Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan agar namanya tidak dikaitkan, sebaliknya panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletakkan jawatan jika kes penderaan terus berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda bertitah sedemikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pada hari ini.
KDYMM Seri Paduka Baginda (SBP) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita dengan kes penderaan yang berlaku sehingga menyebabkan kecederaan, kematian dan seterusnya menitahkan semua pihak agar berusaha menghentikan budaya yang tidak sihat itu untuk memulihkan nama baik UPNM.
KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong bertitah.
Latihan fizikal dan mental yang keras memang diperlukan untuk melahirkan seorang pegawai tentera, tetapi tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian. Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera.
“Lebih mendukacitakan apabila kejadian penderaan terus berlaku, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah,” titah KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong lagi.
Falsafah utama UPNM adalah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Oleh itu, disiplin dan budaya tentera menjadi falsafah utama universiti ini.

Terdahulu, KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Istiadat Pemasyhuran Canselor, yang turut diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro-Canselor UPNM dan YAM Tunku Puteri Dr. Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyampaikan watikah pemasyhuran Canselor kepada KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong. Seksyen 10 (2) Perlembagaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia memperuntukkan bahawa Canselor ialah Yang di-Pertuan Agong.
Pada Istiadat Konvokesyen UPNM ke-14, KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang pengajian Strategi dan Pertahanan kepada mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-19, Yang Mulia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (Bersara).
KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan penganugerahan Ijazah Tinggi dan anugerah kepada 14 orang penerima.
Turut hadir sama ialah Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Mohamad Ab Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Razarudin Husain; Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.