Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Lina (bukan nama yang sebenar) sedang sarat mengandung dengan keadaan perutnya yang sedikit buncit. Teman sekolah mengusik dirinya yang kelihatan berisi. Dia meneruskan persekolahan pada setiap pagi, namun fikirannya jauh melayang sepanjang hari kerana memikirkan janin yang kian membesar. Lina masih diselubungi trauma yang amat menghantui jiwanya setelah menjadi mangsa serangan seksual bapa tirinya.
Dia berasa takut untuk memberitahu ibunya dan ahli keluarga terdekat, lebih-lebih lagi berasa risau akan dipulaukan dan menjadi bahan ejekan di sekolah. Kesan luka di tangan dan bahagian perut menunjukkan percubaan untuk mencederakan diri dan kandungannya. Hatinya pernah terdetik untuk membuang bayi yang bakal dilahirkan di tong sampah kerana dia sangat membenci janin yang dibawanya.
Lina lantas melakukan carian di Internet bagi menyelesaikan masalahnya dengan cara yang paling selamat untuk diri dan bayinya. Pada akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menghantar bayinya ke peti perlindungan bayi atau “baby hatch” di Petaling Jaya dan ingin mendapatkan nasihat daripada kaunselor yang bertugas di situ.”
Situasi sebegini kerap kali berlaku dalam masyarakat yang memperlihatkan anak gadis yang masih di bawah umur buntu untuk mencari jalan penyelesaian yang rasional untuk kandungan luar nikah mereka. Jalan pintas yang mampu difikirkan pada ketika itu hanyalah dengan membuang bayi yang telah dikandungkan selama lebih kurang sembilan bulan di tong sampah, tandas awam atau di hadapan rumah ibadat. Gadis tersebut terpaksa mengambil keputusan sebegitu kerana berasa takut dengan pandangan masyarakat dan tidak mahu memusnahkan masa depan dirinya.
Pelbagai kisah yang menyebabkan kehamilan luar pernikahan ini berlaku, sama ada atas sebab kesilapan remaja itu sendiri atau yang paling menyedihkan apabila menjadi mangsa serangan seksual. Namun demikian, penyebab kepada kehamilan anak tidak sah taraf ini tidak sepatutnya menjadi jawapan muktamad untuk membuang bayi di tempat awam. Perbuatan itu merupakan satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang terhadap pelaku mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu masing-masing bagi kesalahan membunuh dan cubaan membunuh sekiranya hasil siasatan memenuhi setiap elemen kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah seksyen tersebut.
Menurut laporan sebuah akhbar arus perdana bertarikh 25 Mac 2024, sejumlah 509 kes pembuangan bayi direkodkan dari tahun 2018 sehingga Februari 2024 berdasarkan statistik yang diperoleh dari Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa sesi Kamar Khas Dewan Rakyat. Angka kes baharu yang tidak pernah menunjukkan penurunan sememangnya membimbangkan masyarakat, terutamanya mereka yang bergelar ibu bapa. Sebahagian masyarakat juga seolah-olah hanya menyalahkan perbuatan gadis tersebut tanpa bersikap empati dan melihat punca sebenar yang membawa kepada permasalahan tersebut.
Menyalahkan gadis tersebut atas kesilapan menghamilkan anak tidak sah taraf bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Di sinilah pentingnya peranan dan kesedaran remaja perempuan itu dan ibu bapanya, atau penjaga untuk mencari jalan yang mampu menyelamatkan nyawa dan masa depan kedua-dua ibu dan bayi yang dilahirkan. Terdapat beberapa buah pusat perlindungan wanita dan remaja yang hamil luar pernikahan di seluruh Malaysia yang mampu menjadi tempat perlindungan sementara yang selamat. Selain itu, penubuhan peti perlindungan bayi atau “baby hatch” semakin menjadi bualan masyarakat dunia kerana turut menawarkan alternatif perlindungan dan sistem sokongan yang baik kepada ibu dan bayi yang dilahirkan.
Fenomena peti perlindungan bayi yang juga dikenali sebagai “baby box” semakin tersebar di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Konsep kotak bayi ini berfungsi sebagai tempat yang selamat untuk ibu atau penjaga yang tidak mahu menjaga bayi yang baru dilahirkan disebabkan oleh kekangan kewangan, faktor usia yang terlalu muda atau malu dengan stigma masyarakat. Caranya adalah dengan meninggalkan bayi di dalam sebuah kotak yang disediakan pada dinding di luar bangunan pusat kesihatan atau gereja yang menawarkan perkhidmatan sosial ini. Identiti ibu juga dirahsiakan dengan tiada pemasangan kamera berdekatan dengan peti perlindungan tersebut. Bayi yang ditinggalkan akan diberikan rawatan sekiranya tidak sihat dan kemudian diuruskan oleh badan kebajikan atau pusat gereja untuk proses seterusnya, iaitu pengambilan anak angkat.
Perbincangan isu sosial tersebut turut mendapat perhatian industri perfileman apabila pengarah Hirokazu Kore-eda dari Jepun menghasilkan filem Broker (2022) untuk meneroka isu peti perlindungan bayi di Korea Selatan yang lebih popular berbanding dengan di negaranya. Menurut laporan daripada Nikkei Asia, jumlah bayi yang telah ditinggalkan di peti perlindungan bayi di Hospital Jikei di bandar Kumamoto, iaitu satu-satunya pusat pengendalian kotak bayi di Jepun hanya berjumlah 161 orang bayi dalam tempoh 15 tahun sepanjang operasinya yang bermula pada Mei 2007. Sebagai perbandingan, lebih 1990 orang bayi direkodkan dihantar ke peti perlindungan bayi sejak penubuhannya di Korea Selatan pada Disember 2009 oleh seorang paderi Gereja Komuniti Jusarang yang bernama Lee Jongrak.
Populariti peti perlindungan bayi di Korea Selatan selari dengan sistem sokongan yang berterusan dan kesedaran masyarakat di negara itu yang percaya bahawa seorang bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan. Dana awam yang tidak pernah putus juga membolehkan ibu muda menerima bantuan susu, pakaian bayi dan elaun saraan hidup yang dibekalkan oleh gereja berkenaan. Kebanyakan ibu muda ini terdiri daripada pelajar sekolah yang pada mulanya meletakkan bayi di peti perlindungan kerana berasa panik dengan situasi yang melanda diri mereka. Mereka kemudiannya memilih untuk mengambil semula dan menjaga bayi mereka sendiri bersama-sama dengan pasangan atau keluarga masing-masing. Sikap tanggungjawab ini sangat digalakkan oleh paderi Lee Jongrak yang melihat anak muda memerlukan pertolongan dan sokongan daripada orang dewasa semasa peralihan fasa kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun, konsep perkhidmatan sosial tersebut masih menimbulkan perdebatan di kebanyakan negara kerana persoalan etika dan undang-undang terhadap isu pembuangan bayi, hak merahsiakan identiti ibu dan hak seorang anak untuk mengetahui identiti darah dagingnya serta kebajikan kanak-kanak tersebut untuk membesar dengan selamat. Setiap negara mempunyai peraturan dan garis panduan yang tersendiri mengenai keberkesanan operasi peti perlindungan bayi dan implikasinya terhadap isu pembuangan bayi, sekali gus menyentuh isu hak asasi manusia yang menjadi perbahasan dunia.
Di Malaysia, penubuhan peti perlindungan bayi bukanlah untuk menggalakkan hubungan terlarang yang membawa kepada kelahiran anak tidak sah taraf dan membenarkan sikap tidak bertanggungjawab pelaku yang hanya menyerahkan anak mereka kepada badan kebajikan. Peti perlindungan bayi ini bertujuan membendung kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa dengan memberikan sistem sokongan dan pendidikan kepada ibu dan bayi yang dilahirkan. Ibu yang hamil dan memerlukan bantuan dialu-alukan untuk menghubungi talian sokongan OrphanCare, iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang mengendalikan peti perlindungan bayi di Malaysia. Perkhidmatan talian selama 24 jam ini untuk wanita yang hamil sahaja dan perbualan bersama-sama dengan staf yang bertugas dijamin sulit dan bebas daripada sebarang pandangan yang menghukum perbuatan gadis atau wanita tersebut.
Orphancare juga menerima wanita dan gadis dari semua latar belakang dan menggariskan beberapa misi, iaitu untuk membantu mereka yang mengalami krisis dengan mendengar tanpa menghakimi; memberikan sokongan secara peribadi; mengendalikan kes dengan penuh kerahsiaan; menawarkan nasihat dan sokongan yang praktikal; menasihatkan ibu yang bersalin tentang pilihan yang ada; sesi kaunseling bersama-sama dengan ibu yang bersalin tentang keputusannya terhadap masa depan bayi; membina rangkaian sokongan untuk mereka kembali dalam lingkungan masyarakat; dan membantu ibu yang bersalin untuk mengenal pasti ibu bapa angkat yang sesuai sekiranya mereka memilih program pengambilan anak angkat.
Di Semenanjung Malaysia, OrphanCare beroperasi di tiga buah tempat, iaitu di Petaling Jaya, Selangor; Johor Bahru, Johor dan Sungai Petani, Kedah. OrphanCare turut bekerjasama dengan tujuh buah cawangan Hospital KPJ yang menyediakan peti perlindungan bayi. Peti perlindungan bayi di Malaysia adalah sama seperti sistem di negara lain. Sistem penggera peti perlindungan tersebut akan berbunyi bagi memaklumkan kepada pekerja yang bertugas tentang kedatangan bayi baharu yang diletakkan di dalam peti itu. Kotak bayi juga mempunyai penghawa dingin dan selesa apabila bayi ditinggalkan di dalamnya. Pekerja kemudiannya bergegas bagi memastikan bayi berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut. Proses pendaftaran kemudian dilakukan dan bayi tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Layari laman sesawang (https://orphancare.org.my/) untuk maklumat lanjut tentang bentuk bantuan dan sokongan yang disediakan oleh OrphanCare.
Akhir kata, penulis ingin menitipkan kata-kata semangat kepada para gadis yang menghadapi masalah ini supaya tidak berputus asa untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik, iaitu dengan memilih tempat perlindungan yang selamat dan berani untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya anda menjadi mangsa serangan seksual. Penulis berharap agar kita tidak hanya menyalahkan keadaan dan situasi yang melanda, tetapi mengambil keputusan dan pilihan yang terbaik untuk keluar daripada trauma yang terlalu pahit. Perjalanan hidup dan masa depan kita juga masih jauh dan janganlah takut untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin situasi yang terjadi kepada diri mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan peluang yang diberikan oleh Tuhan untuk mematangkan pemikiran dan prinsip hidup masing-masing.