Diterbitkan pada 2 Disember 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggerakkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi bantuan operasi banjir di seluruh negara dengan mengerahkan sebanyak 1672 pegawai bersama 230 aset kenderaan serta peralatan.

Antara aset PDRM yang digunakan termasuk 152 kenderaan pacuan empat roda, 68 bot, 51 lori, 15 kereta peronda, 13 van dan satu helikopter.

Tugas dan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh PDRM dan juga Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi membantu mangsa banjir di kawasan terjejas termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik ditempat bencana. Sebanyak 818 anggota Rela telah ditugaskan untuk membantu mangsa banjir termasuk di 706 pusat pemindahan sementara (PPS).

“KDN dan agensi di bawahnya sentiasa cakna dan prihatin dengan situasi semasa musibah banjir yang melanda negara ketika ini dan akan sedaya upaya memberikan bantuan dari segi tenaga, logistik, aset dan seumpamanya, bagi memastikan mangsa banjir disantuni sewajarnya. KDN menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan perkembangan terkini bencana banjir dengan mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan pengumuman semasa yang sahih melalui pihak berkuasa di samping media massa,” kata KDN dalam satu kenyataan media.

Sehubungan dengan itu, Skuad Ihsan Madani KDN juga telah bersiap siaga untuk bantuan pasca banjir antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Menurut KDN, bagi mangsa banjir yang terkesan dengan kemusnahan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir dan pasport, pihak JPN dan JIM akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen tersebut secara percuma kepada semua mangsa banjir.

“Perkhidmatan penggantian dokumen penting oleh JPN akan turut disediakan melalui bas bergerak (mobile bus) di kawasan-kawasan yang terkesan,” kata KDN.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi