13 September 2024, 23:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ampang – Perhimpunan Agung Negara Ke-98 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menyaksikan sebanyak 355 orang perwakilan yang terdiri daripada ahli Persatuan Veteran Induk dan Sayap Srikandi PVATM seluruh negara berhimpun di Hotel Grand Barakah, Ampang, malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki dalam ucapan perasmiannya berkata, perhimpunan pada malam ini merupakan pertemuan yang amat penting bagi beliau dengan PVATM dan menjadi titik permulaan hubungan kerjasama yang positif dan erat setelah menerajui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Kementerian Pertahanan pada 2 September 2024 yang lalu.

Saya berasa terpanggil untuk mendalami isu dan cabaran semasa komuniti veteran kita, seterusnya berganding bahu dengan persatuan veteran seperti PVATM ini untuk meneroka pelbagai inisiatif dan program terbaik yang boleh memanfaatkan komuniti veteran dalam jangka masa panjang secara menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa setiap persatuan veteran merupakan ejen yang penting kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM di lapangan dalam penyaluran dan penyampaian maklumat mengenai hal ehwal mahupun isu-isu yang berlaku dalam kalangan veteran serta mengetengahkan isu yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi komuniti veteran agar didengari oleh kerajaan.

Tambah beliau,

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM turut memohon kerjasama semua pihak untuk sentiasa memastikan data dan maklumat peribadi veteran dan tanggungan masing-masing dapat dikemas kini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan isu keciciran bantuan dan manfaat yang ditawarkan oleh kerajaan kepada veteran.

Pada masa yang sama,  YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki menyeru semua persatuan veteran untuk terus memberikan sokongan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM melalui pelibatan dalam aktiviti jabatan termasuklah dengan mengutarakan idea-idea bernas yang boleh meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup komuniti veteran.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PVATM yang diwakili oleh Presiden PVATM, YBhg. Kapten Datuk Sharuddin Haji Omar (Bersara) dengan Maharani Technologies Development sebagai permulaan kerjasama strategik baharu serta disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki dan jemputan khas.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.