Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGeorge Town – Program Hari Akademik 2024 dengan tema “Building Networks of EduChamps” berlangsung dengan jayanya di Dewan Persidangan Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.
Menurut USM, program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Bulan Akademia Kebangsaan pada bulan Oktober sebagai inisiatif dalam usaha memperkukuhkan semangat keilmuan dan inovasi dalam kalangan warga USM.
Selain itu, program ini juga menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga akademik dan pelajar, serta memfokuskan kepada reka bentuk dan pengembangan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berdaya saing serta relevan dengan keperluan semasa.
Dalam ucapan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang merasmikan program tersebut berkata,
Academia Fiesta bukan sahaja menyediakan platform untuk berkongsi amalan terbaik, malah juga berperanan untuk mengenal pasti produk dan inovasi PdP yang boleh diketengahkan pada peringkat USM dan kebangsaan.
Tambah beliau,
Program ini dapat mengangkatkan matlamat membudayakan penghasilan inovasi PdP dalam kalangan warga akademik dan pelajar selari dengan aspirasi melahirkan pelajar yang berkeupayaan tinggi atau kualiti hebat.
Program ini turut melancarkan dua inisiatif baharu oleh USM, iaitu Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan Pusat Pengesahan Kualiti (QVC).
Sementara itu, dalam Sesi Future-Ready Academia oleh Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, beliau menekankan pentingnya kerjasama dalam membina persekitaran akademik yang menyokong matlamat pelajar dan pendidik, yakni tumpuan kepada perubahan dalam kaedah pembelajaran serta kualiti dan kemahiran yang diperlukan.
Program ini turut menyaksikan pelancaran Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) 5.0 oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang menekankan kepada lima aspek.
Pertama, transformasi PdP yang berasaskan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar dan interaksi teknologi bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik dan efektif.
Kedua, penyelidikan dan inovasi dalam PdP yang berperanan sebagai pendorong untuk mempertingkatkan kualiti PdP dalam pelbagai bidang membolehkan penciptaan amalan terbaik dalam pelbagai bidang.
Ketiga, pembelajaran sepanjang hayat yang memberikan tumpuan kepada pendidikan berterusan untuk warga akademik untuk memastikan mereka terus relevan dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan.
Keempat, Kursus Terbuka Lestari Global yang bertujuan untuk menggalakkan kesinambungan pembelajaran pada peringkat global serta mendukung pendidikan lestari.
Kelima, struktur dan pengurusan CDAE yang merupakan asas kepada kejayaan CDAE secara menyeluruh bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan dan teratur.
Antara acara yang dinantikan, termasuklah penyampaian hadiah oleh Naib Canselor USM kepada pemenang EduChamp Challenge, Produk Inovasi, Massive Open Online Course (MOOC) Challenge dan Microcredential (MC) Challenge yang bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan kreatif dan inovatif para peserta.
Pengiktirafan turut diberikan kepada ahli akademik yang mengambil langkah signifikan dalam membangunkan kursus MOOC dan MC yang berkualiti.
Program ini bukan sahaja menyatukan idea baharu dalam kalangan warga akademik dan pelajar, malah juga melahirkan EduChamps yang bakal memimpin inovasi pendidikan ke arah masa depan yang lebih cemerlang.