Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSikap pilih kasih (favouritism) bermaksud mengasihi atau memihak kepada sesuatu pihak, selain berat sebelah dalam membuat keputusan. Sikap ini membolehkan seseorang dikurniakan keistimewaan kerana beberapa sebab lain yang tidak relevan dengan profesionnya. Sikap pilih kasih ini juga boleh didefinisikan sebagai berkelakuan lebih baik terhadap individu atau sekumpulan individu berbanding dengan individu yang lain dengan menunjukkan keutamaan peribadi mereka dalam membuat keputusan.
Dalam mana-mana organisasi, setiap pekerja mempunyai kelayakan atau kemahiran dan pengalaman kerja berbeza yang menjadi kelebihan masing-masing untuk menjalankan skop kerja yang telah ditetapkan bagi mencapai matlamat organisasi. Pilih kasih dalam organisasi menyebabkan seseorang itu dilayan lebih baik oleh pemimpin berbanding dengan pekerja lain atas faktor yang tiada kaitan dengan kelayakan atau kemahiran, pengalaman dan prestasi kerja. Individu yang menjadi “kegemaran” pemimpin organisasi diberikan peluang mengetuai satu-satu projek atau tugasan dan menerima pengiktirafan serta sokongan yang lebih berbanding dengan pekerja lain. Individu “kegemaran” pemimpin atau ahli tertinggi organisasi ini sama ada mempunyai hubungan kekeluargaan atau persahabatan; sama etnik, budaya atau agama; memiliki kecenderungan jantina atau menggalas kepentingan yang sama.
Amalan pilih kasih juga berlaku disebabkan budaya organisasi yang lemah. Hal ini berlaku kerana kepimpinan organisasi tidak menekankan ihsan, empati, keadilan, integriti dan ketelusan yang menjadi nilai utama dalam budaya organisasi yang baik. Pilih kasih yang berlaku dalam organisasi mempunyai pelbagai bentuk. Antaranya termasuklah seperti yang berikut:
Kesan Amalan Pilih Kasih
Pekerja yang pada awalnya bersemangat untuk menyumbang bakti kepada organisasi mula hilang semangat. Mereka menjadi individu yang tidak produktif. Segala bakat yang ada pada mereka tidak disumbangkan kepada organisasi kerana tidak dihargai pemimpin. Perkara tersebut berlaku apabila pemimpin hanya mendengar dan menerima pandangan selain mengiktiraf hasil kerja pekerja tertentu sahaja. Manakala kerja keras pekerja lain tidak dihargai dan diiktiraf.
Ketiadaan semangat kerja menyebabkan motivasi pekerja semakin menurun. Pekerja yang tiada motivasi akan cenderung untuk melakukan hal negatif seperti datang lewat, kerap tidak hadir kerja, atau ponteng dan menjadi malas. Kualiti kerja mereka juga menjadi semakin rendah. Pekerja melakukan pekerjaan dengan sekadarnya sahaja kerana yang penting ialah tugasan yang diberikan diselesaikan. Pekerja yang tidak bermotivasi secara tidak langsung mempengaruhi pekerja lain untuk turut sama melakukan hal negatif tersebut. Lama-kelamaan mereka tidak berminat untuk terus bekerja di organisasi terbabit.
Pekerja yang dipecahkan mengikut kelompok akan bersaing, saling memusuhi dan tidak percaya antara satu sama lain.
Tidak semua pekerja mampu bertahan dengan keadaan tempat kerja yang toksik dan amalan pilih kasih pemimpin. Jika sering dibuli pekerja “kegemaran” pemimpin dan dikenakan hukuman secara tidak adil, perkara ini sudah pasti mengganggu emosi dan pertimbangan. Pekerja mula hilang motivasi dan berasa dipinggirkan. Mereka juga berpotensi untuk hilang keyakinan diri dan mengalami masalah mental.
Hal ini berlaku kerana timbul rasa tidak puas hati yang akhirnya membawa kepada pergaduhan. Kepimpinan organisasi juga akan dimusuhi oleh kelompok yang terpinggir.
Apabila pemimpin dilihat sebagai tidak adil dan mempraktikkan sikap pilih kasih, kepercayaan terhadap mereka akan menurun. Hal ini boleh menyebabkan hilang rasa hormat dan kepatuhan. Hormat dan kepatuhan pekerja penting dalam menjaga keharmonian dan keberkesanan organisasi.
Pekerja yang tidak berpuas hati dengan amalan pilih kasih mencari peluang pekerjaan di tempat lain yang benar-benar menghargai bakat mereka. Organisasi akan mengalami kerugian besar kerana idea baharu yang sepatutnya dapat disumbangkan kini berpindah kepada organisasi lain. Organisasi yang menghargai bakat pekerja dapat meningkatkan produktiviti dan kemajuan. Manakala organisasi yang tidak menghargai bakat pula pasti menghadapi masalah prestasi dan konflik.
Secara kesimpulannya, pilih kasih menyebabkan penafian hak individu yang berkelayakan untuk memperoleh manfaat dan peluang yang lebih baik dalam sesebuah organisasi. Amalan negatif itu juga akan membentuk individu yang tiada empati, zalim, biadab, angkuh, pentingkan diri dan “meredai” ketidakadilan serta penindasan. Kewujudan individu seperti itu bertentangan dengan nilai teras Malaysia MADANI dan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran. Pilih kasih ialah satu amalan buruk yang patut dibanteras kerana sikap ini memudahkan unsur seperti perlakuan rasuah yang mungkin berlaku dalam organisasi.