan hati murni yang saya terima daripada jiran tetangga.
Kita sentiasa didedahkan dengan sikap murni dan budiman rakyat pelbagai kaum yang dipaparkan menerusi media. Kesemua itu menambahkan lagi kelebihan sedia ada yang dimiliki oleh negara kita, sekaligus menggambarkan keunikan aset yang tidak boleh dijual beli.
Apa-apa yang saya alami ini merupakan satu daripada contoh yang akan menambahkan lagi keunikan, keindahan dan warna-warni warga Malaysia. Semua ini perlu diwarisi demi mengindahkan lagi tanah air supaya kita dapat meninggalkan keharmonian ini kepada generasi akan datang agar perpaduan ini kekal untuk selama-lamanya. Jangan sama sekali cuba merosakkan keindahan Malaysia yang dibina selama ini yang menjadi asas kepada kesejahteraan dan keamanan kita.
Semoga tiga orang kanak-kanak ini – Nur Adria Aleesa, Srinisha dan Wei Syuen akan menjadi saksi kepada warisan negara yang aman dan damai.
Dr. G. Manimaran, memulakan kerja sebagai wartawan lebih tiga dekad lalu. Beliau kini merupakan perunding media dan penganalisis pilihan raya.