Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDisebabkan perubahan global yang begitu dinamik dan sukar dijangka, Malaysia kini berada di persimpangan, iaitu mempertimbangkan prospek untuk bergabung dengan kumpulan BRICS yang terdiri dari Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Pertimbangan dan keputusan ini menawarkan peluang dan cabaran terhadap Malaysia dalam usaha mengukuhkan kedudukan ekonomi dan geopolitiknya. Rencana ini menganalisis tentang kelebihan dan kelemahan terhadap keputusan Malaysia untuk bergabung dengan BRICS, serta menilai implikasi yang lebih luas bagi dasar luar dan landskap ekonomi negara.
Peluang Ekonomi
Satu daripada kelebihan utama keanggotaan Malaysia dalam BRICS ialah potensi pertumbuhan ekonomi yang substantif. Secara teknikalnya, hal ini merupakan suatu bentuk peluang yang tidak boleh dinafikan. Tindakan bergabung dengan blok kerjasama ekonomi yang sedang berkembang ini membolehkan Malaysia menerokai pasaran yang lebih besar untuk barangan dan perkhidmatannya—suatu faktor yang penting, memandangkan kebergantungan negara terhadap eksport adalah tinggi.
Pada tahun 2022, jumlah eksport Malaysia mencecah sekitar RM290 bilion dengan rakan dagang utama termasuklah China, Singapura dan Amerika Syarikat. Negara anggota BRICS secara kolektif akan menyumbang lebih 40 peratus daripada populasi global dan sekitar 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dengan menawarkan Malaysia peluang pembezaan perdagangan yang lebih baik.
Keanggotaan dalam BRICS juga boleh menarik pelaburan langsung asing (FDI) dari negara-negara anggota. Sebagai contoh, pada tahun 2022, China merupakan sumber FDI terbesar Malaysia, menyumbang sekitar RM12.8 bilion. Dengan ekonomi seperti China dan India yang terus berkembang, Malaysia dapat meraih manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi, sekali gus merangsang penciptaan pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Pengaruh Politik dan Keseimbangan Kuasa
Selain manfaat ekonomi, bergabung dengan BRICS boleh meningkatkan pengaruh politik Malaysia di pentas global, khususnya dalam konteks keseimbangan kuasa di Asia Tenggara. Sebagai anggota BRICS, Malaysia dapat berfungsi sebagai pengimbang terhadap pengaruh Barat, khususnya Amerika Syarikat. Lanskap geopolitik Asia Tenggara seperti yang kita sedia maklum kini, diwarnai dengan kepentingan persaingan kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat, China dan India. Melalui langkah bersekutu dengan BRICS, Malaysia dapat meningkatkan leverage diplomatiknya dan memainkan peranan penting dalam membentuk kedinamikan serantau.
Walau bagaimanapun, kemunculan BRICS dalam banyak aspek memunculkan kedinamikan baharu kepada ASEAN itu sendiri, khususnya dari sudut hubungan kuasa antara negara anggota. Keterlibatan Malaysia dalam BRICS mungkin memerlukan penilaian semula, khasnya terhadap hubungan dengan negara ASEAN lain yang dilihat agak “keberatan” untuk mempererat hubungan dengan China dan Rusia. Situasi ini dilihat berpotensi membawa kepada senario penyesuaian kerjasama serantau antara negara ASEAN, khususnya ketika kebanyakan negara anggota menilai kembali prospek kerjasama mereka dengan kumpulan BRICS.
Kerjasama dalam Isu Global
BRICS juga menawarkan peluang untuk Malaysia bekerjasama dalam menghadapi cabaran global. Kerjasama dalam bidang seperti perubahan iklim dan keselamatan dapat mendorong tindakan kolektif dan inovasi. Pertukaran idea dan sumber antara negara anggota boleh menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan, memberikan manfaat terhadap Malaysia dan negara anggota BRICS yang lain. Misalnya, blok BRICS telah komited kepada inisiatif untuk memerangi perubahan iklim, sejalan dengan matlamat kelestarian Malaysia.
Pertukaran Budaya
Keanggotaan dalam BRICS boleh memudahkan pertukaran budaya dan memperkukuh hubungan antara rakyat. Dengan mempromosikan diplomasi budaya, Malaysia dapat meningkatkan perspektif kuasa sederhana dan dalam masa yang sama menguatkan hubungan bilateral. Peningkatan pelancongan, pertukaran pendidikan dan projek budaya kolaboratif dapat memperkayakan struktur sosial Malaysia dan mempromosikan pemahaman bersama antara negara-negara anggota.
Kebergantungan terhadap Kuasa Besar
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan yang ketara mengenai implikasi bergabung dengan BRICS. Satu daripada kelemahan utama ialah potensi kebergantungan terhadap kuasa besar dalam kumpulan ini. Negara seperti China dan India mempunyai pengaruh besar dan Malaysia mungkin mendapati dasar luar negaranya semakin dipengaruhi oleh keutamaan mereka. Kebergantungan ini boleh merosakkan kemampuan Malaysia untuk meneruskan dasar bebas yang mencerminkan kepentingan nasional.
Risiko Ekonomi
Penyelarasan dengan BRICS juga boleh mendedahkan Malaysia kepada risiko ekonomi yang berkaitan dengan negara anggotanya. Ketidakstabilan ekonomi yang wujud dalam kalangan negara anggota BRICS boleh memberi kesan berantai yang mempengaruhi ekonomi Malaysia. Misalnya, semasa pandemik, KDNK Malaysia menyusut sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020, yang dipengaruhi oleh senario ketidaktentuan ekonomi global. Ketidakpastian dalam ekonomi China juga boleh mempengaruhi eksport Malaysia.
Risiko Politik
Secara politik, bergabung dengan BRICS mungkin mencipta risiko ketidaktentuan dalam konteks hubungan dan dasar luar Malaysia, khususnya cabaran dalam memastikan keseimbangan positif hubungan dengan BRICS dan negara-negara Barat. Pada tahun 2023, antara tempoh dari bulan Januari hingga Jun, misalnya, perdagangan dengan negara-negara Barat menyumbang kira-kira 22 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, iaitu satu petunjuk ekonomi politik yang penting untuk dikekalkan dan diteladani secara bijaksana. Dalam erti kata lain, Malaysia perlu melayari jaringan kerjasama yang kompleks ini secara konstruktif dalam usaha mengelak dan menghindari sebarang bentuk perselisihan domestik mengenai hala tuju dasar luar nya.
Keputusan Malaysia untuk bergabung dengan BRICS membawa peluang dan pada masa yang sama turut berdepan dengan cabaran yang signifikan, terutamanya berkaitan dengan keseimbangan kuasa di Asia Tenggara. Prospek pertumbuhan ekonomi, pengaruh politik yang meningkat dan pelibatan kolaboratif dalam isu global merupakan kelebihan menarik yang akan diperoleh.
Namun begitu, risiko kebergantungan kepada kuasa besar, pendedahan kepada ketidakstabilan ekonomi dan kompleksiti dalam hubungan antarabangsa juga tidak boleh diabaikan. Ketika Malaysia mendepani keputusan ini, kerajaan sewajarnya menilai faktor-faktor ini dengan bijaksana untuk memastikan kepentingan jangka panjangnya terpelihara.
Langkah ini bukan sahaja dapat mengubah peranan Malaysia di pentas global, malah turut mempengaruhi landskap geopolitik Asia Tenggara yang mendorong penilaian strategik dalam kalangan pemain serantau. Pendekatan yang teliti dan bijaksana amat diperlukan untuk mengharungi dan melayari kedinamikan situasi diplomasi antarabangsa yang semakin sukar masa kini, di samping mengekalkan kestabilan ekonomi politik serantau.
Prof. Madya Dr. Zaini Othman, Felo Penyelidik Kanan di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.