Diterbitkan pada 9 Oktober 2024, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Sebanyak 80 orang guru Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari seluruh negeri Kedah menyertai Taklimat Penataran Sukatan Pelajaran Subjek Sejarah STPM yang berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Oktober 2024 di Hotel Park Avenue.

Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman guru tentang strategi pentaksiran terkini yang selaras dengan sukatan pelajaran yang telah dimurnikan, serta memastikan penilaian terhadap pelajar dilakukan secara lebih tepat dan berkesan.

Program ini diadakan dengan harapan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan guru STPM melalui penguasaan kaedah pentaksiran yang lebih sistematik dan menyeluruh.

Dengan penekanan kepada penggunaan kaedah pentaksiran yang berkesan, guru dapat membantu pelajar untuk mencapai potensi penuh mereka, di samping meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran mereka. Seterusnya, penekanan ini juga dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam prestasi akademik, malah dari segi pengetahuan tentang sejarah secara menyeluruh.

Program ini dipimpin oleh En. Sobri Tajul Aros, Jurulatih Utama Subjek Sejarah peringkat negeri Kedah, bersama-sama Puan Zairani Abu Bakar.

Dalam sesi taklimatnya, En. Sobri Tajul Aros menekankan kepentingan ketepatan dalam pentaksiran bagi memastikan pelajar STPM memperoleh penilaian yang adil dan holistik.

Beliau berkata,

Pentaksiran yang tepat bukan sahaja mencerminkan pencapaian sebenar pelajar dalam kertas peperiksaan, tetapi berfungsi sebagai alat pengajaran yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar.

“Oleh itu, guru perlu sentiasa mengemas kini teknik pentaksiran untuk selaras dengan kehendak sukatan pelajaran semasa.

Seterusnya, sesi taklimat daripada Puan Zairani Abu Bakar pula turut menyentuh mengenai pentingnya guru memahami dengan jelas perubahan dalam sukatan pelajaran yang secara tidak langsung akan mempengaruhi pendekatan pengajaran serta pentaksiran.

Ujar Puan Zairani,

Program ini memberikan peluang kepada guru untuk meningkatkan kefahaman mereka tentang sukatan pelajaran terkini serta strategi pentaksiran yang lebih berkesan.

Para peserta menyambut baik inisiatif ini, dengan menyatakan bahawa bengkel ini memberikan mereka pencerahan baharu dalam menjalankan pentaksiran yang lebih jitu. Rata-rata para peserta gembira dan berpuas hati dengan program ini kerana dapat membuka minda mereka untuk lebih memahami kaedah pentaksiran yang tidak hanya berasaskan hafalan yang amat terkenal dalam subjek sejarah tetapi juga mendorong pelajar untuk berfikir secara kritikal.

Taklimat ini dijangka memberikan impak yang besar terhadap persiapan guru dalam menghadapi peperiksaan STPM yang akan datang, serta membantu mereka dalam menerapkan perubahan terkini dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi