Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Kiara – “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”. Hasil kesungguhan dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa dan kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa berjaya menobatkan Mohamad Haziq Fauri sebagai Peserta Terbaik Munsyi Muda Bahasa Tahun 2024.
Peristiwa bersejarah buat Haziq Fauri telah dirakamkan detiknya bersempena dengan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa Tahun 2023/2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 6 November 2024.
Sebanyak 161 penjawat awam daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian telah menerima watikah pelantikan dan ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa.
Majlis pentauliahan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd. Shaiful Ibrahim.
Turut hadir bersama-sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Md. Johari Hasan serta Timbalan Pengarah Kanan INTAN, Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin.
Menurut Haziq Fauri, beliau perlu terlebih dahulu mengikuti kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang diadakan pada 10 hingga 14 Jun yang lalu.
Kata Haziq Fauri,
Kami dibimbing dari aspek tatabahasa, penulisan surat rasmi, jenis kata, pembinaan ayat serta aspek berkaitan penanda wacana.
Tambahnya lagi,
Semua peserta kursus akan diuji dalam Ujian Kursus Pembinaan Munsyi Muda dan hanya yang lulus akan layak untuk mengikuti Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa sebelum berjaya menerima Sijil Penuh Munsyi Muda Bahasa.
Mengulas lanjut, program Munsyi Muda Bahasa telah mula diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Program ini merupakan satu daripada inisiatif untuk melahirkan penjawat awam sebagai duta bahasa serta memastikan penggunaan bahasa yang tepat dan berkualiti dalam setiap urusan rasmi.