Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKarya yang dibaca dan diteliti semestinya untuk difahami dan dihayati, seterusnya menjadi ingatan kepada pembaca dan peneliti yang memungkinkan jalur ceritanya diingati dalam tempoh masa yang lama atau sebaliknya. Kandungan dan isinya memungkinkan karya itu dianggap baik, baik dari segi bahasa dan jalan ceritanya atau sesuatu yang jelik dan bertentangan dengan moral serta agama. Semua ini memberikan kesan kepada pemikiran termasuklah perubahan sikap dan cara berfikir, psikologi dan fisiologi, serta kecenderungan minat terhadap genre tersebut.
Sepanjang berdekad-dekad lamanya, penerbitan bahan bacaan berunsur seram menjadi tumpuan oleh sesetengah penerbit atau diterbitkan secara persendirian oleh pengarangnya. Namun begitu, kerancakan bahan terbitan ini bergantung kepada minat pembaca yang kadangkala boleh dianggap sebagai “minat bermusim”, yakni wujud pasang surutnya.
Begitu juga dengan kemunculan penulis dan pengarang yang sebahagiannya menyembunyikan nama sebenar dan mereka lebih selesa untuk tidak kenali. Karya berunsur seram mampu dinukilkan oleh sesiapa sahaja dan kisah tersebut dapat dikongsi dengan mudah dan pantas secara maya (laman web atau media sosial), selain daripada bentuk konvensional atau bercetak (buku atau majalah).
Kemunculan karya berunsur seram telah lama bertapak di Malaysia, iaitu sekitar tahun 80-an. Antara karya dan nama pengarang yang dikenali ialah Tok Awang Ngah melalui karyanya Berkelahi dengan Syaitan, Bercinta dengan Puteri Bunian, Dendam Syaitan, Disembelih Puaka dan dianggarkan lebih 70 buah karya yang diterbitkan ke dalam bentuk buku.
Begitu juga dengan Tamar Jalis, pengarang yang cukup dikenali hingga kini melalui karyanya Siri Bercakap dengan Jin yang lebih daripada puluhan siri dan edisi. Seterusnya, kemunculan lain-lain pengarang sekitar tahun 20-an dan hingga kini.
Walaupun tidak semua individu meminati jenis bacaan seperti itu, namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat kelompok peminat tersendiri yang mengikuti perkembangan karya seumpama ini. Malahan, sesetengahnya mengelaskan bahan bacaan itu sebagai bacaan sampingan dan hiburan. Secara tidak langsung, kepelbagaian bahan bacaan yang disertai dengan kemunculan penggemarnya, menandakan bahawa suburnya budaya dan amalan membaca dalam kalangan generasi.
Walau bagaimanapun, tidak semua bahan bacaan itu mampu kita kategorikan sebagai bahan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, sekalipun yang dibawa kadangkala sarat dengan pengajaran dan pedoman. Keutamaan yang perlu dinilai adalah isi karyanya yang berkaitan dengan budaya, sejarah, apatah lagi jika menyentuh persoalan agama, Islam dan hukum hakam khususnya.
Misalnya, novel atau cerita yang memerihalkan tentang kemunculan dan penjelmaan roh orang yang meninggal ke dunia bagi tujuan tertentu (balas dendam, menunaikan hajat yang tertunda semasa hidupnya); keberadaan roh seseorang yang meninggal dunia akibat dibunuh atau sewaktu melahirkan bayi (mengaitkan roh mereka sebagai puntianak, kuntilanak – hantu) dan memerihalkan watak bukan manusia (makhluk halus) sebagai makhluk yang berasal daripada roh orang yang meninggal dunia yang banyak berbuat dosa sewaktu hidupnya.
Pada hakikatnya, melalui syariat Islam, persoalan roh merupakan urusan Tuhan dan seseorang yang sudah meninggal dunia sudah berbeza alam dan kehidupannya. Hal ini bertepatan dengan firman-Nya menerusi surah al-Isra’ ayat 85, yang bermaksud, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.
Jika tidak mengaitkan dengan roh manusia yang meninggal dunia, sesetengah karya juga tidak mendefinisikan konsep makhluk halus seperti syaitan, jin dan iblis dengan kejelasan yang bersesuaian. Yang berlegar, hanyalah sosok hantu dengan mencirikan fizikal dan wajah yang mengerikan, menakutkan, serta membawa malapetaka, mudarat dan bencana kepada seseorang, apatah lagi dikatakan mampu untuk membunuh manusia.
Menurut Mohamad Saleeh Rahamad (2008), karya-karya pada alaf baharu (alaf 21) seharusnya berilmu. Jelas Fauzi Hassan, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali dan Madiawati Mamat (2020:69), kebebasan imaginasi pengarangnya terkawal dari aspek kelucahan dan penyelewengan agama.
Menulis, bukan sekadar minat dan keterujaan mendalam yang memungkinkan sesuatu isi cerita dapat ditulis dengan apa-apa sahaja yang dirasakan boleh, “sedap” atau hebat. Sebagai pengarang dan “penenun karya”, penghasilan dan perencanaan karya memerlukan kebertanggungjawaban, dan seharusnya mempunyai keterbatasan (jika membabitkan hukum dan persoalan agama) dalam kita mengarang sesebuah karya sebagai bahan bacaan umum. Matlamat paling penting sebuah karya adalah mampu memberikan “kecerdikan” kepada masyarakat pembaca, begitulah “ilmu” kepada masyarakat.
Dari sudut penerbit termasuklah penilai bahan dan tukang sunting karya, mereka perlu juga memahami disiplin ilmu atau bidang ilmu bagi melayakkan karya berunsur seram diterbitkan. Bukan hanya sekadar dilihat dari kaca mata perniagaan (keuntungan) semata-mata, tetapi perlu juga melihat kesan positif-negatif terhadap karya yang bakal diterbitkan. Pandangan dan ukuran terhadap karya yang dikatakan mampu dan mendapat pasaran meluas atau bersesuaian dengan kehendak semasa, dan beranggapan karya tersebut mampu menjadi bestsaller antara fokus oleh sesetengah penerbit. Sedangkan segala bentuk penulisan yang diterbitkan menjadi bahan kekal untuk diteliti dan dibaca oleh generasi kini dan akan datang.
Pada pandangan penulis, karya yang membawa tafsiran dan kefahaman yang tersasar daripada landasan syariat atau moraliti mampu menimbulkan implikasi negatif kepada individu dan khalayak, antaranya menyuburkan perasaan takut yang melampau terhadap makhluk halus. Manakala dari sudut Islam, secara tidak langsung perkara ini menyuburkan nilai kepercayaan bahawa makhluk halus mampu untuk mengubah kehidupan dan takdir manusia.
Pada hakikatnya, semua makhluk selain Allah SWT tidak mempunyai sebarang kudrat dalam menentukan takdir, bahagia dan sengsara, apatah lagi soal hidup dan mati. Sehubungan dengan itu, ketaasuban yang melampau, atau seseorang penggemar “berat” terhadap genre ini, segelintir daripada mereka berasakan karya tersebut merupakan cerita yang benar-benar wujud, dan menanamkan kepercayaan mendalam terhadap kekuatan makhluk halus, serta kekeramatan sesuatu tempat dan lokasi.
Walau bagaimanapun, cerita berunsur seram atau cerita hantu merupakan warisan cerita dari zaman terdahulu, dan disampaikan daripada generasi kepada generasi seterusnya. Cerita tersebut juga dapat dikelompokkan dalam bidang ilmu tradisi lisan atau disebut juga oraltradition, yang meliputi aspek budaya, seni, adat, kepercayaan turun-temurun dan cara hidup serta pandangan alam (worldview) sesebuah masyarakat.
Warisan cerita lisan – cerita hantu bukanlah dapat kita memberi anggapan bahawa masyarakat terdahulu kolot daya fikirnya. Dari kaca mata budaya, hal ini perlu juga dilihat pada zamannya, dan fungsi sebenar cerita seperti ini berlegar daripada mulut penuturnya. Satu daripada berfungsi sebagai hiburan, pengajaran dan nasihat kepada pendengar (kanak-kanak dan remaja). Apatah lagi, pada zaman terdahulu masih belum lagi wujud atau tidak meluasnya pemilikan televisyen, radio, begitu juga dengan kehadiran telefon pintar, komputer dan rangkaian Internet.
Oleh itu, sebagai rangka awal dalam merencana sebuah karya seharusnya dimulai pada peringkat menyusun idea, konsep, dan jelas tentang matlamat dan tujuan karya kepada masyarakat. Sekiranya kandungan dan inti patinya tidak menyalahi aspek moral dan agama, maka manfaatlah yang bakal diterima. Namun, jika buruk, bobrok dan gagal acuannya, maka tempias turut terpercik juga kepada pengkaryanya.