Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Ayer Keroh – Dalam usaha memberikan perkhidmatan bantuan kecemasan awal kepada masyarakat yang memerlukan khususnya di kawasan kampung, kerajaan negeri Melaka melatih 1000 anggota sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (PARAKOM) di negeri itu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata menerusi sasaran itu juga, setiap kampung di Melaka bakal mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang PARAKOM terlatih yang bertindak menjadi pasukan rawatan awal dalam membantu mereka yang ditimpa bencana, termasuklah kemalangan jalan raya atau bencana alam.
Menurut beliau, bagi melaksanakan hasrat tersebut, sebanyak RM500,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menyediakan kelengkapan lengkap PARAKOM seperti pakaian, pembekalan ubat dan peralatan lain.

Saya menyasarkan sebelum Februari 2025, segala kelengkapan PARAKOM ini akan dapat disediakan dengan sasaran 1000 orang PARAKOM bagi setiap satu kampung di Melaka mempunyai tiga orang pasukan sukarelawan.
“Setakat ini, sebanyak 850 orang menyertai sukarelawan PARAKOM dan setiap daripada mereka mewakili 339 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB) dalam Negeri Melaka.
Demikianlah kata Datuk Seri Utama Ab Rauf selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pembangunan Ahli Jawatankuasa dan Keselamatan Sijil Penubuhan Civil Defense Auxiliary Emergency Response Team (CDA-ERT) Negeri Melaka yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahin Mohamed.
Pada masa yang sama, sebanyak 4505 orang dari 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik menjadi ahli JPKK dan JPKKB. Daripada jumlah itu, sebanyak 63 orang telah tamat latihan bersama APM, sekali gus menerima Sijil Penubuhan CDA-ERT.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri menjelaskan anggota PARAKOM juga dibekalkan dengan alat defibrilator luaran automatik (AED) pada setiap kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).
Ujar beliau,
Hal ini amat penting sebagai persediaan dan keperluan untuk anggota PARAKOM dalam usaha memberikan bantuan awal kepada mangsa serangan jantung, sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perubatan di lokasi kejadian.