Oleh Hamdan Abu
4 November 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tuan Ir. Hj. Mohd Aris (dua dari kanan) selaku Presiden MARTS menyambut kehadiran Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang singgah di reruai MARTS sempena Konvensyen Rakan NADMA 2024 di Putrajaya Oktober lalu.

Kuala Lumpur – Lebih daripada 100 perwakilan daripada 27 negara Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU) termasuklah Malaysia menghadiri Persidangan IARU Wilayah 3 di Bangkok, Thailand yang bermula hari ini hingga 8 November 2024.

Persidangan tertinggi badan dunia ini diadakan setiap tiga tahun sekali dan wakil negara anggota wajar hadir untuk memutuskan dasar masa hadapan berkaitan dengan pentadbiran, operasi, hal teknikal berkaitan dengan pengutukan spektrum serta peranan dan perundangan radio amatur sedunia pada masa aman dan juga bencana.

IARU ialah persekutuan organisasi radio amatur antarabangsa yang dibentuk sejak tahun 1925, yakni dianggotai oleh 172 negara di dunia yang dipecahkan kepada tiga wilayah, iaitu Wilayah 1 (dianggotai oleh negara Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Asia Utara), Wilayah 2 (Amerika dan Amerika Latin) dan Wilayah 3 (negara Asia Pasifik).

IARU memainkan peranan untuk melindungi dan melindungi spektrum radio amatur di seluruh dunia, di samping terus menyemai kesedaran mengenai kepentingan radio amatur melalui aktiviti serantau.

IARU bekerjasama rapat dengan International Telecommunication Union (ITU) dan agensi kerajaan setiap negara anggota yang dipertanggungjawabkan mengurus tadbir spektrum radio amatur.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam persidangan tersebut ialah Pengerusi Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC) Thailand, Gen. Sukit Khamasundara dan Pesuruhjaya NBTC, AM. Thanapant Raicharoen.

Tuan Ir. Hj. Mohd Aris Bernawi, Presiden Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) yang juga Pengarah IARU Wilayah 3.

Malaysia diwakili oleh Tuan Ir. Hj. Mohd Aris Bernawi atas kapasiti Presiden Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) merangkap Pengarah IARU Wilayah 3 dan empat orang Ahli Majlis Jawatankuasa MARTS.

Ir. Mohd Aris menyatakan bahawa isu utama perbincangan untuk menyatukan IARU Wilayah 1, 2, dan 3 ke dalam satu IARU yang didaftarkan dan berpusat di Geneva.

Penggabungan ini dijangka akan meningkatkan kesatuan yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota dari pelbagai rantau di seluruh dunia, sekali gus memperkukuhkan pengurusan dan kewangan IARU dalam menangani cabaran global dan teknologi masa depan.

Tambah Ir. Mohd. Aris,

Agenda mendesak pada persidangan tahun ini ialah cadangan untuk menstrukturkan semula organisasi IARU yang membolehkan jawatan presiden, naib presiden, setiausaha dan bendahari dipilih secara langsung melalui persidangan setiap tiga tahun sekali.

Bagi kepentingan Malaysia pula, MARTS akan menekankan pada persidangan badan induk dunia itu untuk merancakkan penggunaan frekuensi serta kerjasama pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan aktiviti pada gelombang mikro melalui stesen pemancar ulang atau beacon Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) yang membolehkan penggiat radio amatur berkomunikasi menerusi komputer dalam keadaan isyarat yang lemah.

Persidangan IARU Wilayah 3 selama lima hari di Bangkok itu dikendalikan oleh Radio Amateur Society of Thailand (RAST). RAST telah ditubuhkan lebih 60 tahun lalu mempunyai kira-kira 120,000 pengendali radio amatur berlesen.

Sementara itu, Malaysia mempunyai kira-kira 11,000 penggiat radio amatur berlesen yang kebanyakannya bernaung di bawah MARTS walaupun jumlah keahliannya masih terlalu kecil berbanding dengan jumlah penduduk negara ini atau jika dibandingkan dengan negara jiran.

Untuk rekod, MARTS yang ditubuhkan pada tahun 1952 misalnya, menjalin hubungan dua hala dan sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaku agensi kawal selia spektrum dan telekomunikasi negara ini. MARTS juga merupakan rakan strategik kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui kolaborasi Rakan NADMA untuk membantu menyediakan kemudahan komunikasi jika diperlukan.

MARTS ialah badan tunggal radio amatur Malaysia yang diiktiraf oleh IARU di peringkat dunia atau antarabangsa.

Selain Malaysia dan Thailand, negara lain yang menyertai persidangan Wilayah 3 ini antaranya termasuklah Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, New Zealand, Australia, Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan lain-lain.

Radio Amatur diperakui di peringkat antarabangsa sebagai komunikasi sokongan. Jika berlaku musibah atau bencana di sesuatu tempat lebih-lebih lagi jika komunikasi utama talian tetap atau selular tergendala akibat terputus bekalan elektrik, kerosakan infrastruktur, banjir atau sebab-sebab lain, radio amatur akan diminta untuk beroperasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.