Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 23 September 2024 hingga 22 September 2026.
Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman, Penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), UIAM merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari Universiti London, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah Islam dari Universiti Temple, Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan, KPT berkata,
Beliau merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air dan memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada tahun 2009.
Katanya, kementerian yakin dengan pelantikan ini, beliau akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
KPT berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.