Oleh Hamdan Abu
27 Oktober 2024, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banting – Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang (SKBC) Banting, Kuala Langat, terpilih untuk menyertai program “100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari” (STI 1003) yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Program STI 1003, yang melibatkan penyertaan sebanyak 100 buah sekolah di seluruh negara itu dilaksanakan dengan bimbingan oleh 100 saintis dan berlangsung selama 100 hari bermula pada bulan Oktober 2024. 

Tujuan program ini adalah untuk memupuk minat dan kecenderungan pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), khususnya dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MOSTI untuk menyenaraikan sebanyak 100 orang saintis tempatan bagi tujuan untuk melaksanakan Program Jangkau Luar kepada 100 buah sekolah ketika beliau merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau pada 17 Julai lepas.

Pensyarah Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), YBrs. Ts. Dr. Noor Aina Misnon.

Di SKBC, projek utama yang dipilih untuk STI 1003 adalah dengan menghasilkan alat penapis air, iaitu para pelajar akan dibimbing oleh Pensyarah Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), YBrs. Ts. Dr. Noor Aina Miskon merangkap Ahli Teknologi MBOT. 

“Para saintis dan pensyarah pembimbing disyaratkan hadir ke sekolah sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali dalam tempoh program berlangsung untuk memberikan tunjuk ajar kepada murid-murid atau peserta yang telah dipilih. SK Bukit Changgang telah memilih sebanyak 60 murid untuk program ini,” jelas YBrs. Ts. Dr. Noor Aina ketika ditemui semalam.

Dalam tempoh 100 hari program berlangsung, murid yang terlibat akan dibimbing untuk menghasilkan alat penapis air, sesuai dengan matlamat STI 1003 dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih memahami dan menghargai STI.

Dalam majlis yang sama, program Jambori Komunikasi Satelit turut diadakan di SKBC pada 26 Oktober, sebagai sebahagian daripada sambutan Minggu Sains Negara (MSN) yang bertemakan satelit angkasa.

Peserta diperkenalkan kepada teknologi komunikasi satelit dan penjejakan satelit oleh ahli-ahli Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dengan bantuan Kumpulan Minat Khas (SIG) Satelit Malaysia.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah komunikasi radio amatur melalui satelit, penjejakan satelit dan pencerapan Slow Scan Televisyen (SSTV).

SSTV merupakan kaedah penghantaran imej dan data menggunakan frekuensi radio amatur yang disifatkan sangat berguna ketika kecemasan atau apabila komunikasi terputus.

 

Kredit Foto: Hamdan Hj. Abu
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.