Diterbitkan pada 21 November 2024, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Afghanistan mengatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara.

Rujukan amalan terbaik dasar pendidikan itu termasuklah dari aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.

Perkara itu dimaklumkan bagi memperjelas isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, YB Lim Guan Eng susulan lawatan rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini.

Menurut KPM dalam kenyataan pada hari ini,

Pendedahan dasar pendidikan itu adalah untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani pada peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, KPM turut melaksanakan pembentangan yang memberikan gambaran menyeluruh berkaitan dengan sistem pendidikan negara, termasuklah pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.

Kata KPM,

Hal ini memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

Malah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4): Pendidikan Berkualiti, termasuklah untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh pada semua peringkat pendidikan.

Mengulas lanjut, program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ini dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).

Kunjungan ini merupakan suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yakni Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut.

KPM menegaskan bahawa komitmen KPM itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.

“Hak pendidikan tidak boleh dinafikan.”

“Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” jelas KPM berkaitan dengan kunjungan delegasi itu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi