22 November 2024, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 24 Februari 2025 kelak, genaplah tiga tahun Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas terhadap Ukraine yang bermula pada 24 Februari 2022. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa sebanyak 11,662 orang awam Ukraine terbunuh sejak 24 Februari 2022 hingga Ogos 2024. Manakala, sebanyak 24,207 orang awam cedera. Setakat Februari 2024, sebanyak 3.7 juta warga Ukraine hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian dalam negara. Manakala sebanyak 6.5 juta warga Ukraine menjadi pelarian di luar negara dan 14.6 juta lagi memerlukan bantuan kemanusiaan.

Jadual 1: Jumlah Pelarian Ukraine Mengikut Negara Menurut United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR)

Amerika Syarikat (AS) menganggarkan pasukan tentera Ukraine mengalami lebih 70,000 kematian anggotanya, manakala 120,000 lagi cedera. Pada Februari 2024, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menganggarkan bahawa 31,000 tentera Ukraine terbunuh, manakala mendakwa 180,000 tentera Rusia terbunuh. AS dan Ukraine mendakwa bahawa 515,000 anggota tentera Rusia sama ada terbunuh atau cedera sejak perang meletus pada Februari 2022 hingga Jun 2024. Presiden Rusia, Vladimir Putin pula menegaskan bahawa Moscow hanya kehilangan seorang anggota tenteranya untuk setiap lima anggota tentera Ukraine. Putin juga mengesahkan bahawa terdapat 1348 anggota tentera dan pegawai Rusia dalam tahanan di Ukraine berbanding dengan 6465 warga Ukraine dalam tahanan di Rusia.

Serangan terhadap Kursk

Kursk merupakan medan pertempuran penting bagi Rusia sejak Ukraine melancarkan serangan rentas sempadan terhadap wilayah tersebut pada 6 Ogos 2024. Bandar Sudzha berjaya ditawan dan tentera Ukraine telah mara sejauh 30 kilometer (km) dalam wilayah Rusia. Wilayah Kursk yang terletak di barat Rusia dan bersempadan dengan Ukraine mempunyai populasi kira-kira 1.2 juta orang. Secara keseluruhannya, sempadan darat Rusia-Ukraine sejauh 1974 km. Jeneral Oleksandr Syrskii, ketua komander tentera Ukraine mendakwa pasukannya telah menguasai 1000 km persegi kawasan di wilayah Kursk.

Zelensky berkata, tentera Rusia telah melakukan 2100 serangan artileri dari Kursk terhadap wilayah Sumy di Ukraine sejak 1 Jun 2024. Oleh hal yang demikian, operasi ketenteraan Ukraine di Kursk bertujuan untuk mengembalikan keamanan dan menjamin keselamatan sempadannya daripada ancaman tentera Rusia. Zelensky turut menegaskan bahawa serangan tersebut adalah taktikal, bukan bertujuan untuk mengambil alih wilayah Rusia, tetapi untuk memaksa Moscow mengadakan gencatan senjata. Menurut Jeneral Oleksandr Syrskii pula, operasi ketenteraan terhadap Kursk bertujuan untuk mengalihkan perhatian tentera musuh, terutamanya pasukan Rusia yang menyerang bandar Pokrovsk dan Kurakhove.

Rusia melancarkan serangan balas pada 11 September 2024 bagi mengusir tentera Ukraine di Kursk. Serangan udara besar-besaran dilancarkan oleh tentera Rusia. Pada 17 Oktober 2024 sahaja, Rusia telah melakukan 31 serangan udara dengan menggunakan bom berpandu di wilayah Kursk. Rusia juga telah mengatur gerak 50,000 anggota tenteranya ke Kursk. Objektif Kyiv untuk mengalihkan perhatian tentera Rusia di Pokrovsk dan Kurakhove tidak tercapai. Hal ini demikian kerana Moscow masih mengekalkan sebahagian besar pasukan tenteranya Pokrovsk dan Kurakhove. Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, Ukraine telah kehilangan 29,600 anggota tentera dan 184 buah kereta kebal sejak pertempuran di Kursk meletus. Rusia juga didakwa telah menerima kehadiran pasukan tentera Korea Utara (KU) di Kursk bagi menghadapi tentangan tentera Ukraine.

Tentera Korea Utara di Rusia?

Mejar Jeneral Tentera Udara AS, Pat Ryder mendakwa terdapat 11,000 hingga 12,000 tentera KU di Rusia. Tentera KU itu memasuki Rusia pada Oktober 2024. Mereka menerima latihan taktik infantri, beroperasi dengan kenderaan udara tanpa pemandu, taktik artileri, pembersihan parit dan seumpamanya daripada tentera Rusia. Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (KS) pula melaporkan pada 18 Oktober 2024 bahawa KU telah mengatur gerak 1500 anggota pasukan khas ke Rusia antara 8 Oktober hingga 13 Oktober. Tentera KU didapati berada di kemudahan tentera Rusia di Ussuriysk, Primorsky Krai dan Khabarovsk, Khabarovsk Krai. Menteri Pertahanan KS, Kim Yong Hyun berkata, enam pegawai tentera KU terbunuh dalam serangan oleh pihak Ukraine pada 3 Oktober 2024 berhampiran Donetsk di timur Ukraine. Ketua perisikan Ukraine, Leftenan Jeneral Kyrylo Budanov berkata pada 22 Oktober 2024 bahawa jumlah kontinjen KU ialah 12 000 anggota termasuk 500 pegawai tentera dan tiga orang jeneral.

Ketua pertahanan AS dan KS menggesa agar KU mengundurkan tenteranya dari Rusia pada 30 Oktober 2024. Di Kursk, 8000 anggota tentera KU akan bersama-sama tentera Rusia bagi menggempur tentera Ukraine. Pada 5 November 2024, Zelensky mengakui bahawa telah berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dengan tentera KU selepas menteri pertahanannya, Rustem Umerov berkata terdapat pertempuran kecil antara pasukan tentera kedua-dua negara di Kursk pada 4 November 2024.

KS yang semakin bimbang dengan tindak-tanduk KU akan meningkatkan sokongan terhadap Ukraine, termasuklah membekalkan senjata. Presiden KS, Yoon Suk Yeol berkata Hanwha Aerospace yang merupakan syarikat pertahanan KS bersedia untuk membekalkan senjata laser gentian optik kepada Ukraine jika Seoul menarik balik larangan eksport senjata ke Kyiv. Hanwha Aerospace telah menguji senjata laser tersebut dan bakal menghasilkannya secara besar-besaran. Senjata laser gentian optik lebih sesuai dan efektif dalam memusnahkan dron. Hal ini demikian kerana tembakan laser yang tidak kelihatan dan bersuara adalah lebih tepat mengenai sasaran, selain kos yang murah berbanding dengan peluru berpandu pertahanan udara.

Seoul menganggap pelibatan tentera KU dalam Perang Rusia-Ukraine sebagai ancaman. Hal ini demikian kerana tentera KU akan memperoleh pengalaman sebenar di medan pertempuran. Tentera KU amat memerlukan pengalaman bertempur dalam suasana peperangan abad ke-21 yang melibatkan penggunaan taktik dan teknologi baharu seperti penggunaan dron dalam misi serangan. Pyongyang juga mendapat manfaat apabila Moscow memindahkan teknologi ketenteraan, terutamanya peluru berpandu seperti yang didakwa oleh Seoul.

Kehadiran tentera KU di Rusia dilihat oleh sesetengah pihak terutama AS dan sekutu mempunyai kaitan dengan Perjanjian Perkongsian Strategik Komprehensif yang ditandatangani oleh Vladimir Putin dan Kim Jong Un di Pyongyang, pada 18 Jun 2024. Perjanjian yang mengandungi 23 fasal itu mempunyai klausa yang menetapkan bahawa jika terdapat ancaman serangan oleh kuasa ketiga, penandatangan bersetuju dengan langkah kerjasama mengikut permintaan mana-mana pihak dan memastikan kerjasama dalam menghapuskan ancaman tersebut.

Bahagian lain dalam perjanjian menyatakan bahawa jika satu daripada pihak mendapati dirinya berperang akibat serangan bersenjata oleh satu atau lebih negara, pihak yang satu lagi akan segera memberikan bantuan ketenteraan dengan segala cara yang boleh digunakan. Perjanjian itu juga mengesahkan hasrat kedua-dua buah negara untuk melindungi keadilan antarabangsa daripada aspirasi hegemoni dan cubaan untuk mengenakan order dunia unipolar. Aspirasi hegemoni dan dunia unipolar merujuk kepada Washington yang dipersepsikan oleh Moscow dan Pyongyang sebagai ingin mendominasi politik antarabangsa dengan menolak dunia berbentuk multipolar tanpa saingan kuasa-kuasa besar yang lain sekali gus menjadikan AS sebagai kuasa agung tunggal dunia.

Trump dan Perang Rusia – Ukraine

Donald Trump berulang kali menyatakan bahawa perang Rusia-Ukraine tidak akan berlaku jika beliau menjadi presiden AS dan bukan Joe Biden. Beliau juga berkata bahawa jika menang pilihan raya presiden, perang Rusia-Ukraine akan diselesaikan dengan segera. Pada 5 November 2024 yang lalu, Donald Trump telah memenangi pilihan raya dan akan mengangkat sumpah jawatan presiden pada 20 Januari 2025. Bagi Ukraine, kemenangan Trump dibimbangi akan mengurangkan sokongan Washington terhadap Kyiv, terutamanya bantuan persenjataan yang amat diperlukan bagi menentang tentera Rusia yang dibantu oleh tentera KU.

Ketika berkempen, Trump mengkritik bantuan Washington bernilai USD$175 bilion yang disalurkan kepada Ukraine sejak pencerobohan Rusia pada tahun 2022. Trump pada tahun 2023 pernah menggesa ahli kongres Republikan untuk menentang pakej bantuan ketenteraan bernilai USD$61.4 bilion untuk Ukraine. Undi menentang itu telah menangguhkan pakej bantuan ketenteran kepada Ukraine selama enam bulan. Komuniti antarabangsa menanti tindakan yang bakal diambil oleh Trump berhubung dengan peperangan di Ukraine selepas mengangkat sumpah jawatan presiden.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.