Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Pendidikan telah menzahirkan penghargaan kepada seluruh agensi dan pengamal media kerana membantu menyampaikan maklumat dengan tepat dan cepat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Menterinya, Yang Berhormat (YB), Fadhlina Sidek berkata, pengamal media telah memberikan liputan meluas sepanjang dua tahun beliau berada dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Terima kasih rakan media. Media sudah memberikan ruang yang cukup banyak kepada KPM. Saya turut melihat peranan penting media dalam menyampaikan mesej kerana anak kita melihat, membaca dan menilai.
“Hal ini selari dengan hasrat KPM untuk mendukung pendidikan berkualiti yang merangkumi semua lapisan masyarakat di Malaysia,” kata beliau.

Menurut beliau, KPM merupakan antara kementerian yang mendapat liputan tertinggi media dengan sekitar 400 hingga 500 purata liputan mingguan. Liputan sehingga suku tahun kedua 2024 adalah sebanyak 17,412.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Temu Mesra KPMxMedia, di KPM pada Isnin.
Sebelum ini, KPM memperkenalkan tujuh teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pelaksanaan kurikulum prasekolah Kurikulum Persekolahan 2027 memberikan tumpuan kepada aspek pembentukan karakter penekanan kepada literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Who turut menyampaikan hadiah kepada para pengamal media yang berjaya memenangi hadiah cabutan bertuah.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Adnan; Ketua Editor Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Norhasmanalinda Mustapa serta pengamal media dari pelbagai agensi.