Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSaban tahun, pasti ada kisah pelajar daripada golongan yang kurang berkemampuan menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Namun begitu, di sebalik kegembiraan menerima tawaran tersebut, terselit satu dilema besar, iaitu masalah kewangan. Pendidikan tinggi merupakan satu daripada cara untuk meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi mereka, namun bagi sesetengah keluarga, cabaran kewangan sering menjadi penghalang untuk mereka mencapai impian tersebut.
Pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan, biasanya hidup dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar. Pendapatan keluarga mereka tidak tetap, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Situasi keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal atau ayah yang sakit dan tidak mampu bekerja mungkin boleh meningkatkan beban kewangan keluarga. Ditambah pula dengan masalah kesihatan dalam keluarga yang memerlukan kos rawatan yang tinggi, menjadikan sokongan untuk pendidikan anak-anak semakin terhad.
Selain itu, kos yuran pengajian, buku dan peralatan pembelajaran, sering menjadi halangan besar. Walaupun terdapat bantuan kewangan seperti biasiswa dan pinjaman pelajaran, proses permohonan yang rumit dan persaingan yang tinggi menyebabkan sebilangan pelajar tidak berjaya mendapatkannya. Hal ini menyebabkan banyak pelajar yang terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menampung kos hidup dan pengajian, yang akhirnya telah menjejaskan prestasi akademik mereka.
Disamping itu, pelajar dari golongan kurang berkemampuan juga sering kali menghadapi kekurangan sokongan moral dan motivasi. Tekanan untuk membantu keluarga dari segi kewangan dan tanggungjawab lain di rumah boleh menyebabkan mereka berasa tertekan dan kurang fokus terhadap pelajaran. Keadaan ini boleh menyebabkan mereka berasa terpinggir dan kurang yakin untuk bersaing dengan rakan yang lebih berkemampuan.
Namun begitu, terdapat juga kisah kejayaan pelajar dari golongan kurang berkemampuan yang berjaya mengatasi segala cabaran dan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Dengan sokongan yang betul, seperti mentor, program bimbingan dan komuniti yang prihatin, pelajar ini mampu mencapai impian untuk melanjutkan pengajian ke menara gading dan seterusnya mengubah nasib keluarga.
Kisah Nyata
Setiap tahun, kita sering mendengar berita tentang anak-anak asnaf dan ibu bapa mereka yang berhempas pulas menyediakan wang, komputer riba dan keperluan lain untuk menghantar anak mereka ke menara gading. Mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran merupakan suatu perkara yang menggembirakan, namun keadaan ini tidak berlaku kepada semua individu yang mendapat tawaran tersebut.
Bagi anak-anak dari golongan asnaf, menerima tawaran melanjutkan pelajaran boleh menjadi satu dilema besar kepada mereka. Walaupun mereka mempunyai keinginan dan cita-cita yang tinggi, namun mereka mungkin terpaksa menolak tawaran tersebut kerana menyedari keadaan keluarga yang daif dan tidak mampu menanggung kos pendidikan tinggi.
Ada yang terpaksa berkorban demi memberikan laluan kepada ahli keluarga yang lain untuk meneruskan persekolahan. Banyak juga di antara mereka yang akhirnya bekerja di kedai makan, di kilang, atau mengambil kerja kontrak untuk mendapatkan gaji bagi membantu keluarga. Mereka sedar bahawa pendidikan ialah kunci untuk keluar dari kepompong kemiskinan, namun mereka tidak mampu menyediakan keperluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan mencapai impian tersebut.
Kisah pelajar yang berdepan dengan kesusahan untuk memulakan kehidupan di universiti bukanlah perkara baharu. Setiap tahun, kisah mengenai kesulitan yang dihadapi oleh anak-anak asnaf dan keluarga yang kurang berkemampuan pasti muncul dalam media massa. Mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti sememangnya satu perkara yang menggembirakan, namun bagi mereka, cabaran sebenar adalah menyediakan keperluan untuk mendaftar.
Terdapat juga beberapa kes di universiti yang melibatkan pelajar memberikan duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada keluarga mereka yang miskin dan sanggup berlapar. Pernah terjadi, seorang pelajar pengsan di dewan kuliah disebabkan terpaksa mengikat perut. Pelajar tersebut memberikan elaun PTPTN kepada ibu yang masih perlu menanggung adik-adik yang masih kecil dan bersekolah.
Selain itu, terdapat juga kisah seorang ayah yang hampir membatalkan hasrat anaknya untuk menyambung pengajian ke universiti kerana tidak mampu menyediakan kos pendaftaran dan peralatan yang diperlukan. Namun begitu, setelah kisahnya tersebar, ramai orang tampil menghulurkan bantuan, sehingga membolehkannya mengumpulkan sumbangan yang mencukupi dalam masa yang singkat. Sumbangan tersebut akhirnya membantu anaknya meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan.
Banyak kisah yang kita dengar tentang isu ini, sama ada dalam media massa atau surat khabar. Antara contoh kisah tersebut termasuklah, kisah adik N yang mendapat tawaran ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), tetapi ibunya merupakan seorang balu yang hanya bekerja di kedai makan dan perlu menyara enam orang adiknya lagi. Seterusnya, kisah Adik M yang mendapat tawaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun mempunyai lapan orang adik-beradik dan perlu membantu ibunya menjual makanan dan minuman setelah ayahnya meninggal dunia serta perlu memberi laluan kepada adik-adiknya. Adik Z pula mempunyai seorang ayah yang Orang Kurang Upaya (OKU), manakala kisah adik D pula mempunyai tujuh orang adik-beradik. Kisah Adik N dan adik A, kedua-duanya merupakan anak yatim piatu dan adik A juga mempunyai seorang adik OKU, kedua-duanya mendapat tawaran ke Universiti Sains Malaysia (USM), manakala adik S pula mendapat tawaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM). Masing-masing mempunyai kisah tersendiri dalam menyediakan keperluan bagi melanjutkan pengajian ke menara gading dan mencapai impian mereka.
Mujurlah pada setiap tahun, banyak rakyat Malaysia yang bermurah hati dan sering tampil menghulurkan bantuan. Orang perseorangan sering menyumbangkan wang tunai untuk membeli komputer riba, beg pakaian, tambang perjalanan, duit poket dan keperluan lain. Selain itu, terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu pelajar yang memerlukan bantuan kewangan. Bagi pelajr pula, bantuan tersebut memberikan mereka peluang untuk melangkah ke menara gading, kerana mereka merupakan harapan keluarga untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
Peranan Komuniti dan NGO
Setiap kali cerita seperti ini tersebar, masyarakat sering menunjukkan keprihatinan yang tinggi. Orang perseorangan tidak pernah ketinggalan untuk menghulurkan bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan mahupun sokongan moral. Bantuan kewangan tersebut diperlukan untuk membeli barang keperluan asas seperti beg, pakaian dan tiket pengangkutan bagi perjalanan ke universiti. Sumbangan tersebut secara tidak langsung dapat meringankan beban pelajar sebelum mereka sempat menerima bantuan pendidikan yang ditawarkan, seperti pinjaman PTPTN.
NGO juga memainkan peranan besar dalam membantu pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Sebagai contoh, NGO Islamic Relief Malaysia (IRM) ada menyalurkan bantuan kepada anak-anak daripada keluarga fakir miskin untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. Mereka juga menaja pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti. Selain bantuan wang tunai, pek makanan dan kit kebersihan turut diagihkan kepada mereka untuk memastikan pelajar-pelajar ini dapat memulakan kehidupan di universiti dengan lebih selesa. Program pendidikan yang dianjurkan oleh NGO seperti ini memberikan impak yang besar, bukan sahaja dari segi pembelajaran tetapi juga dalam membina keyakinan diri dan masa hadapan yang lebih baik.
Cabaran yang Dihadapi
Pelajar dari golongan miskin menghadapi tiga cabaran utama apabila melanjutkan pengajian ke universiti. Pertama, kos pendidikan yang tinggi, termasuklah yuran pengajian, buku dan peralatan, yang menjadi beban besar walaupun ada bantuan kewangan. Kedua, kos sara hidup seperti penginapan, makanan dan pengangkutan turut menambah beban pelajar kerana perlu tinggal jauh daripada keluarga. Ketiga, menghadapi tekanan psikologi kerana menjadi harapan keluarga dan perlu mendapat keputusan yang cemerlang.
Persediaan ke Universiti
Walaupun kerajaan menyediakan bantuan pendidikan seperti PTPTN, zakat dan agensi lain, namun bantuan ini biasanya diperolehi selepas pelajar bergelar mahasiswa, namun masalah sebenar adalah menyediakan keperluan asas sebelum pendaftaran masuk ke universiti.
Kebanyakan pelajar tidak mempunyai kemampuan untuk membeli barangan asas seperti beg, baju, atau tiket bas untuk ke universiti, apatah lagi membeli komputer riba yang amat diperlukan untuk pembelajaran nanti. Duit poket juga menjadi kebimbangan besar bagi mereka. Mereka perlu mempunyai bantuan kewangan awal untuk menampung perbelanjaan harian sebelum mendapat bantuan kewangan PTPTN atau biasiswa lain. Ketiadaan sokongan kewangan pada tahap ini menjadi penghalang utama untuk mereka memulakan perjalanan akademik yang sepatutnya.
Peranan Institusi dalam Urusan Pendaftaran Pelajar
Dalam usaha memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada melanjutkan pngajian ke universiti awam akibat masalah kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan semua universiti awam untuk menerima kemasukan pelajar tanpa perlu membayar yuran pendaftaran terlebih dahulu. Langkah ini merupakan satu inisiatif penting yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil.
Dalam akhbar Harian Metro, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan bahawa pelajar dan keluarga yang kurang berkemampuan tidak perlu risau mengenai bayaran yuran pendaftaran. Universiti awam diarahkan untuk menerima pelajar yang mendapat tawaran walaupun belum membayar yuran pendaftaran. Hal ini bermakna, pelajar boleh memulakan pengajian tanpa halangan kewangan yang sering menjadi penghalang utama.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan semua universiti agar tidak menolak kemasukan pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran pengajian. Arahan ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara dan bertujuan untuk memberikan ruang kepada pelajar melapor diri di mana-mana universiti. Keadaan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat masalah kewangan.
Universiti awam juga menyediakan pelbagai kaedah pembayaran yuran pendaftaran yang fleksibel. Pelajar boleh membuat pembayaran selepas mendaftar dan keadaan ini memberikan mereka masa untuk mencari sumber kewangan yang diperlukan. Kaedah pembayaran yang fleksibel ini termasuklah pembayaran secara ansuran, bantuan kewangan dari pihak universiti atau melalui pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Dengan adanya kaedah bayaran yang pelbagai, pelajar tidak perlu berasa tertekan untuk menyediakan sejumlah wang yang besar dalam masa yang singkat.
Selain itu, universiti juga memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan dan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan. Bantuan ini boleh datang dalam bentuk biasiswa, dermasiswa, atau bantuan kewangan sementara. Universiti juga bekerjasama dengan pelbagai NGO dan badan kebajikan untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Hal ini termasuk bantuan untuk membeli keperluan asas seperti buku, alat tulis dan peralatan elektronik yang diperlukan untuk pembelajaran.
Universiti juga menyediakan program orientasi dan kaunseling untuk membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. Program ini bukan sahaja memberikan maklumat mengenai aspek akademik, tetapi juga mengenai pengurusan kewangan dan sokongan emosi. Kaunseling kewangan membantu pelajar merancang perbelanjaan mereka dengan lebih bijak, manakala kaunseling emosi membantu mereka mengatasi tekanan dan cabaran yang mungkin dihadapi oleh pelajar.
Universiti juga perlu bekerjasama dengan komuniti dan industri untuk menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar. Hal ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menambah pendapatan mereka sambil menimba pengalaman kerja yang berharga. Kerjasama ini juga membantu pelajar membina rangkaian profesional yang boleh memberikan manfaat kepada mereka selepas tamat pengajian.
Kepentingan Pembelajaran Digital
Dalam dunia pendidikan yang semakin berubah, pembelajaran digital menjadi semakin penting, terutamanya dalam era pasca-pandemik COVID-19. Namun begitu, pelajar yang kurang berkemampuan sering terpinggir dalam usaha ini kerana mereka tidak mampu memiliki peranti seperti komputer riba atau tablet yang diperlukan untuk mengikuti kelas secara dalam talian. Meskipun universiti sering menyediakan kemudahan komputer di kampus, keperluan untuk menghadiri kuliah secara dalam talian dari rumah telah menambahkan lagi beban kewangan yang perlu ditanggung oleh keluarga yang berpendapatan rendah.
Beberapa universiti telah mula mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah ini dengan menyediakan komputer riba atau tablet percuma kepada pelajar yang memerlukan. Inisiatif seperti ini yang turut disokong oleh dana zakat, derma korporat, atau program CSR (Corporate Social Responsibility), bukan sahaja membantu pelajar mengikuti kuliah secara dalam talian, tetapi juga memberikan mereka alat yang diperlukan untuk melakukan penyelidikan, menulis tugasan dan berhubung dengan pensyarah mereka.
Selain itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam memperluas akses Internet di kawasan luar bandar dan di pedalaman. Meskipun peranti mungkin disediakan, namun tanpa sambungan Internet yang stabil, pelajar dari kawasan ini akan terus ketinggalan. Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancarkan untuk memperbaiki infrastruktur Internet di kawasan luar bandar merupakan satu langkah yang positif, tetapi usaha ini perlu dipercepat untuk memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi geografi, mendapat akses yang sama kepada pendidikan digital.
Pendidikan Kewangan, Latihan Kemahiran dan Sokongan Komuniti
Selain bantuan kewangan, antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian ialah pendidikan kewangan dan latihan kemahiran. Pelajar dari golongan kurang berkemampuan perlu didedahkan dengan ilmu pengurusan kewangan supaya mereka dapat merancang perbelanjaan dengan lebih bijak. Latihan kemahiran juga penting agar mereka boleh bekerja sambilan atau memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian. Sokongan daripada komuniti, NGO dan individu perseorangan juga harus diteruskan untuk membantu mereka meneruskan perjalanan akademik mereka.
Namun begitu, di sebalik segala usaha ini, masih ada pelajar yang menghadapi cabaran yang lebih besar, seperti ketiadaan dokumen pengenalan diri. Kanak-kanak jalanan yang hidup di tengah kota besar tidak hanya bergelut dengan kemiskinan, tetapi juga status kewarganegaraan menjadikan impian mereka untuk melanjutkan pengajian ke menara gading semakin sukar dicapai.
Kisah Inspirasi Kejayaan
Walaupun banyak cabaran yang dihadapi oleh pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan, terdapat juga banyak kisah kejayaan yang boleh dijadikan inspirasi. Mereka berjaya mengatasi kesulitan kewangan dan berusaha keras untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang. Kisah seperti ini bukan sahaja memberikan harapan dan motivasi kepada pelajar lain, tetapi menunjukkan bahawa, dengan sokongan yang tepat, impian untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading pasti boleh dicapai.
Sebagai contoh, seorang pelajar dari keluarga B40 yang berasal dari kampung terkecil di utara Malaysia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti terkemuka. Walaupun pada awalnya keluarganya tidak mampu membiayai yuran pendaftaran dan peralatan belajar, namun sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuklah NGO dan orang awam, telah membantu meringankan bebannya. Dengan ketekunan dan usaha yang berterusan, beliau bukan sahaja berjaya mendapat ijazah, tetapi memperoleh pekerjaan yang baik dan kini berupaya membantu keluarganya keluar daripada kemiskinan. Selain itu, terdapat juga seorang pelajar yang berasal dari pedalaman Sarawak, telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang. Perit getir menaiki perahu untuk ke sekolah tidak mematahkan semangat beliau untuk ke sekolah setiap hari bagi memastikan beliau dapat meneruskan persekolahan, seterusnya menyambung pengajian ke peringkat universiti.
Kisah kejayaan ini juga memberikan gambaran bahawa pendidikan merupakan alat penting untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Melalui pendidikan, pelajar yang kurang berkemampuan bukan sahaja dapat memperbaiki nasib diri, malah dapat membawa perubahan kepada keluarga. Dalam jangka masa panjang, impak pendidikan ini akan memberikan manfaat kepada keseluruhan masyarakat, apabila lebih banyak individu yang berpendidikan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Menggalakkan Sokongan Berterusan
Untuk memastikan lebih banyak pelajar daripada golongan yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke universiti, kerjasama daripada pelbagai pihak perlu diteruskan. Pihak sekolah, universiti, NGO, Kerajaan dan individu perseorangan mempunyai peranan penting dalam memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang kewangan, mendapat peluang yang sama dalam pendidikan.
Sekolah perlu berperanan lebih awal dalam mengenal pasti pelajar yang berpotensi tetapi mempunyai masalah kewangan. Program bimbingan, sokongan psikologi dan ceramah motivasi terutamanya daripada pelajar yang senasib dengan mereka perlu diperluas bagi membantu pelajar merancang masa hadapan dengan lebih yakin. Di samping itu, usaha untuk menggalakkan pelajar memohon bantuan zakat, biasiswa dan program pinjaman seperti PTPTN harus diperkuatkan.
Pihak NGO juga boleh meluaskan program bantuan kewangan bukan sahaja kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian, tetapi kepada mereka yang masih berada di sekolah menengah. Program bimbingan kerjaya, kelas tambahan, dan latihan kemahiran vokasional boleh menjadi platform untuk pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan mempersiapkan diri dengan lebih baik sebelum melangkah ke alam universiti.
Kesimpulannya, pendidikan tinggi merupakan kunci penting untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Untuk memastikan lebih banyak pelajar dari keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak amat diperlukan. Kerjasama daripada masyarakat, NGO dan komuniti diperlukan dalam memberikan peluang kepada mereka untuk membina masa hadapan yang lebih baik dan mengubah nasib keluarga mereka. Impian mereka bukanlah sesuatu yang mustahil, dan dengan sokongan yang berterusan, mereka juga mampu menggapai bintang.
Menutup pintu ke menara gading bukan sahaja menutup peluang individu untuk berjaya, tetapi juga menutup peluang masyarakat dan negara untuk berkembang. Setiap pelajar yang berjaya merupakan aset kepada negara. Oleh itu, kita perlu berusaha agar tiada pelajar yang terhalang daripada melanjutkan pengajian disebabkan oleh masalah kewangan.
Langkah yang diambil oleh KPT dan universiti awam dalam mempermudah urusan pendaftaran pelajar baharu merupakan usaha yang sangat penting dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif. Dengan menyediakan pelbagai kaedah pembayaran, sokongan kewangan dan program orientasi, universiti dapat membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk memulakan pengajian tanpa halangan kewangan yang besar. Hal ini bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka untuk mencapai impian akademik, tetapi membantu mengubah nasib keluarga mereka dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.