Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Pada usia 65 tahun, Puan Norhayati Sidikah Abu Bakar membuktikan bahawa semangat yang kuat dan usaha berterusan mampu mengatasi segala rintangan dan membawa kepada kejayaan.
Beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sidang Konvokesyen ke-62. Kejayaan ini amat bermakna setelah lebih empat dekad meninggalkan dunia pendidikan formal. Keputusan untuk menyambung pengajian melalui Program Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) di USM pada tahun 2019 didorong oleh keinginannya yang mendalam untuk menunaikan janji kepada arwah ibu dan datuknya.
Puan Norhayati berkata,
Saya ingin membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus belajar dan mencapai impian.
Sokongan daripada keluarga, terutamanya suaminya, menjadi tunjang utama dalam perjalanan kejayaan ini.
Namun begitu, pembelajaran secara jarak jauh dengan penggunaan teknologi merupakan cabaran terbesar buat beliau.
Penguasaan kemahiran baharu seperti mengimbas dokumen dan memuat naik tugasan juga menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran beliau, dibantu oleh anak bongsunya yang turut mengikuti pembelajaran dalam talian.
Sebagai seorang pelajar warga emas, Puan Norhayati pada mulanya berasa janggal kerana majoriti rakan sekelasnya jauh lebih muda.
Meskipun begitu, pengalaman beliau sebagai ibu dan aktivis masyarakat menjadikannya dihormati, serta sering menjadi tempat rujukan bagi rakan sekelasnya.
Kerjasama bersama rakan sekelas turut membantu beliau menyelesaikan tugasan dan projek kumpulan dengan lebih berkesan, selain menjaga hubungan baik dengan pensyarah.
Beliau berharap agar kejayaannya menjadi inspirasi kepada golongan warga emas lain untuk berani dalam menyambung pelajaran.
Kongsi beliau,
Tiada istilah terlambat untuk menuntut ilmu.
Ilmu bukan sahaja membuka peluang, tetapi juga memberi kita pandangan baharu dalam kehidupan.
Tambah beliau lagi,
Bagi saya, belajar ialah peluang untuk terus berkembang dan memberikan manfaat kepada masyarakat. Selagi hayat di kandung badan, perjalanan menuntut ilmu tidak akan pernah berakhir.
Kejayaan ini menjadi bukti bahawa usia hanyalah angka, dan impian boleh direalisasikan pada bila-bila masa dengan usaha gigih dan sokongan keluarga.