Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSepang – Bertempat di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi telah diadakan Majlis Pelancaran Bomba Junior Peringkat Negeri Selangor yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) YB Datuk Aiman Athirah Sabu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Yang Amat Setia Dato Ts Nor Hisham Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Tuan Haji Yusaini Salleh, Pengarah Bahagian Latihan JBPM, Tuan Abdul Razak Muda dan Pengarah JBPM Negeri Selangor, Tuan Wan Md Razali Wan Ismail.
Sebanyak 195 orang pelajar sekolah rendah daripada 22 buah sekolah rendah negeri Selangor sebagai simbolik wakil Bomba Junior seluruh negeri Selangor.
Dalam majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, YB Timbalan Menteri KPKT menyampaikan sijil Penubuhan Bomba Junior kepada 10 orang Pegawai Pendidikan Daerah dan watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Bomba Junior kepada 10 orang pegawai teknikal.
Menurut beliau, Majlis Pelancaran Bomba Junior Peringkat Negeri Selangor ini merupakan sebahagian daripada program mewujudkan persekitaran selamat dan meningkatkan pembudayaan keselamatan dalam komuniti terutamanya melibatkan kanak-kanak sekolah.
Bomba Junior menyasarkan pelajar sekolah rendah dan dijadikan satu daripada pilihan dalam aktiviti unit beruniform sekolah dengan menggunakan modul pembelajaran yang dibangunkan bersama oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Objektif Bomba Junior ditubuhkan untuk memastikan ilmu kebombaan dapat dihayati, diamalkan serta memupuk budaya keselamatan kebakaran dan langkah pencegahan pada peringkat awal.
Untuk rekod, Bomba Junior peringkat negeri Selangor ditubuhkan pada 10 Jun 2024 dan melibatkan sebanyak 30 buah sekolah meliputi sekolah kebangsaan, sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Kebangsaan Tamil.
Setakat ini, sebanyak 840 murid menyertai Bomba Junior Negeri Selangor dan 164 orang guru pengiring melibatkan 10 buah daerah.