Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelangkah ke tahun 2024, banyak aplikasi bercirikan digitalisasi yang dibangunkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita sehinggakan ada teknologi yang tidak mampu dikejar dek kerana kepesatan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas. Namun begitu, kewujudan kecerdasan buatan (AI) pada hari ini memberikan gambaran bahawa aplikasi ini harus diterokai oleh semua golongan agar tidak ketinggalan dalam dunia teknologi. Apatah lagi, seruan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar semua universiti di negara ini mengembangkan kursus digital dan kecerdasan buatan kepada pelajar yang tidak mengambil jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti jurusan sastera, menggambarkan komitmen jitu kerajaan terhadap pelaksanaan AI sebagai enjin pemacu ekonomi negara.
Sebagai bukti, Fakulti AI Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei 2024 yang bertujuan untuk melatih bakat AI dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang AI dan robotik dengan fokus untuk menarik pelabur dan industri tempatan. Keadaan ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa negara sudah bersedia secara menyeluruh untuk meneroka dan memperkasakan teknologi terbaharu itu. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan memandang serius terhadap teknologi AI yang semakin mendapat perhatian dunia. Walaupun secara zahirnya tumpuan lebih diberikan kepada generasi muda, namun AI tidak mengenal usia. Semua golongan harus peka terhadap teknologi semasa dunia yang bakal mengambil alih tugas manusia.
Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP)
Selaras dengan penekanan terhadap AI atau digitalisasi, sektor koperasi dilihat sebagai satu daripada sektor yang berupaya menggerakkan transformasi digital khusus untuk gerakan koperasi di Malaysia. Melalui Pelancaran Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) pada 10 Julai 2023, kerajaan komited memastikan semua rakyat Malaysia terutamanya yang terlibat dalam bidang perusahaan koperasi tidak ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.
Antara objektif yang digariskan dalam DigiKOP ialah mentransformasikan koperasi ke arah penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam tadbir urus dan aktiviti, membangunkan keupayaan bakat digital yang berpengetahuan, cekap dan kompeten serta mewujudkan ekosistem digital yang inklusif, selamat dan beretika. Antara inisiatif yang dibangunkan oleh DigiKOP termasuklah program latihan dan pembangunan kemahiran digital yang bertujuan untuk membantu koperasi dan anggotanya menyesuaikan diri dengan transformasi digital.
DigiKOP merupakan langkah penting dalam menggerakkan koperasi ke arah ekonomi digital serta memastikan mereka mampu bersaing dalam landskap perniagaan yang lebih pantas dan berteknologi tinggi. Oleh itu, DigiKOP dilihat sebagai cetak biru (blueprint) Pelan Tindakan Pembangunan dan Pelaksanaan Program Pendigitalan yang lebih tersusun dan seterusnya memberikan nilai tambah kepada gerakan koperasi di Malaysia.
Cabaran dalam Merealisasikan DigiKOP
Dalam merealisasikan pelaksanaan DigiKOP, pastinya wujud isu dan cabaran seperti keupayaan modal insan. Sumber manusia merupakan satu daripada faktor pendorong utama dalam usaha transformasi koperasi ke arah pendigitalan. Sekiranya koperasi mempunyai sumber manusia yang terhad, mereka perlu mengoptimumkan sumber manusia sedia ada bagi menjalankan tugasan secara penugasan berbilang (multitasking). Hal ini akan merencatkan operasi koperasi khususnya dalam penjanaan dan pengadaptasian pengetahuan mengenai pendigitalan. Oleh itu, kekurangan kepakaran, bakat dan pengetahuan dalam inisiatif pendigitalan perlu ditangani oleh koperasi pada masa sekarang dan pada masa hadapan supaya lebih berdaya saing. Barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK), pengurusan dan anggota koperasi juga perlu celik dan kompeten dalam penggunaan teknologi agar dapat melatih, membangunkan dan melahirkan pemimpin digital koperasi pada semua peringkat.
Aspek kecekapan sistem pentadbiran dan pengurusan juga dilihat sebagai penghalang dalam aspirasi DigiKOP. Kebanyakan koperasi masih mengguna pakai kaedah manual dan masih menyediakan dokumen, merekod, menyampai, menyimpan data dan transaksi dalam bentuk manual dan salinan keras (hardcopy). Peralihan kepada teknologi baharu sukar dilaksanakan kerana koperasi tidak didedahkan dengan cara bekerja berasaskan digitalisasi. Kadangkala keadaan ini berlaku disebabkan oleh tampuk kepimpinan yang masih mengekalkan corak bekerja secara manual hingga ke hari ini. Hasilnya, transformasi digital sukar diadaptasikan secara meluas kepada semua lapisan dan penerimaan terhadap teknologi terpaksa diketepikan.
Selain itu, terdapat cabaran dari segi kos untuk pembangunan teknologi dan penyelenggaraan. Membina infrastruktur digital seperti perisian, sistem, aplikasi, perkakasan dan keselamatan siber memerlukan pelaburan kewangan yang besar. Selepas mengimplementasikan sistem digital, koperasi perlu menanggung kos penyelenggaraan dan perkhidmatan teknikal secara berterusan. Hal ini termasuklah kos kemas kini sistem dan sokongan teknikal profesional. Bagi koperasi kecil atau sederhana, hal ini boleh menjadi beban yang mencabar. Oleh itu, hasrat dalam pelaburan terhadap pembangunan teknologi terpaksa ditangguhkan kerana kekangan faktor kewangan.
Oleh itu, disebabkan terdapat cabaran yang dijangka, DigiKop telah mengkelaskan empat tahap pendigitalan, iaitu asas, pertengahan, maju dan pintar. Menerusi tahap yang digariskan, gerakan koperasi boleh mengukur kemampuan setiap anggota menerusi tahap-tahap yang berikut.
Rajah 1: Empat Tahap Pendigitalan
Menerusi empat tahap tersebut, koperasi sekurang-kurangnya perlu mempunyai tahap asas, iaitu pengetahuan dalam pengendalian perisian komputer seperti Microsoft Word, Microsoft Excel dan Microsoft Powerpoint. Selain itu, koperasi perlu mempunyai laman web, Facebook, e-mel dan media sosial lain yang boleh menyalurkan informasi berkenaan koperasi kepada masyarakat atau anggota khususnya. Bagi tahap pertengahan, koperasi perlu menggunakan Internet sebagai asas komunikasi perhubungan dengan pihak luar. Pada peringkat ini, sekurang-kurangnya seorang kakitangan Teknologi Maklumat (IT) dilantik untuk mengendalikan Internet sebagai medium untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan secara dalam talian dan mewujudkan sistem permohonan dan maklumat keanggotaan. Manakala bagi tahap maju, koperasi telah menggunakan Internet sepenuhnya untuk mengeroperasi dan mengadaptasikan kecerdasan buatan dalam perniagaan contohnya e-dagang, e-pembayaran dan lain-lain lagi. Bagi tahap akhir, iaitu pintar, koperasi telah bersedia sepenuhnya dalam mengintegrasikan semua operasi rantaian nilai seperti pembelian kepada perkhidmatan selepas jualan dan sistem pengurusan pentadbiran yang mempunyai pangkalan data pelanggan dan pembekal.
Secara keseluruhannya, Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) merupakan satu langkah strategik dalam memastikan gerakan koperasi di Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan teknologi dan pendigitalan. Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, terutamanya dari segi kos, kepakaran dan kecekapan pentadbiran, namun dengan sokongan dan komitmen daripada semua pihak termasuk kerajaan, pengurusan koperasi, serta anggota koperasi sendiri, DigiKOP mampu merealisasikan aspirasi untuk menjadikan sektor koperasi sebagai satu daripada penggerak ekonomi digital negara.
Seiring dengan transformasi global ke arah pendigitalan, gerakan koperasi perlu terus berinovasi, meningkatkan kemahiran digital dan mengadaptasikan teknologi seperti AI bagi memastikan koperasi kekal relevan dan mampu bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin kompleks. Pelan tindakan ini bukan sahaja membuka peluang kepada koperasi untuk menjadi lebih cekap dan efektif, malah mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk manfaat semua. Inisiatif ini jelas membuktikan bahawa gerakan koperasi di Malaysia telah bersedia memacu digitalisasi ke arah pembangunan koperasi yang mampan melalui visi pendigitalan ini.