7 November 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pelajar tekun memilih buku di Pesta Buku USM 2024 bersempena dengan Hari Terbuka Perpustakaan Hamzah Sendut, USM.

Gelugor – Perpustakaan Hamzah Sendut 1 (PHS1) di Kampus Induk, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang kini meriah dengan pelbagai aktiviti ilmu sempena Pesta Buku USM 2024 dan Hari Terbuka Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) 2024.

Acara ini berlangsung dari 4 hingga 7 November 2024 dengan kerjasama pelbagai pempamer buku dan penerbit utama, yakni bertujuan untuk memperkukuhkan budaya membaca serta menyemai semangat ilmu dalam kalangan komuniti kampus.

Selain itu, Pesta Buku USM 2024 menampilkan pempamer buku terkemuka seperti Penerbit USM, Karangkraf, Geng Buku, Alhada Publishing House, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Shadani Book Sale, serta pempamer lain yang turut memeriahkan suasana acara ini.

Pengunjung boleh menikmati potongan harga sebanyak 20 peratus, menawarkan peluang yang baik untuk menambah koleksi bacaan. Selain itu, disediakan juga konsultasi penebusan baucar buku RM100 khusus untuk pelajar bagi memudahkan mereka memperoleh bahan rujukan dengan harga yang lebih berpatutan.

Pada masa yang sama, Simposium Perpustakaan Bersama Pusat Pengajian dengan tema “Etika dan Integriti dalam Penyelidikan Dunia Akademik” turut diadakan bagi bertujuan membincangkan isu kritikal dalam penyelidikan akademik, sekali gus memperkukuh hubungan kolaboratif antara perpustakaan dan pusat pengajian USM dalam menyokong pembangunan ilmu dan penyelidikan.

Menurut USM, Hari Terbuka PHS 2024 juga mengetengahkan Program Dari Arkib USM: Pemimpin Wanita Pertama, yang diadakan sebagai penghargaan kepada tokoh wanita dalam sejarah USM.

Program ini memberikan tumpuan kepada sumbangan signifikan dua tokoh penting, iaitu Mantan Pendaftar USM, YBhg. Dato’ Hajah Siti Mazenah Saad dari tahun 1991 hingga 1998 dan Mantan Ketua Pustakawan, Puan Rashidah Begum Fazal Mohamed USM dari tahun 1995 hingga 2002.

Kata USM, “Dato’ Hajah Siti Mazenah dikenang atas kepimpinannya dalam pentadbiran universiti, manakala Puan Rashidah memainkan peranan utama dalam memajukan perkhidmatan perpustakaan di USM.”

Program 3C di Pesta Buku USM 2024 menawarkan khidmat nasihat dan bimbingan kepada pensyarah dan pelajar dalam pelbagai aspek akademik.

Selain itu, program 3C (Coffee, Consult & Counsel) turut diadakan khusus untuk pensyarah dan pelajar.

Dalam sesi ini, pustakawan berpengalaman dari USM menawarkan khidmat nasihat dan bimbingan dalam pelbagai topik akademik, termasuklah strategi penerbitan, pencarian literatur, penulisan tesis dengan format yang betul, pengurusan data penyelidikan, penggunaan Mendeley, serta pendedahan kepada alat bantu kecerdasan buatan (AI) yang dapat menyokong keperluan akademik pensyarah dan pelajar.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat yang dirancang, Hari Terbuka Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) 2024 dan Pesta Buku USM 2024 bukan sahaja menyediakan peluang bagi komuniti kampus untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti, tetapi juga menjadi platform pendidikan yang memperkukuh budaya ilmu.

Usaha yang dianjurkan ini amat dipuji dan wajar diteruskan pada masa hadapan untuk terus menyemarakkan budaya ilmu dan memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan komuniti kampus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.