Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Sintok – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited menggerakkan kegiatan pembudayaan dan pemasyarakatan kamus melalui program jelajah “Bersahabat dengan Kamus” yang telah menjelajahi empat zon geografi tanah air dalam tempoh sebulan, iaitu zon utara dan selatan Semenanjung, serta zon Sabah dan Sarawak.
Program yang berlangsung pada September lalu mengangkat tema “Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP): Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi”, bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dikelolakan oleh Bahagian Perkamusan DBP.
Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Encik Abdul Ghani Abu menzahirkan rasa gembira apabila mendapat sokongan padu daripada rakan kerjasama yang terdiri daripada beberapa institusi pendidikan dan pusat pengajian tinggi yang sudi menjadi tuan rumah setiap zon, selain bantuan tenaga kerja karyawan DBP Cawangan Sabah dan Sarawak, serta DBP Wilayah Selatan dan DBP Wilayah Utara demi memastikan program kebahasaan ini berjaya mencapai matlamatnya.



Program jelajah “Bersahabat dengan Kamus” mengakhirkan destinasi jelajah di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 15 Oktober 2024 dengan kehadiran sebanyak 190 orang penuntut yang kebanyakannya daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), berserta 65 orang penjawat awam yang terdiri daripada pensyarah UUM, pegawai SUK Negeri Kedah dan guru sekolah di sekitar Sintok, Kedah, masing-masing berlokasi di Auditorium 1 dan Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.
Bermatlamat memperkukuh kefahaman, kelestarian peradaban dan keyakinan diri terhadap pemartabatan bahasa Melayu, program pada kali ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SLCP, Dr. Maizatul Azura Yahya.
Antara pengisian program jelajah tersebut selain permainan interaktif, Roda Kata serta jualan buku dan kamus terbitan DBP, adalah sesi perkongsian ilmu perkamusan yang disampaikan oleh Encik Abdul Ghani sendiri dan dibantu oleh pegawai kanannya, Puan Siti Norsuhaila Samsudin dan Puan Mardhiah Othman.

Memetik kandungan perkongsian ilmu Puan Siti Norsuhaila yang berpengalaman sebagai seorang pasukan editorial Kamus Dewan Perdana, beliau menyatakan bahawa tujuan utama program jelajah sebegini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kamus rujukan terbaharu terbitan DBP ini yang usaha penyusunannya menjangkau tiga dekad tempohnya dengan harapan khazanah unggul negara ini dapat dijadikan satu daripada wahana untuk mengukuhkan lagi asas bahasa Melayu tinggi orang awam.

Puan Mardhiah pada sesi perkongsiannya menyarankan supaya kamus berskala mega seperti KDP dimiliki setiap isi rumah untuk merujuk lebih banyak maklumat kamus hasil inovasi panel penyusun, termasuklah ejaan Jawi, label-label kelas kata dan laras bahasa, etimologi serta nota pengguna, selain huraian makna entri yang lebih andal kerana bertolak daripada analisis data penggunaan sebenar bahasa Melayu diperbantukan kaedah leksikografi yang mutakhir.
Respiratori kata yang disajikan dalam sesebuah kamus terutamanya KDP dirancang sedemikian rupa kerana kamus adalah sebaik-baik “sahabat” yang dapat memandaikan pengguna Bahasa Melayu andai dibudayakan sebagai rujukan semasa dalam proses seseorang mengungkapkan idea, mendokumentasikan maklumat dan menghasilkan kandungan sesuatu bahan penulisan, penyampaian perkhidmatan dan apa-apa jua urusan harian.