Oleh Nazrul Aziz
23 November 2024, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Tuan Mohd Zaidi Haji Ma’at merasmikan Majlis Perasmian Bomba Junior Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 pada 22 November, semalam.

Majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Utara turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Tuan Haji Che Rasaidi Che Kob, Guru Besar SK Padang Besar Utara, Encik Suhaini Salim dan pegawai kanan JBPM Negeri Perlis, warga pendidik SK Padang Besar Utara serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Menurut JBPM Negeri Perlis, SK Padang Besar Utara dipilih sebagai perintis Bomba Junior di Perlis menjadikan “Bomba Junior” satu daripada badan beruniform beg unit kokurikulum di sekolah berkenaan.

Persembahan kawad kaki oleh Bomba Junior SK Padang Besar Utara, Perlis.

Sebanyak 39 orang pelajar terlibat dan menjadi pelopor kepada penubuhan Bomba Junior di Perlis di bawah pemantauan JBPM Negeri Perlis dan Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar.

JBPM Negeri Perlis menjelaskan bahawa Bomba Junior merupakan pasukan pakaian seragam baharu yang mula ditubuhkan pada 16 Januari 2024 setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bomba Junior menjadi satu daripada program kokurikulum bagi sekolah rendah seluruh Malaysia.

Objektif asal ditubuhkan Bomba Junior adalah untuk memastikan murid bermula dari peringkat sekolah rendah sudah mula menghayati dan mengamalkan ilmu kebombaan.

Bomba Junior juga turut ditubuhkan bagi memupuk budaya keselamatan kesedaran bahaya kebakaran dan mendidik kanak-kanak sekolah berkaitan dengan langkah pencegahan pada peringkat awal.

Pegawai cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam JBPM Negeri Perlis, Tuan Azlan Jamaluddin berkata,

Bomba Junior menjadi medan untuk menerapkan nilai kebombaan dalam kalangan murid sekolah untuk membudayakan suasana persekitaran yang selamat, khususnya melibatkan keselamatan kebakaran.

Terdahulu, Bomba Junior dirasmikan di peringkat kebangsaan pada 14 Jun 2024 di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina San Min 1 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina San Min 2, Teluk Intan Perak oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.