Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTerengganu – Minat mendalam terhadap aktiviti lasak dan penyelamatan mendorong Penolong Penguasa Bomba, Nor Mohd. Shukri Awang untuk menyertai pemilihan bagi menyertai pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, iaitu pasukan Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM).
Setelah lebih daripada sebulan menimba ilmu dalam Kursus Asas STORM, Shukri Awang telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Teori Kursus Asas STORM Siri 1/2024.
Kursus yang diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur ini disertai oleh 35 orang peserta dari seluruh Malaysia termasuklah tiga orang peserta wanita.
Shukri Awang berkata,
Latihan yang diberikan cukup mencabar dan menguji mental dan fikiran kerana latihan bukan hanya melibatkan fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan teori.
“Teori perlu difahami terlebih dahulu kerana tugasan yang akan dijalankan melibatkan nyawa dan harta benda, maka seharusnya dilakukan mengikut peraturan dan kaedah yang betul.
Menurut beliau, dari aspek fizikal, sememangnya memerlukan tubuh badan yang sihat dan kuat kerana semua latihan adalah berdasarkan kekuatan fizikal.
Peserta turut diuji dengan berjalan lasak sambil membawa beban bagi memastikan fizikal dan mental sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik untuk menghadapi sebarang operasi dan bencana kelak.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Yang Setia Timbalan Pesuruhjaya Bomba, Nordin Pauzi, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pasukan STORM merupakan pasukan elit JBPM yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi bencana berskala besar, seperti tanah runtuh.
Untuk rekod, antara misi yang pernah disertai oleh pasukan STORM JBPM ialah misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye pada tahun 2023 dan operasi SAR kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada tahun 2022.