Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Mengiktiraf dan menghargai penat lelah mahasiswa dalam usaha menuntut ilmu di menara gading dibudayakan dan dimaknakan dengan penganjuran istiadat konvokesyen yang pastinya mengukir memori berharga bagi setiap graduan dan setelah itu bergelar alumni universiti.
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) meraikan kejayaan para graduan di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke-99 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam.
Istiadat itu disemarakkan lagi dengan sambutan Jubli Perak UiTM 2024 sempena 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti.
Sebanyak 1413 graduan daripada tujuh fakulti berjaya dianugerahkan skrol oleh YBhg. Pro-Canselor, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi mengucapkan tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian pelbagai bidang.
Beliau begitu teruja dengan kejayaan graduan dan seluruh sistem UiTM Cawangan Perlis dalam usaha mencapai peratusan graduan menamatkan tempoh pengajian dalam tempoh lazim (Graduate on Time, GOT) yang tinggi.
UiTM sentiasa mengambil pelbagai langkah yang sistematik dan pragmatik dalam menyediakan pelajarnya dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini bagi memastikan kebolehpasaran graduan pada peringkat global.
Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Puan Nur Syafiqah Rahim ketika diwawancara berharap agar graduan menterjemahkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan yang tinggi dalam mengharungi urusan harian kelak.
Ujar beliau,
Rasa bangga melihat wajah-wajah graduan, warga pendidik dan ibu bapa yang menghadiri majlis yang penuh bersejarah ini.
“Saya berharap agar graduan terus berjaya menjadi insan yang mampu mengubah destinasi anak bangsa ke arah lebih baik dalam mengharungi arus dunia yang pesat membangun.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Dr. Ahmad Dzulkarnain Ismail berharap agar graduan sentiasa berbudi kepada ibu bapa dan menyumbang jasa kepada kesejahteraan insan.
Beliau berkata,
Saya berharap graduan dapat mencurah dan memperkasa segala ilmu dan pengalaman dalam membina masa depan negara lebih bersepadu dan holistik.
“Terapkan nilai, etika dan akhlak dalam jiwa graduan sejajar dengan aspirasi UiTM membentuk graduan bermentaliti kelas pertama.
Pada masa yang sama, graduan dan penerima Anugerah Naib Canselor daripada program Teknologi Marin, Siti Nur Ainsyah Baharudin mengatakan bahawa kejayaan beliau memperoleh anugerah berprestij dilakarkan menerusi sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan serta menjadikan pensyarah sebagai pendorong untuk berjaya.
Kata beliau,
“Antara usaha yang saya lakukan semasa bergelar mahasiswa adalah dengan menerapkan bimbingan dinamik melalui konsep mentor dan mentee dan menjaga hubungan baik dengan pensyarah.
Pada masa yang sama, saya bersyukur mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa membantu saya dalam usaha menimba ilmu di UiTM.
Pengisytiharan alumni UiTM berlangsung setelah berakhirnya istiadat penganugerahan ijazah dan diploma kepada graduan dan ditangguhkan setelah penyempurnaan nyanyian lagu UiTM di Hatiku.
Untuk rekod, para graduan telah menghadiri Sidang 6 dan Sidang 7 yang berlangsung pada 5 September 2024.
Jumlah pecahan bilangan graduan merangkumi sembilan graduan (Kolej Pengajian Alam Bina), 312 graduan (Kolej Pengajian Pengkomputeraan, informatik dan matematik), 109 graduan (Fakulti Pengurusan dan Perniagaan), 111 graduan (Fakulti Perakaunan), 163 graduan (Fakulti Perladangan dan Agroteknologi), 402 graduan (Fakulti Sains Gunaan) dan 307 graduan (Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi).