12 September 2024, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Fasilitator menyampaikan taklimat program Majalah Dalam Kelas kepada peserta.

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Hari Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Kota Kinabalu mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah mengadakan program Majalah Dalam Kelas (MDK) pada hari ini bagi meningkatkan budaya membaca khususnya dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Program kali ini diadakan sebanyak tiga sesi, iaitu 320 orang pelajar bagi Tahun 4, 343 orang pelajar bagi Tahun 5 dan 184 orang pelajar Tahun 6 bersama-sama lima orang guru yang menjadi jumlah keseluruhan sebanyak 852 orang peserta MDK.

Selain sesi taklimat dan penerangan tentang kandungan Majalah Dewan Pelajar, peserta juga teruja dengan pelbagai kuiz dan diselitkan semasa aktiviti berlangsung. Antaranya termasuklah Teka Simpulan Bahasa dan Peribahasa; Kuiz Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul; serta Kuiz Menara Belon.

Aktiviti MDK bersama-sama pelajar Tahun 5 di SK Malawa, Kota Kinabalu.

Menurut DBP, program MDK ini merupakan satu inisiatif DBP bagi menggalakkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2021 dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.

Selain itu juga, program ini juga mampu meningkatkan penyertaan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) dengan merekodkan jumlah buku yang dibaca oleh pelajar melalui pembacaan majalah terbitan DBP.

Menariknya, DBP berkata,

Majalah terbitan DBP bukan sahaja dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi guru Bahasa Melayu, malah juga menggalakkan PdP guru-guru mata pelajaran lain.

Sebagai contoh, majalah Dewan Pelajar mempunyai ruangan Sisipan DP bagi empat mata pelajaran (Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Sejarah) untuk pelajar membuat latih tubi. Majalah ini turut menyediakan ruangan sampingan, seperti kesihatan, teroka dunia, dan sukan dan permainan.

Bagi menjayakan program Hari Pusat Sumber Sekolah, pihak sekolah turut mengundang Perpustakaan Negeri Sabah untuk mengadakan aktiviti bersama pelajar.

Selain DBP Cawangan Sabah, pihak sekolah juga turut mengundang Syarikat CCD Sdn. Bhd. dan Syarikat R&T Sdn. Bhd. bagi mengadakan pameran dan jualan buku untuk merealisasi hasrat program ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.