Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Program Anak Kita.
Menerusi kenyataan bersama, program ini bertujuan untuk menangani masalah keciciran di negara ini dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seiring pendekatan keseluruhan negara yang diiltizamkan oleh Perdana Menteri.
Program pemulihan pembelajaran ini memberi tumpuan terhadap meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.
Katanya, inisiatif yang akan dilancarkan pada Jumaat ini dikelolakan oleh MoF dan KPM dengan kerjasama Yayasan Hasanah.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek dalam kenyataan sama berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia.
Tambah beliau,
Perkara ini melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global seperti Matlamat Pembangunan Lestari 4 (Pendidikan Berkualiti) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG4) dan konsep Malaysia MADANI, yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.
Katanya, berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP), pada tahun 2023, daripada 395,870 calon yang berdaftar, 10,160 atau 2.65 peratus tidak hadir untuk peperiksaan ini.
Jelas beliau, “Daripada jumlah pelajar yang menduduki pada tahun yang sama, 6.5 peratus daripada jumlah calon, bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka.”
Menurut beliau, KPM pada waktu ini sedang giat melaksanakan inisiatif reformasi pendidikan yang antara lain bertujuan untuk menangani isu keciciran pembelajaran.
Tambahnya, ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuklah penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata,
Pendidikan ialah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.
Beliau mengatakan bahawa memiliki kelayakan SPM adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.
“Kerajaan komited membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.
Beliau berkata,
Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat Kerajaan Malaysia dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara ini.
Gabungan kedua-dua kementerian juga menyatukan organisasi korporat, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan, serta organisasi antarabangsa, yang sama-sama berganding bahu mengikut kepakaran dan pengkhususan masing-masing untuk menangani keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.
Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital.