17 Oktober 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober 2024 (esok) oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, merupakan pembentangan Belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani. Harapan besar diletakkan agar Belanjawan kali ini dapat memberikan perhatian yang lebih kepada golongan terpinggir dalam masyarakat. Siapakah mereka ini? Penulis merujuk mereka sebagai para “prekariat kerajaan”. Mungkin tidak ramai yang sedar akan kewujudan kelas “prekariat” jenis ini dan kurang memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “prekariat”?

Karya ini memaparkan dilema pekerja yang mempunyai masa depan yang tidak menentu dan memerlukan perhatian daripada pihak berkuasa.

Pada dasarnya, istilah “prekariat” diperkenalkan oleh ahli ekonomi dan sosiologi British, Guy Standing. Konsep ini banyak dibincangkan dalam karya beliau terutamanya dalam buku The Precariat: The New Dangerous Class yang diterbitkan pada tahun 2011. Dalam buku tersebut, Guy Standing menggambarkan “prekariat” sebagai golongan masyarakat yang terperangkap dalam keadaan pekerjaan yang tidak stabil tanpa jaminan pekerjaan dengan gaji rendah serta akses terhad kepada kebajikan sosial.

Istilah ini merupakan gabungan daripada perkataan precarious (tidak stabil) dan proletariat (kelas pekerja dalam sistem kelas) untuk menggambarkan satu kelas pekerja baharu yang terjebak dalam pekerjaan sementara, kontrak jangka pendek, ekonomi gig, kerja bebas (freelance) dan pelbagai bentuk pekerjaan lain yang tidak menawarkan jaminan jangka panjang.

Menurut Guy Standing, jumlah golongan “prekariat” semakin meningkat dalam ekonomi moden disebabkan kebanyakan syarikat kini lebih cenderung mengambil pekerja kontrak atau sambilan berbanding dengan pekerja tetap. Tujuan utama pendekatan ini adalah untuk mengurangkan kos dan mengelakkan tanggungjawab dalam menyediakan faedah pekerjaan seperti cuti tahunan, insurans dan manfaat lain yang kebiasaannya diberikan kepada pekerja tetap. Akibatnya, pekerja dalam kategori “prekariat” ini terpaksa berdepan dengan ketidakstabilan pekerjaan dan kurangnya perlindungan sosial, menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko ekonomi yang mendatang.

Namun begitu, di luar pandangan Guy Standing, jika dilihat dalam konteks Malaysia, sindrom penjimatan kos ini tidak hanya berlaku dalam sektor swasta, malah kerajaan juga telah sekian lama menggunakan pendekatan serupa untuk menjimatkan kos operasi. Seperti yang dijelaskan oleh Guy Standing mengenai golongan “prekariat”, terdapat satu kumpulan yang mungkin tidak disebut secara khusus olehnya, iaitu “prekariat” dalam sektor kerajaan.

Di Malaysia, bilangan “prekariat” dalam sektor kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) semakin meningkat pada setiap tahun. Golongan ini terdiri daripada mereka yang diambil bekerja atas konsep separuh masa, sambilan, atau yang serupa dengannya untuk menampung ketidakcukupan kakitangan kerajaan. Lebih khusus lagi, golongan ini pernah dikenali melalui skim Pekerja Sambilan Harian (PSH) dan kini berada di bawah skim yang dikenali sebagai MyStep.

Fenomena pekerja sambilan ini tidak terhad kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata, malah turut menular ke pentadbiran Kerajaan Negeri di seluruh Malaysia. Kerajaan Negeri juga menggunakan konsep pekerjaan sambilan atau separuh masa sebagai langkah penjimatan kos. Situasi ini bukan sahaja berlaku dalam pentadbiran awam, malah turut memberikan kesan kepada sektor pendidikan tinggi, khususnya di universiti-universiti milik Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Di kebanyakan universiti awam, konsep pekerja sambilan digunakan sebagai penyelesaian segera untuk menangani kekurangan tenaga pengajar. Istilah seperti pensyarah sambilan sepenuh masa, pensyarah sambilan harian dan pensyarah kontrak khas hanyalah variasi nama yang merujuk pada pendekatan yang sama — mengambil tenaga pengajar dengan bayaran lebih rendah berbanding dengan pensyarah tetap. Lebih membimbangkan, tiada rangka perjalanan kerjaya yang jelas menyebabkan mereka terpaksa berkhidmat bertahun-tahun dengan tangga gaji yang rendah tanpa sebarang peluang untuk diserap ke jawatan tetap.

Dalam konteks ini, penulis menamakan golongan ini sebagai  kelas “prekariat kerajaan” kerana mereka berada dalam situasi pekerjaan yang tidak stabil, sama seperti konsep “prekariat” yang diperkenalkan oleh Guy Standing, namun dalam konteks sektor awam. Golongan ini terdiri daripada pekerja yang diambil secara kontrak, sambilan atau separuh masa oleh kerajaan atau GLC. Mereka tidak menikmati faedah dan jaminan yang sama seperti kakitangan tetap, walaupun memikul beban tugas yang serupa. Istilah “prekariat kerajaan” ini digunakan untuk menonjolkan keadaan pekerjaan mereka yang terdedah kepada ketidakstabilan dan ketiadaan jaminan sosial walaupun mereka bekerja dalam sektor yang kebiasaannya dianggap stabil dan terjamin.

Mengapakah “Prekariat Kerajaan” Wujud?

Secara fundamental, skim-skim pekerjaan ini diwujudkan untuk mengurangkan kadar pengangguran di negara ini dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Langkah ini dilihat sebagai maklum balass egera terhadap masalah pengangguran, terutamanya dalam situasi ekonomi yang tidak menentu. Pada Oktober 2021, Kementerian Kewangan mengumumkan sejumlah 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak di bawah skim MyStep yang mula ditawarkan pada Januari 2022. Skim ini melibatkan sebanyak 50,000 tawaran pekerjaan dalam sektor awam dan sebanyak 30,000 lagi dalam GLC.

Namun begitu, dari satu sudut, strategi murni ini tidak semena-mena bertukar menjadi masalah apabila skim ini dinormalkan atas nama penjimatan kos operasi, hingga mencetuskan dilema keselamatan ekonomi yang membimbangkan. Keadaan ini melahirkan golongan “prekariat” baharu apabila mereka yang berada di bawah skim ini tidak ditawarkan sebarang perjawatan tetap untuk tempoh yang begitu lama. Beberapa tinjauan lapangan yang dilakukan oleh penulis mendapati masih ramai yang kekal dalam skim ini melebihi lima hingga 10 tahun tanpa sebarang tawaran jawatan tetap.

Oleh itu, apakah sebenarnya masalah utama dalam skim “prekariat kerajaan” ini? Untuk satu-satu jawatan, golongan “prekariat kerajaan” tidak menerima gaji yang setaraf dengan gaji di bawah skim lantikan tetap yang disertakan dengan pelbagai faedah selayaknya. Lebih memburukkan keadaan, mereka juga tidak diberikan sebarang elaun tambahan. Selain itu, cuti tahunan yang diperuntukkan sangat terhad dan kadangkala dikira secara pro rata, tidak melebihi 12 hari setahun. Perbezaannya amat ketara, seumpama langit dan bumi jika dibandingkan dengan mereka yang memegang jawatan tetap.

Sebagai contoh, gaji bagi graduan universiti yang memegang jawatan tetap Gred 41 adalah sebanyak RM2080 sebulan, disertai dengan pelbagai elaun seperti elaun perumahan antara RM300 hingga RM800 (bergantung pada lokasi penempatan), elaun Cola RM300 hingga RM750 (bergantung pada lokasi), elaun perkhidmatan awam RM115, elaun tetap keraian RM100 hingga RM300 (bergantung kepada gred), serta elaun insentif wilayah, elaun perjalanan dan elaun imbuhan tetap jawatan sebanyak RM500 hingga RM900. Kenaikan gaji tahunan pula adalah sekitar RM225.

Sebaliknya, bagi pekerja “prekariat kerajaan” yang berjawatan Gred 41, mereka hanya menerima gaji asas sekitar RM2100 tanpa sebarang elaun tambahan. Bahkan, setelah potongan caruman KWSP, jumlah ini berkurangan lagi sekitar RM1,900 menyebabkan mereka terpaksa berjimat cermat dan membuat pelbagai catuan tanpa pilihan. Malah, bagi mereka yang berada di bawah Gred 41, situasi ini lebih mencengkam dengan tangga gaji yang jauh lebih rendah.

Lebih menyedihkan lagi, sama ada secara merit atau tidak, mereka tidak diberikan peluang untuk menikmati sebarang kenaikan gaji tahunan. Tiada peruntukan kenaikan gaji walaupun seseorang itu telah berhempas-pulas, bersungguh-sungguh dan bekerja keras sama seperti pekerja tetap demi mencapai prestasi cemerlang.

Dari sudut skop kerja, tidak ada perbezaan antara mereka dengan kakitangan kerajaan tetap. Perkara yang membezakan hanyalah kerentanan ekonomi, ketidakstabilan sosial serta ketiadaan perkembangan kerjaya yang signifikan. Disebabkan oleh kekangan ini, golongan “prekariat” sukar untuk menaiktarafkan kesejahteraan hidup mereka dan terus dihantui oleh ketidakstabilan yang berpanjangan.

Ketidakseimbangan dari segi persaingan terus berlaku apabila pekerja tertentu berdepan dengan masa hadapan yang tidak menentu.

Natijahnya, golongan “prekariat” ini tidak dapat menikmati kehidupan seperti masyarakat kebanyakan. Mereka terpaksa menangguhkan perkahwinan, mencatu perbelanjaan makanan dan kadangkala terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada rakan-rakan. Lambakan golongan “prekariat” kerajaan ini juga sebahagiannya berkaitan dengan jangkaan bahawa Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030, iaitu sebanyak 14 peratus daripada penduduk akan terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Kelompangan dalam sistem yang membawa kepada kemunculan kelas “prekariat baharu” ini merupakan isu yang perlu diberilkan perhatian yang serius. Hal ini tidak sekadar menyentuh  tentang masalah pekerjaan, malah turut menyentuh persoalan keadilan, kesejahteraan sosial, keselamatan ekonomi dan jaminan masa depan untuk masyarakat.

Belanjawan 2025 perlu memberikan tumpuan khusus kepada isu “prekariat kerajaan” sebagai satu daripada keutamaan yang mendesak. Kerajaan harus memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2025 mampu menawarkan penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan krisis “prekariat kerajaan” yang sebahagian besarnya melibatkan graduan universiti.

Melangkah ke hadapan, konsep pekerja sambilan ini perlu diteliti dengan sedalam-dalamnya dan dibatasi dengan syarat-syarat perjalanan kerjaya yang jelas dalam menentukan masa depan mereka. Perbezaan gaji, ketiadaan kenaikan tahunan dan fenomena antara dua darjat dalam satu hierarki pekerjaan yang sama merupakan bentuk pekerjaan yang perlu diperincikan semula dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi nilai konsep MADANI.

Penulis, sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.