Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyatakan hasrat Malaysia untuk berada dalam kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal tahun 2025 hingga 2029 dalam pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, TYT Xing Qu, semalam.
Menurut YB Fadhlina merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), inisiatif ini adalah selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program yang dilaksanakan pada peringkat serantau dan global.
Sementara itu, TYT Xing Qu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen berterusan negara untuk memperkukuhkan agenda UNESCO.
Perbincangan antara kedua-dua pihak turut berkisar tentang agenda pendidikan untuk semua, pemerkasaan bidang sains dan teknologi, serta etika dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
YB Fadhlina yang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 turut mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama dengan pemimpin pendidikan antarabangsa yang lain pada 2 September yang lalu.
Beliau telah menyatakan bahawa komitmen Malaysia untuk memperkasakan teknologi AI menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021–2025, serta pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
Presiden SKUM itu berpendapat bahawa potensi teknologi AI perlu terus diterokai untuk menyokong matlamat pendidikan dan tanpa meminggirkan nilai kemanusiaan.
Beliau turut berkongsi pengalaman dengan peserta mengenai inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu.