6 November 2024, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Jambul – Pejabat Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan forum Pengukuhan Tatakelola MADANI dan Impaknya Kepada Masyarakat dengan tema “Dasar kepada Rakyat: Tadbir Urus yang Mengubah Komuniti”, di Auditorium Murad Md Noor, Sains@USM.

Menurut USM, forum ini bertujuan untuk mengupas konsep tatakelola MADANI sebagai asas penting dalam membina pentadbiran yang berintegriti demi kesejahteraan masyarakat dan institusi negara.

Majlis yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, YBhg. Datuk Mohd Fuad Bee Hj. Basrah.

Forum yang menampilkan dua panelis, iaitu Dr. Haji Mazlan Haji Ahmad dan Dato’ Dr. GP Doraisamy, Timbalan Presiden II Pemerhati Rasuah Malaysia, sementara Professor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian bertindak sebagai moderator.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa tatakelola yang telus dan berpaksikan prinsip keadilan dan kesaksamaan menjadi kunci dalam memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Jelas beliau,

Tatakelola yang kukuh adalah asas kepada sebuah negara yang maju dan makmur. Dengan pendekatan MADANI, kita mampu membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan memajukan negara tanpa menjejaskan integriti.

Beliau turut menegaskan komitmen SPRM dalam membanteras rasuah serta menekankan keperluan kerjasama daripada semua pihak untuk mencapai matlamat ini.

Tegasnya lagi,

Pendekatan tatakelola MADANI, yang bersifat inklusif, diharapkan dapat menghalang penyalahgunaan kuasa dan memastikan pembangunan negara berlandaskan keadilan, keseimbangan dan integriti.

Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin, selaku Pengarah Pejabat Jaringan Masyarakat, BJIM, USM menyampaikan cenderamata kepada panelis.

Forum ini turut disertai dua panelis berpengalaman, iaitu Dr. Haji Mazlan Haji Ahmad, anggota Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah dan Panel Semakan Operasi SPRM, serta Dato’ Dr. GP Doraisamy, Timbalan Presiden II Pemerhati Rasuah Malaysia. Forum ini dikendalikan oleh Professor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, pensyarah Sosiologi Politik, USM yang bertindak sebagai moderator.

Para panelis berkongsi pandangan tentang pendekatan MADANI dapat memberikan impak positif kepada masyarakat, dengan memberikan penekanan kepada aspek kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan, serta penglibatan masyarakat dalam sesebuah organisasi.

Pada pukul 2.00 petang, satu bengkel tatakelola diadakan dengan bertemakan Pencapaian Resolusi dalam Pengukuhan. Bengkel ini bertujuan untuk membimbing peserta dalam memahami konsep tatakelola MADANI secara mendalam dan merangka strategi untuk memperkukuh amalan tadbir urus di organisasi masing-masing.

Mengulas lanjut, bengkel ini juga dirancang untuk menghasilkan resolusi yang akan berfungsi sebagai panduan bagi institusi dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran mereka.

USM meletakkan harapan agar forum ini dapat menjadi langkah awal dalam memperkukuhkan tatakelola MADANI yang berteraskan keadilan dan ketelusan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pentadbiran negara.

Selain itu, ilmu dan kesedaran yang diperoleh daripada forum ini mampu membantu rakyat Malaysia menolak rasuah dan bebas daripada amalan yang menyeleweng.

Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh imej dan reputasi Malaysia di persada antarabangsa sebagai sebuah negara yang berintegriti dan bebas rasuah, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju yang makmur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.