28 Oktober 2024, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Karnival Sambutan Hari Warga Emas @ Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 telah berlangsung dengan meriahnya di Dewan Muhibbah Merbau Kudung, Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang pada 26 Oktober lalu yang menampilkan tema “Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Hubungan Generasi dan Sinergi Sokongan Sosial.”

Acara ini dihadiri oleh lebih 1000 pengunjung daripada pelbagai peringkat umur yang menyatukan komuniti tempatan dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang penuaan dan kepentingan sokongan sosial yang inklusif.

Karnival ini merupakan anjuran Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Pulau Pinang dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia Initiative on Ageing (USIA).

Perasmian karnival ini telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Siew Kim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pentingnya menjaga maruah dan kesejahteraan warga emas melalui hubungan generasi yang harmoni.

Warga emas inilah yang banyak memberikan sumbangan besar kepada masyarakat, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka terus mendapat sokongan sosial yang mereka perlukan.

“Karnival ini bertujuan untuk memperkukuh semangat kekeluargaan, sokongan komuniti, serta pengiktirafan kepada peranan mereka dalam membina negara.

Mengulas lanjut, terdapat pelbagai aktiviti dilakukan, antaranya termasuklah Senaman Warisan-Senamas, sesi perkongsian literasi kewangan, pertandingan bakat “Duo Intergenerasi Talent”, pertandingan Peragaan Anggun 2 Generasi dengan tema tradisional,  pertandingan sepak raga bulatan dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Satu daripada tarikan utama dalam karnival itu termasuklah dengan adanya mempelai daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Dua, iaitu Encik Zinall Abidin dan Puan Rohani yang masing-masing berusia 74 tahun dan 64 tahun yang berjumpa dan berkenalan di PAWE. Simbolik perkahwinan ini sebagai terapi kesunyian.

Aktiviti dan interaksi di PAWE jelas dapat meningkatkan kualiti kesihatan mental dan fizikal warga emas.

Selain itu, YB Puan Lim Siew Kim menyampaikan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri kepada setiap Pusat Aktiviti Warga Emas di Pulau Pinang  sebanyak RM3000 sebagai penghargaan dan sokongan kepada PAWE untuk terus bergiat aktif dan mencapai kecemerlangan.

Menurut penganjur, karnival tersebut banyak membuka peluang kepada masyarakat untuk memahami keperluan warga emas dengan lebih mendalam, di samping memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara generasi.

Inisiatif seperti ini diharap akan menjadi inspirasi kepada negeri lain untuk turut menganjurkan program yang mampu memperkukuh sinergi sosial dalam menghadapi realiti penuaan masyarakat pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.