Diterbitkan pada 17 Oktober 2024, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – Pada 15 Oktober lalu, terdapat satu program advokasi yang dianjurkan oleh Pasukan Kebajikan Kanak-kanak (PKKK), Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK), Majlis Perwakilan Kanak-kanak (MPKK) dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan dan Perlindungan Kanak-kanak yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Merbau Miri.

Program ini dinamakan sebagai Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak yang menjadi satu daripada inisiatif dalam memberikan pendedahan dan advokasi kepada kanak-kanak, serta komuniti setempat berkaitan dengan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Program pada kali ini dirasmikan oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Jeffry Phang yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.

Sebanyak 300 orang peserta yang terlibat, yakni terdiri daripada pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau; Pengerusi PKKK Bahagian Miri Mohamad Firdaus Khaidir Razali; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, Vivian Anak Engkiong; dan Guru Besar SK Merbau Miri, Zahirul Jazmi Sayom Abdullah.

Antara objektif program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman kanak-kanak berkenaan dengan situasi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.

Selain itu, program ini turut memberikan pendedahan kepada kanak-kanak tentang tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa, penjaga, kanak-kanak sendiri atau komuniti apabila terlibat dalam kes tersebut. Di samping itu, program ini juga untuk memberikan peluang kepada PKKK untuk lebih mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing, seterusnya dapat memainkan peranan dan tanggungjawab sebagaimana yang telah digariskan dalam Garis Panduan PKKK, PPKK dan PAKK.

Pameran Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat MIRI turut diadakan untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak tentang kepentingan mempertahankan diri daripada kes penderaan.

Menurut penganjur, kes penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak sudah tidak asing lagi di negara ini.

Jelasnya,

Penyebaran berkaitan dengan kes penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak dalam media sosial juga semakin berleluasa.

Lebih membimbangkan lagi, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan tentang saluran aduan yang betul sekiranya berlaku penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Rentetan itu, inisiatif program ini dilakukan dengan mempunyai tiga slot ceramah interaktif, iaitu “Hak Kanak-kanak” oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, “Keselamatan Kanak-kanak” oleh Polis Diraja Malaysia dan “Barah Gangguan Seksual dalam Kalangan Pelajar” oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Dalam perkembangan yang sama, terdapat juga pameran daripada pelbagai agensi yang dijalankan pada hari tersebut.

Diharapkan menerusi program ini  dapat memberikan pendedahan kepada ibu bapa dan guru di sekolah tentang saluran aduan yang betul sekiranya berlaku kes penderaan dan pengabaian terhadap kanak- kanak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi