Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2025 bagi memperkukuh kerjasama dengan penggiat bahasa dan sastera dalam usaha memperkasakan bahasa serta sastera kebangsaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada petang tadi menegaskan bahawa khazanah bahasa dan sastera negara perlu terus dipertahankan supaya tidak hilang ditelan oleh zaman.
“Peruntukan tersebut bertujuan untuk mempergiat aktiviti bahasa dan sastera, termasuklah penterjemahan karya agung tempatan dan antarabangsa, penganjuran teater, serta pemeliharaan bahasa kaum minoriti, seperti bahasa etnik Siam di Malaysia,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan kelestarian bahasa dan kesusasteraan kekal terpelihara.
Ujar beliau,
Pengumuman ini merupakan satu penghargaan tertinggi kepada DBP. Melalui penterjemahan karya agung serta pelibatan generasi muda, kita berharap agar masyarakat terus menyemarakkan aktiviti penerbitan dan kegiatan bahasa dan kesusasteraan Melayu sebagai usaha pembudayaan ilmu bagi membina masyarakat berbudaya tinggi.
DBP akan berganding usaha dengan pelbagai pihak bagi memikul tanggungjawab ini untuk manfaat masyarakat.
Menurut beliau, pengumuman tentang pendidikan berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai peneraju AI alih bahasa juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Belanjawan 2025 merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara. Menerusi RM421 bilion yang diperuntukkan, kerajaan memberikan penekanan kepada RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, sejajar dengan aspirasi “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera.”
Belanjawan yang dibentangkan ini mencerminkan aspirasi kerajaan dalam usaha menyejahterakan rakyat dan dijangka memberikan impak yang menyeluruh, tidak hanya dari segi ekonomi, malah turut memperkukuh aspek sosial serta pembangunan negara.