5 November 2024, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyerahkan surat pelantikan Pengerusi UiTM kepada Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil.

Putrajaya – Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil telah dilantik sebagai Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 4 November 2024 hingga 3 November 2027.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil yang berkelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti London memiliki pengalaman luas dalam dunia korporat dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad selama 10 tahun dari tahun 2006.

KPT berkata dalam satu kenyataan pada hari ini,

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif DRB-HICOM Berhad, Pos Malaysia Berhad dan Proton Holdings Berhad sepanjang tempoh 2016 hingga 2018.

Beliau juga bukanlah figura baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara kerana beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pro-Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia semasa berkhidmat di DRBHICOM Berhad.

Menurut KPT, beliau juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari tahun 2013 hingga 2014 dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari tahun 2014 hingga 2016.

Kementerian yakin dengan pelantikan Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd. Khamil Jamil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM akan dapat meningkatkan tadbir urus profesional UiTM menerusi perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor berkepentingan bagi memperkukuh UiTM agar lebih berdaya saing sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia.

KPT mengatakan bahawa pihak kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini.

Kredit Foto: KPT
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.