16 Oktober 2024, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketika masih segar dalam ingatan kita tentang bahana yang dibawa oleh penularan COVID-19 beberapa tahun lalu, dunia kini menyaksikan pelbagai wabak baharu yang membawa kegusaran dalam kalangan masyarakat. Satu daripada penyakit yang mula mendapat perhatian ialah cacar monyet atau lebih dikenali sebagai monkeypox. Penyakit ini merupakan sejenis virus yang menular dalam kalangan manusia sehingga mencetuskan kebimbangan pada peringkat global.

Virus yang menyebabkan cacar monyet dikenali sebagai Monkeypox virus (MPXV). Virus ini tergolong dalam keluarga Poxviridae dan lebih spesifiknya dalam genus Orthopoxvirus. Genus ini juga termasuk virus yang menyebabkan cacar (smallpox) seperti Variola virus. Virus tersebut merupakan sejenis virus DNA dan terdapat dua jenis utama yang biasa dijumpai, iaitu jenis Afrika Barat dan jenis Afrika Tengah (Congo Basin). Virus jenis dari Afrika Tengah lebih berbahaya kerana lebih mudah menyebabkan komplikasi yang serius.

MPXV ialah virus DNA yang besar. Virus tersebut mempunyai bebenang ganda atau double-stranded DNA (dsDNA) yang bermaksud bahan genetiknya disusun dalam dua rantai DNA yang saling berpilin. Virus ini berbeza daripada virus lain yang menggunakan RNA sebagai bahan genetik mereka seperti virus influenza atau SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19. Oleh sebab strukturnya yang besar dan kompleks, MPXV memerlukan lebih banyak protein untuk berfungsi dan menjadikannya sebagai satu daripada virus terbesar dari segi ukuran fizikal dan genom.

MPXV mempunyai bentuk bata (brick-shaped) atau bujur (oval) dan ukurannya dianggarkan sekitar 200 hingga 250 nanometer. Sebagai perbandingan, virus lain seperti SARS-CoV-2 hanya berukuran sekitar 60 hingga 140 nanometer, menjadikan MPXV jauh lebih besar dan lebih kompleks. Hal ini bermakna virus tersebut memerlukan lebih banyak ruang untuk membawa pelbagai protein yang diperlukan untuk menjangkiti sel perumah.

Seperti kebanyakan virus, MPXV mempunyai dwilapisan lipid (lipid bilayer) di luar yang melindungi bahan genetiknya. Lapisan ini terdiri daripada molekul lemak yang diambil daripada sel perumah, menjadikan virus lebih tahan lasak di luar badan dan membantunya mengekalkan kestabilan apabila berada di persekitaran. Lapisan ini juga memainkan peranan penting dalam mengenali dan melekat pada sel perumah semasa jangkitan.

Terdapat pelbagai protein struktur yang memberikan virus kekuatan dan kestabilan di dalam dwilapisan lipid (lipid bilayer) ini. Protein-protein ini juga membantu virus dalam mengikat dan memasuki sel perumah, di mana proses pembiakan virus berlaku.

Seperti yang disebutkan, MPXV membawa DNA bebenang ganda (double-stranded DNA) sebagai bahan genetiknya. DNA ini membawa arahan untuk menghasilkan semua protein yang diperlukan oleh virus untuk membiak dan menjangkiti sel. Berbanding dengan virus RNA yang lebih mudah bermutasi, virus DNA seperti MPXV cenderung lebih stabil yang bermaksud virus tersebut tidak sering berubah atau bermutasi. Perkara ini memberikan kelebihan kepada masyarakat dalam memahami dan mengawal penyakit ini.

Selain daripada DNA, MPXV juga membawa beberapa enzim penting di dalam virus itu sendiri. Enzim ini diperlukan untuk membantu virus menghasilkan salinan DNAnya dalam sel perumah. Antara perbezaan utama antara MPXV dengan virus lain ialah MPXV membawa sebahagian daripada “mesin” yang diperlukan untuk membiak bersama-sama dengannya kerana virus tersebut tidak bergantung sepenuhnya pada sel perumah untuk semua fungsinya.

MPXV tidak memerlukan nukleus sel perumah untuk membiak, berbeza daripada kebanyakan virus lain. Virus ini mampu membiak sepenuhnya dalam sitoplasma (ruang antara nukleus dengan membran sel) sel perumah. Setelah virus berjaya masuk ke dalam sel perumah, virus tersebut akan menggunakan protein dan enzim yang dibawanya untuk segera mula membina lebih banyak salinan dirinya. Virus ini membentuk viral factories, iaitu kawasan dalam sitoplasma yang menyebabkan proses pembiakan virus berlaku dengan efisien.

Selepas proses penggandaan DNA virus selesai, virus-virus baharu akan dirangkai dan seterusnya dilepaskan dari sel perumah. Apabila dilepaskan, MPXV akan menular ke sel-sel berdekatan atau ke individu lain melalui kontak fizikal atau melalui objek yang tercemar.

Satu daripada ciri penting MPXV ialah kemampuannya untuk melarikan diri daripada sistem imun perumah. MPXV menghasilkan beberapa protein yang membantu virus bersembunyi daripada serangan sistem imun manusia. Sebagai contoh, virus tersebut menghasilkan protein yang boleh menyekat tindak balas imun perumah dengan mengganggu isyarat yang dihantar oleh sel-sel yang terjejas. Perkara ini membolehkan virus terus membiak dalam tubuh tanpa dikesan dengan cepat oleh sistem pertahanan tubuh, menyebabkan jangkitan berterusan sebelum akhirnya dikesan oleh tubuh.

Virus Jenis Congo Basin kebiasaannya menyebabkan penyakit yang lebih teruk dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi berbanding dengan jenis Afrika Barat. Kedua-dua jenis ini mempunyai perbezaan kecil dalam susunan DNA mereka, namun perbezaan ini cukup untuk mempengaruhi keparahan penyakit.

Sejarah cacar monyet bermula pada tahun 1958 apabila dua wabak kecil cacar dikesan dalam koloni monyet yang digunakan untuk penyelidikan. Walaupun penyakit ini dinamakan “cacar monyet,” sebenarnya monyet bukanlah pembawa utama virus. Tikus dan haiwan rodensia liar dikenal pasti sebagai pembawa utama virus ini. Kali pertama cacar monyet dikesan menjangkiti manusia adalah pada tahun 1970 di Republik Demokratik Kongo (DRC) ketika seorang kanak-kanak didapati dijangkiti virus ini. Sejak itu, beberapa kes dilaporkan di Afrika Barat dan Afrika Tengah, terutamanya di kawasan berhampiran hutan hujan tropika.

Pada awalnya, cacar monyet dianggap sebagai penyakit yang hanya berlaku di Afrika, namun pada tahun 2003, kes pertama dilaporkan di luar benua tersebut, iaitu di Amerika Syarikat. Sejak itu, penularannya dilihat semakin meluas, termasuk di beberapa negara Eropah dan Asia.

COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2, menular melalui titisan pernafasan kecil atau aerosol yang dihasilkan apabila seseorang bercakap, batuk atau bersin. COVID-19 juga mempunyai kemampuan untuk menular melalui permukaan yang tercemar, tetapi penularan utamanya adalah melalui udara. Kita bernasib baik kerana cacar monyet tidak semudah itu tersebar melalui udara dan penularannya memerlukan kontak lebih langsung dengan orang atau haiwan yang dijangkiti.

Penularan cacar monyet boleh berlaku melalui beberapa cara. Satu daripadanya melalui penularan daripada haiwan kepada manusia, terutamanya apabila seseorang bersentuhan dengan darah, cecair badan atau luka pada haiwan yang dijangkiti. Tikus dan haiwan rodensia liar memainkan peranan besar sebagai pembawa virus ini. Penularan daripada manusia kepada manusia pula berlaku apabila terdapat kontak langsung dengan cecair tubuh, luka kulit atau titisan pernafasan daripada individu yang dijangkiti. Menyentuh barangan peribadi yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti, seperti pakaian atau tempat tidur juga berisiko menyebabkan jangkitan. Selain itu, memakan daging haiwan liar yang tidak dimasak sempurna juga boleh menjadi punca penularan.

Masyarakat tentunya masih ingat tentang jangkitan COVID-19 mempunyai kesan jangka pendek dan panjang yang meluas. Jangkitan ringan COVID-19 menyebabkan simptom seperti demam, batuk dan kehilangan deria bau, manakala kes teruk boleh menyebabkan kesukaran bernafas, pneumonia dan kerosakan paru-paru yang kekal. Dalam kes jangka panjang, sesetengah pesakit COVID-19 mengalami sindrom COVID-19 berpanjangan (long COVID), dengan gejala seperti keletihan kronik, masalah neurologi dan kerosakan organ lain yang berpanjangan.

Bagi cacar monyet pula, tanda-tanda seseorang yang dijangkiti cacar monyet kebiasanya bermula dengan demam tinggi, diikuti sakit kepala, sakit otot dan keletihan. Satu daripada gejala yang membezakan cacar monyet daripada cacar biasa ialah pembengkakan kelenjar limfa. Selepas beberapa hari demam, ruam akan muncul, iaitu bermula dari muka dan kemudian merebak ke bahagian tubuh lain. Ruam ini akan berkembang menjadi lepuhan yang berisi cecair sebelum kering dan menjadi kudis.

Kesan jangka pendek cacar monyet termasuklah ketidakselesaan akibat demam dan ruam yang menyakitkan, manakala kesan jangka panjangnya pula tidak begitu ketara berbanding dengan penyakit berjangkit lain. Namun, bagi sesetengah pesakit, ruam tersebut mungkin meninggalkan parut kekal pada kulit. Selain itu, terdapat juga risiko komplikasi yang lebih serius seperti jangkitan paru-paru, mata, atau otak yang boleh menyebabkan kecacatan jika tidak dirawat dengan segera.

Persoalan yang kini bermain di dalam minda masyarakat Malaysia adalah sama ada kita akan terpaksa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi. Setakat hari ini, cacar monyet tidak menunjukkan ancaman yang memerlukan tindakan drastik seperti PKP secara meluas. Penularannya yang lebih terkawal bermaksud bahawa langkah-langkah seperti pengesanan kontak, pengasingan kes dan pendidikan kesihatan awam lebih mencukupi untuk mengawal penyebaran. Setakat ini, tiada bukti bahawa cacar monyet akan menyebabkan impak ekonomi yang sama besar seperti COVID-19. Namun begitu, jika berlaku lonjakan kes secara tiba-tiba, mungkin akan ada langkah-langkah tambahan yang diperlukan pada peringkat tempatan untuk mengawal situasi.

Walaupun cacar monyet bukanlah penyakit baharu, penyakit tersebut tetap menjadi ancaman jika tidak diambil langkah berjaga-jaga. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh melindungi diri daripada dijangkiti cacar monyet? Pertama, elakkan kontak langsung dengan haiwan liar, terutamanya tikus dan rodensia. Sekiranya anda tinggal di kawasan yang berisiko tinggi, elakkan menyentuh bangkai haiwan yang tidak diketahui status kesihatannya. Kedua, amalkan kebersihan diri yang baik dengan kerap mencuci tangan menggunakan sabun dan air atau menggunakan pembersih tangan berasaskan alkohol jika air tidak tersedia.

Jika anda mengetahui seseorang yang dijangkiti cacar monyet, elakkan daripada bersentuhan atau menggunakan barangan peribadi mereka. Jika anda perlu berurusan dengan orang yang dijangkiti, pastikan anda memakai alat perlindungan diri seperti sarung tangan. Selain itu, vaksin cacar yang sebelum ini digunakan untuk melindungi diri daripada cacar biasa didapati berkesan dalam melindungi daripada cacar monyet. Meskipun vaksin ini tidak lagi diberikan secara rutin, namun vaksin tersebut masih boleh digunakan sebagai langkah pencegahan dalam keadaan tertentu.

Cacar monyet mungkin bukan penyakit yang sering didengari berbanding dengan penyakit lain seperti cacar air atau demam denggi, namun penyakit tersebut tetap memerlukan perhatian serius. Penyakit ini mungkin tidak membawa kematian dalam kebanyakan kes, tetapi komplikasi yang boleh berlaku dan penularannya yang meluas tetap memerlukan langkah-langkah pencegahan yang rapi. Cacar monyet juga mungkin tidak akan menyebabkan sekatan pergerakan secara besar-besaran atau gangguan ekonomi global seperti pandemik COVID-19 sebelum ini, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengawal penyebarannya terutamanya apabila jangkitan dilaporkan di luar kawasan asalnya di Afrika.

Cacar monyet mengingatkan kita bahawa betapa pentingnya menjaga kebersihan diri dan kesihatan persekitaran. Dengan pengetahuan yang betul dan amalan pencegahan yang berkesan, kita dapat melindungi diri dan keluarga daripada penyakit ini. Pada akhirnya, kesedaran dan tindakan pencegahan adalah kunci utama dalam menghadapi ancaman seperti cacar monyet. Seperti yang telah kita pelajari daripada pandemik COVID-19, dunia perlu sentiasa bersedia menghadapi apa-apa jua cabaran kesihatan global yang mungkin muncul pada masa akan datang. Melalui pendidikan kesihatan yang berterusan dan pendekatan bersepadu, kita boleh melindungi diri serta komuniti daripada pelbagai ancaman penyakit termasuklah cacar monyet.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.