21 November 2024, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Israel itu sendiri merupakan lambang kekejaman. Mereka merupakan paksi kejahatan. Pernyataan ini barangkali sukar disanggah oleh sesiapa. Masakan tidak, sejak zaman-berzaman, Israel dilihat sentiasa takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Akibatnya, bangsa tersebut telah memusnahkan sesiapa sahaja yang dirasakan telah menggores dan mengancam mereka. Malah, kepada sesiapa yang melawan puak berkenaan akan dianggap sebagai pengganas.

Perang yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 hingga kini merupakan satu tragedi yang paling kejam dan penuh dengan takungan air mata serta darah. Emosi manusia sejagat terhiris bak dihunus pedang tajam.

Kita terpaku, lahir sifat empati yang jujur, tetapi sulit untuk diluahkan dengan apa-apa cara sekalipun. Barangkali kita tidak mempunyai “kehebatan luar biasa” untuk menghalang kezaliman yang berlaku di depan mata. Kita juga seolah-olah “dipukau” sehingga hanya mampu melihat dan mendengar penderitaan saudara kita di Palestin.

Walau bagaimanapun, adakah penduduk dunia akan terus disajikan dengan berita sebenar yang berlaku di bumi Anbia? Perkara itulah yang bermain di benak hati penulis sejak kebelakangan ini.

Persoalan tersebut mula menjentik minda penulis apabila Committee to Protect Journalists (CPJ) melaporkan sebanyak 131 orang wartawan dan pekerja media disahkan terbunuh. Jumlah ini melibatkan 123 warga Palestin, dua warga Israel dan enam warga Lubnan.

Al-Jazeera yang memetik kenyataan daripada seorang pegawai Palestin pula menganggarkan bahawa angka kematian mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan. Hal ini demikian kerana di Gaza sahaja, sebanyak 176 orang wartawan dilaporkan telah terbunuh. 

Setakat 28 Oktober lalu, laman web CPJ mendedahkan bahawa  sebanyak 41 orang wartawan telah tercedera, dua orang hilang, manakala 71 orang lagi ditahan oleh puak Zionis. Hal ini menunjukkan bahawa pengamal media menjadi antara puluhan ribu mangsa yang terbunuh di Gaza, Tebing Barat, Israel termasuklah di Lubnan.

CPJ kini sedang menyiasat lebih 130 kes tambahan yang berkemungkinan melibatkan kes pembunuhan, penahanan dan kecederaan, namun sukar untuk didokumentasikan kerana keadaan yang semakin teruk.

Untuk rekod, CPJ merupakan satu-satunya organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang bermatlamat untuk memperjuangkan hak wartawan di seluruh dunia dalam melaporkan berita secara terbuka dan bebas tanpa rasa takut dengan sebarang tindak balas.

CPJ menganggap statistik kematian akibat Perang Israel-Gaza adalah keterlaluan dan tidak masuk akal kerana telah mengorbankan sebegitu banyak wartawan dalam sejarah kewujudan dunia.

Terlalu banyak kes yang menyaksikan Israel melakukan pembunuhan dengan niat. Paling baharu, tiga wartawan dan beberapa individu lain maut di sebuah rumah tumpangan yang digunakan oleh media di Hasbaya, selatan Lubnan, pada 25 Oktober lalu.

Serangan udara pada awal pagi Jumaat itu meragut nyawa jurukamera, Ghassan Najjar dan jurutera, Mohamed Reda dari stesen berita pro-Iran, Al-Mayadeen serta jurukamera, Wissam Qassem dari saluran Al-Manar milik Hizbullah, yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan.

Pembunuhan tersebut tercetus selepas 24 jam serangan Israel  ke atas pejabat yang digunakan oleh Al-Mayadeen di pinggir selatan Beirut.

Dalam reaksi balas, Menteri Penerangan Lubnan, Ziad Makary menerusi ciapan di laman X secara terbuka menuduh Israel dengan sengaja menyasarkan wartawan. Malah, terdapat dakwaan tambahan menyebut, Israel telah menuduh beberapa wartawan Al-Jazeera sebagai anggota kumpulan bersenjata Palestin.

“Ini adalah satu jenayah perang!,” kata Ziad yang barangkali sedang bermengkal hati pada saat menerima berita memilukan itu.

Dakwa beliau lagi, pembunuhan berkenaan dilihat seperti sudah dirancang awal dan pemantauan telah dilaksanakan dengan rapi. Pengamal media yang berada di sekitar lokasi kejadian turut senada dengan menteri berkenaan.

Difahamkan, Israel sedari awal sudah mengetahui terdapat 18 orang wartawan mewakili tujuh saluran berbeza yang menginap di kediaman tersebut.

“Israel menunggu waktu rehat wartawan pada waktu malam untuk “mengkhianati” mereka dalam tidur, ini adalah satu pembunuhan,” kata Ziad dengan nada penuh kemarahan.

Antara kes lain yang menyedihkan adalah kematian wartawan yang baru berusia 19 tahun, Hassan Hamad. Bahan beritanya pernah disiarkan di saluran Al-Jazeera dan rangkaian saluran berita lain pada awal Oktober lalu.

Hassan merupakan susuk yang mula menentang peperangan dengan caranya yang tersendiri dan memilih untuk menjauhkan diri daripada keluarga agar insan tersayang tidak menjadi sasaran Zionis.

Memetik beberapa laporan antarabangsa, wartawan Palestin, Maha Hussaini mendedahkan bahawa beberapa hari sebelum kematiannya, Allahyarham menerima mesej ancaman melalui WhatsApp, termasuklah beberapa panggilan yang memintanya untuk berhenti merakam visual di Gaza.

“Dengar sini, jika kamu terus menyebarkan pembohongan tentang Israel, kami akan datang kepada kamu seterusnya dan menjadikan keluarga kamu […] Ini adalah amaran terakhir kepada kamu …” demikian kata-kata yang diterima oleh wartawan Palestin, Maha Hussaini seperti yang telah dimuat naik dalam akaun X miliknya.

Pembunuhan Ismail al-Ghoul dan jurukamera, Rami al-Rifi dari Al-Jazeera melalui serangan udara pada 31 Julai lalu turut menjadi sorotan ramai.

Nyawa mereka melayang saat membuat liputan penggambaran kediaman pemimpin Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Gaza sekali gus menambah daftar wartawan yang menjadi korban Israel durjana.

Ismail terkenal dengan profesionalisme dan dedikasi yang sentiasa membawa perhatian dunia kepada penderitaan dan kekejaman di Gaza, terutamanya di Hospital Al-Shifa dan kawasan utara, ujar Pengarang Urusan Al-Jazeera, Mohamad Moawad.

“Suaranya kini telah disenyapkan dan dunia tidak akan melihat imej kemusnahan pembunuhan beramai-ramai ini,” ujar Mohamad.

Kebenaran Terhapus

Situasi yang menuai kebimbangan telah menarik perhatian beberapa pihak yang tampil dengan lantang membuat gesaan agar genosid Israel segera dihentikan.

Pengarah Program CPJ, Carlos Martinez de la Serna antara individu yang meluahkan kekhuatiran paling optimum. Beliau berkata, wartawan bukan sahaja berdepan dengan risiko yang tinggi membuat liputan di zon konflik meliputi serangan udara dan kemusnahan 80 peratus bangunan di Gaza, malah terpalit dengan masalah kebuluran.

“Sejak perang bermula, wartawan telah membayar harga yang tinggi, iaitu nyawa sendiri dan laporan yang mahu dikongsikan. Tanpa perlindungan, sekuriti antarabangsa, peralatan sewajarnya, komunikasi, makanan termasuklah air, mereka masih melakukan tugas penting untuk memberitahu dunia tentang kebenaran.

“Apabila wartawan terbunuh, cedera, ditangkap, berada dalam buangan, kita (penduduk dunia) kehilangan serpihan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi CPJ.

Menurut pertubuhan itu, wartawan ialah orang awam yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Menyasarkan orang awam dengan sengaja merupakan satu jenayah perang.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada Mei lalu mengumumkan bahawa mereka sedang mendapatkan permohonan waran tangkap untuk Hamas dan pemimpin Israel untuk jenayah perang serta kemanusiaan.

Selain itu, awal tahun ini, lebih daripada 70 organisasi media dan masyarakat sivil menandatangani surat terbuka yang menyeru Israel untuk memberikan akses kepada wartawan bagi membuat liputan dengan bebas tanpa prejudis. Permintaan sama turut disuarakan oleh berpuluh-puluh penggubal undang-undang di AS.

Satu artikel yang disiarkan dalam Al-Jazeera membentangkan satu kupasan yang sangat rasional mengenai isu pembunuhan wartawan oleh Zionis. Penulisnya, Alice Speri menemu bual beberapa individu berpengaruh termasuklah peguam merangkap penganalisis Palestin, Diana Buttu.

Ujar Buttu, hakikatnya, Israel tidak mahu dunia melihat perkara yang sedang berlaku di Gaza. Tentera Zionis bukan sahaja membunuh, malah telah memburuk-burukkan wartawan dan melabel mereka sebagai sasaran.

Jelas beliau, di bawah undang-undang antarabangsa, seseorang hanya boleh dianggap sebagai sasaran yang sah dalam peperangan jika mereka ialah pejuang yang terlibat dalam pertempuran. Menuduh individu bergabung dengan kumpulan bersenjata, sama ada benar atau sebaliknya, tidak menjadikan mereka sasaran yang sah.

Dalam keadaan keterdesakan, kita melihat Israel seolah-olah telah “mengucar-ngacirkan” undang-undang antarabangsa dengan menamakan beberapa orang (penduduk Gaza mahupun wartawan) sebagai tali barut Hizbullah, Hamas atau Palestinian Islamic Jihad untuk mewajarkan pembunuhan mereka.

Israel juga dengan mudah menuduh wartawan yang menyiarkan kebenaran tentang mereka sebagai pengganas, sedangkan kumpulan itulah yang mendedahkan kepada seluruh pelosok dunia tentang kejahatan Israel dan bala tentera Ahzab.

Bayangkan, rakyat Palestin yang berada di kawasan perlindungan seperti di rumah ibadat, hospital termasuklah sekolah dibedil tanpa belas kasihan.

Bukan sahaja kaum lelaki, malah para pesakit, wanita, bayi dan kanak-kanak yang baru mengenal kehidupan dibunuh serta dicederakan. Tindakan memutuskan bekalan elektrik, air, termasuklah makanan juga amat melampau dan sangat tidak berperikemanusiaan.

Semestinya, melihat perilaku kejahatan yang dilakukan oleh Zionis merupakan sesuatu yang di luar batasan kita sebagai seorang manusia. Jelas, keadilan dan hak penduduk Palestin dironyokkan sesuka hati.

Media pro-Israel pula sering menggambarkan penduduk Palestin sebagai “objek” di tangan Hamas, sedangkan hakikatnya, kenyataan tersebut sangat  menyimpang daripada kebenaran.

Israel dan sekutu juga dilihat berusaha keras menghalang wartawan melaporkan berita yang tepat. Buktinya, pada September lalu, mereka telah membatalkan akreditasi media wartawan Al-Jazeera yang bekerja di Israel. Pejabat media kerajaan Israel berkata demikian dalam satu kenyataan.

Dengan bersahaja, Pengarah Pejabat Media, Nitzan Chen berkata, saluran media tersebut menyebarkan kandungan palsu termasuklah menghasut masyarakat umum tentang Israel dan Yahudi serta mengancam tenteranya.

Tindakan tersebut berikutan susulan pengumuman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada April lalu yang memberitahu bahawa Parlimennya telah meluluskan undang-undang yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengharamkan siaran saluran televisyen, termasuklah saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dimiliki oleh Qatar. Ternyata, keadaan tersebut merupakan percubaan “halus” untuk menghapuskan peranan media, menurut pemerhati.

Walaupun jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membangkitkan kerisauan mengenai pembunuhan wartawan yang semakin menjadi-jadi, tetapi perkara tersebut umpama seperti wayang yang sedang dipancarkan pada satu skrin yang besar.

Ujar PBB, mereka cemas dengan jumlah pengamal media yang telah dibunuh dalam angka yang luar biasa tinggi. Kumpulan terbabit diserang, cedera dan ditahan di wilayah Palestin yang diduduki, khususnya di Gaza, dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang secara terang-terangan tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa. Namun begitu, pernyataan berkenaan ibarat tin kosong.

Seperti kata Pengarah Advokasi, Democracy for the Arab World Now, Raed Jarrar, tuduhan Israel terhadap wartawan terutama dari Al-Jazeera merupakan “taktik yang disengajakan untuk menakut-nakutkan dan menutup mulut mereka yang mendedahkan pembersihan etnik secara berterusan dan pemindahan paksa di utara Gaza.”

Tegas Jarrar, kempen menentang pengamal media yang melaporkan kekejaman hanya membuktikan keterdesakan Israel untuk menutup jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Di luar lensa yang terakam, nyawa terkorban tetap meningkat bagai tiada noktah. Mereka yang masih terselamat hanya mampu menangisi kehilangan demi kehilangan. Suara kecil memanggil ibu, ayah, datuk, nenek, abang, kakak dan adik membayangi kepiluan di bumi Anbia.

Wartawan bukanlah seorang wira. Wartawan hanya menjalankan tanggungjawabnya mendukung kebenaran dan menyampaikannya. Betapa pengecutnya Israel sehingga mereka takut dengan wartawan yang hanya memegang pena dan kamera. Itulah cerminan sebenar Israel, negara haram yang dibina daripada pembohongan dunia dan penindasan terhadap Palestin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.