Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPort Dickson – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor melakar sejarah tersendiri apabila tiga orang pemido JBPM Negeri Selangor mengungguli Pertandingan Pidato sempena Sambutan Minggu Inovasi Tahun 2024 JBPM.
Detik manis ini terlakar apabila Penguasa Bomba Mohd Iqhmal Kamaruddin dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris dan Pegawai Bomba Franklin Lipa anak Belun memenangi Naib Johan Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris.
Sementara pemidato kategori Bahasa Melayu, Pegawai Bomba Mohd Amirul Shafiq Mohamad Mahrim diumumkan sebagai pemenang Naib Johan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu menjadikan ketiga-tiga wakil JBPM Negeri Selangor diumumkan sebagai pemenang.
Para pemenang diraikan dalam Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu Inovasi Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Majlis yang diadakan di Lexis Hibiscus Port Dickson, Negeri Sembilan ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun. Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad dan pengurusan tertinggi JBPM.
Terdahulu, saringan telah diadakan secara dalam talian melibatkan 16 buah negeri dan lima buah akademi bomba. Lima peserta terbaik setiap kategori dipilih untuk bersaing di pusingan akhir.
Pertandingan pidato ini merupakan acara tahunan yang diadakan oleh pihak JBPM untuk mencungkil bakat pengucapan awam dalam kalangan pegawai bomba, di samping memberikan pendedahan berkaitan dengan ilmu pengucapan awam.
Tema pidato yang diangkat pada pusingan akhir ialah Perekayasa Inovasi Perkasakan Produktiviti.
Peserta dinilai dari tiga aspek, iaitu idea dan isi, bahasa dan adab serta penyampaian dan penampilan.
Johan bagi kategori Bahasa Melayu telah menjadi milik Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Jamikah (JBPM Negeri Sabah), manakala tempat ketiga menjadi milik Pegawai Bomba Muhamad Hanafi Azman (JBPM Negeri Pulau Pinang). Tempat keempat dan kelima masing-masing milik Pegawai Bomba Wanita Nurhidayah Ibrahim (JBPM Kuala Lumpur) dan Pegawai Bomba Andi Muhamad Syafik Sharullah (JBPM Negeri Perlis).
Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, tempat ketiga dimenangi oleh Penguasa Bomba Hafizah Jamaluddin (JBPM Negeri Melaka), tempat keempat milik Penguasa Kanan Bomba II Norlia Isnawi (Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur) dan tempat kelima, Penguasa Bomba Yogeswaran Elangovan (JBPM Kuala Lumpur).